OLEH: Freddie Aziz Jasbindar
Disebalik pekan kecil sekarang di Sungai Siput Utara, Perak ada tersimpan peristiwa hitam yang membawa darurat terhadap negara pada 1948. Peristiwa tersebut sentiasa diingati oleh mereka orang lama kerana di sanalah berlakunya peristiwa berdarah yang menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan darurat.
Ia adalah kerana peristiwa kehilangan nyawa tiga peladang yang berbangsa Inggeris oleh pengganas komunis di Ladang Elphil dan Ladang Phin Soon pada 16 Jun 1948.
Pekan kecil Sungai Siput Utara yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Ipoh dan 19 kilometer dari Kuala Kangsar ini amat digeruni pada ketika itu. Sebut sahaja Sungai Siput, semua orang seram sejuk kerana cerita berkenaan peristiwa yang tersebar itu. Hutan tebal di sekitarnya pula adalah merupakan kubu kuat pengganas komunis pada masa itu.
Dalam kejadian berdarah itu, Pengurus Ladang Elphil, Arthur E. Walker, 50 tahun telah ditembak dari jarak dekat oleh tiga pengganas komunis setelah menceroboh pejabat pengurus ladang berkenaan.
Ladang Elphil merupakan salah sebuah ladang getah yang paling besar milik syarikat Inggeris di Tanah Melayu pada waktu itu. Jarak antara ladang ini dan Ladang Phin Soon hanyalah kira-kira dua kilometer sahaja.
Pasukan komunis yang seramai 12 orang kemudian menyerbu ke Ladang Phin Soon dan mengikat pengurus ladang, John Munt Allison, 55 tahun serta pembantunya, Ian Deare Christian yang berumur 21 tahun sebelum ditembak.
Insiden ini telah menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent terus mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948 di Perak dan Johor sebelum diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu selepas dua hari kemudian.
Kesan sejarah atas kedua-dua peristiwa berdarah kini diabadikan di monumen dan galeri darurat yang didirikan di puncak bukit Ladang Sungai Siput oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment