OLEH: Saufy Jauhary
Berikut adalah laporan dari wartawan bernama Hamidon Bahari yang disiarkan oleh Berita Harian, 23 Jun 1968 dengan tajuk akhbar “P. Ramlee Bersara”:-
-----------------------------------------------------------
Pengumuman P. Ramlee bahawa ia akan bersara dari berlakon dalam filem seakan-akan tidak dapat dipercayai oleh peminat-peminatnya. Sebabnya, P. Ramlee bukan baharu dalam dunia filem. Ia telah menghabiskan masa hidupnya selama 20 tahun dengan berlakon. Dan berlakon telah menjadi darah dagingnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keputusannya itu, saya telah menemui P. Ramlee di Studio Merdeka beberapa hari yang lalu.
Ketika saya tiba di studio itu, biduan, seniman dan pengarah agong P. Ramlee sedang sibuk bertugas. Ia sedang mengarahkan filemnya yang terbaharu “Ahmad Albab”, sebuah filem komedi bercorak Arab. Tapi yang agak berbeza sedikit hari itu bahawa P. Ramlee kelihatan tidak begitu riang seperti selalu. Selalunya P. Ramlee suka berjenaka atau sekurang-kurangnya senyum-senyum manis bila terpandang siapa sahaja. Hari itu ia kelihatan seperti orang banyak berfikir. Sambil mengarah P. Ramlee banyak berhenti dan berjalan ke hujung pangkal, tunduk dan memandang jauh ke depan.
“Inilah filem terakhir saya berlakon.” Kata P. Ramlee sesudah ia selesai bertugas tengah hari itu.
Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakon lagi?
P. Ramlee yang berusia 40 tahun itu dan pernah terpilih sebagai pelakon dan penggubah muzik terbaik di seluruh Asia dalam Pesta Filem di Tokyo tahun 1957 itu menjawab dengan nada seakan-akan merajuk.
“Saya dah tua. Dah lama saya berlakon. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya pun semua dah kahwin dah beranak dan dah sembahyang.”
Tapi bintang-bintang filem di Barat banyak yang lebih tua lagi?
“Di Barat lain, di sini lain.” Jawabnya tegas.
Setelah diam seketika ia menyambung lagi: “Sekarang dah banyak perubahan. Dah banyak orang pandai. Mereka suka tengok filem-filem Barat.”
“Kalau P. Ramlee berlakon siapa nak tengok. Nanti budak-budak universiti tanya apa kelulusan P. Ramlee tu.” Tambahnya.
P. Ramlee juga menyebut bahawa orang sekarang hidup berkelas-kelas. “Kelas satu, kelas dua dan kita ni kelas ketiga.”
Ditanya apakah rancangannya di masa depan . P. Ramlee yang pernah menerima kurnia pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang di-Pertuan Agong Ketiga dalam tahun 1964 dulu, menjawab:
“Saya nak jadi pengarah saja. Saya nak pakai lawa. Pakai tai, macam pengarah-pengarah lain. Macam Jamil Sulong, macam Omar Rojik.”
“Saya dah puas pakai baju panas. Pakai selipar hari-hari datang ke studio macam ini.” Katanya sambil menjinjit baju panas berleher yang dipakainya.
Ia menambah: “Lagipun sekarang saya dah senang sedikit. Saya dah letih jadi budak filem editor. Kalau tidak, kerja itupun saya buat sendiri. Pecah kepala. Mana nak buat cerita, nak buat lagu, nak berlakon dan nak mengarah.”
Tapi kalau peminat-peminat Abang Ramlee minta Abang Ramlee berlakon lagi?
Sekarang pun saya dah terima banyak surat. Mereka minta saya jangan berhenti berlakon. Telefon pun banyak juga. Hari ini pun saya ada terima telefon. Dari Kedah pun ada.” Katanya.
“Tapi macam mana pun saya nak berehat dulu. Kalau pun saya nak berlakon. Lama lagi. Atau pun ada banyak permintaan.” Kata P. Ramlee.
Ditanya adakah ia akan mengarahkan filem-filem jenaka juga selepas ini, P. Ramlee menjawab, bahawa ia ingin mengubah corak arahannya kepada cerita-cerita action.
“Saya nak kasi orang-orang hairan pulak.” Katanya.
Bagaimanapun setakat ini P. Ramlee belum menyebut apakah cerita yang akan difilemkannya nanti.
Menyentuh tentang kemerosotan filem-filem Melayu sekarang, P. Ramlee memberi empat sebab. Pertama: kejatuhan harga getah. Kedua: kerana televisyen. Ketiga: filem-filem luar negeri terlalu banyak diimport dan keempat: orang-orang Melayu sendiri tidak suka tengok filem-filem Melayu.
Ditanya mengapa ia tidak merakamkan lagu-lagu baru lagi ke piring hitam sekarang. Biduan yang suaranya masih seperti dulu juga itu menjawab:
“Ada. Baru-baru ini saya ada rakamkan 12 lagu. Empat lagu sudah pun keluar rekodnya – lagu-lagu “Senjakala”, “Bulan Mengambang”, “Dewi Ilhamku”, dan “Terbang burung terbang.”
Tapi jarang-jarang benar suara Abang Ramlee kedengaran di radio sekarang?
“Entahlah. Saya pun tak tau kenapa.” Katanya.
SUMBER: Microfilm Reel NL5468
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment