Isu Rasuah : Di Mana Agamawan?

OLEH: Muhtaruddin Sahid.

Diantara komen-komen membosankan yang saya kerap nampak di ruangan komen di media sosial ketika ada isu-isu agama dalam masyarakat yang dilontarkan oleh para agamawan ialah :  

"Ye lah, rasuah kan takpa....yang lain haram!!"
"Kalau aurat laju je ustaz-ustaz ni komen...kalau rasuah diam membisu"
"Mana agamawan ni pergi dalam isu rasuah??" 

Dan sebagainya lagi.... 

Kepada mereka ini, kita katakan bahawa, agama ini bukan hanya berputar tentang isu rasuah sahaja. Iman itu sahaja mempunyai 70 cabang lebih. Tidakkah mereka teringatkan hadis,  

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , ia berkata,  

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih, atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama yaitu perkataan Lâ ilâha illallâh, dan yang paling ringan yaitu menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan malu itu termasuk bahagian dari iman. [Hadits ini shahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhâri, no. 9 dan dalam al-Adabul Mufrad, no. 598; Muslim, 35 [58]


*Fahami pembahagian bidang kuasa antara legislatif, eksekutif dan judisiari*
Mungkin yang mereka maksudkan, mengapa agamawan yang ada tidak cakna dan peka dengan isu-isu rasuah yang ada terutama yang melibatkan ahli politik. Kita katakan kepada mereka ini, fahami terlebih dahulu pembahagian bidang kuasa antara legislatif (perundangan), eksekutif (pemerintah) dan judisiari (kehakiman). 

Apabila mereka yang terlibat dalam bidang legislatif membuat kerja-kerja judisiari, maka negara akan porak poranda dan huru hara. Ahli politik mungkin boleh menjadi 'whistleblower', namun mereka tetap terikat dengan badan judisiari dalam menentukan siapa yang bersalah. Jika ahli politik saja tidak berhak mengambil alih kerja judisiari, maka apalagi rakyat marhaen dan orang awam macam kita?? 

Seperkara lagi, ada beza antara mengatakan 'rasuah itu salah' dan 'si A ini telah melakukan rasuah'. Jika sekadar mengatakan 'rasuah itu salah', kita katakan bahawa semua asatizah dan agamawan mengatakan rasuah itu salah dan berdosa - tidak ada yang menghalalkannya. Namun jika untuk mentaqrirkan - 'si A telah melakukan rasuah', maka hal ini perlu perincian maklumat dan bukti yang sahih. Sudah tentu, ia termasuk ranah bidang kuasa pihak yang berkenaan. 

Namun malangnya, apa yang dimahukan dan dimaksudkan dengan 'menentang rasuah' oleh puak pro-liberal dan pro-sekular ini ialah untuk mengatakan ialah- si A telah melakukan rasuah! Maka apabila ada pihak yang tidak selantang mereka dalam mengatakan 'si A' ini perasuah dan korup, maka automatik mereka ini sokong rasuah dan menghalalkan korupsi!! 

Apakah mereka tidak belajar dari sejarah Islam, ketika Saidina Ali r.a membawa pertikaiannya dengan yahudi berkenaan kes kecurian baju besinya kepada hakim, Ali r.a mengalah ketika hakim memenangkan yahudi tersebut kerana hakim menolak anaknya sebagai saksi. Perhatikan, bagaimana Islam menghormati institusi mahkamah. Ali r.a saja mengalah dan akur dengan keputusan hakim, sedang dia tahu baju besi itu miliknya, namun kita sebaliknya dengan mudah menjatuhkan hukuman bersalah kepada individu tertentu sedangkan kebanyakan tuduhan rasuah masih diperingkat siasatan?!


*Ubat kepada penyakit rasuah mengikut perspektif Islam*
Mereka yang pro-liberal dan pro-sekular ini menyangka, bahawa agamawan harus menjadi seperti mereka, yakni dengan menunding jari dan mengkritik beberapa ahli politik yang menjadi musuh mereka dalam media sosial akhbar-akhbar tentang skandal rasuah mereka. Barulah ini agamawan yang peka dan cakna dengan masalah rasuah. Begitulah membasmi rasuah ala pro-liberal dan pro-sekular, yakni sekadar menggubal undang-undang yang lebih tegas atau mengganti pemimpin yang korup melalui undian rakyat. 

Namun mereka lupa, bahawa ubat dan penawar sebenar ialah merawat rohani manusia yang merupakan punca kepada sifat tamak, rakus, cinta harta dunia, pudarnya iman, rosaknya taqwa, lupa akhirat dan sebagainya lagi yang merupakan punca kepada terdorongnya sifat tamak yang mencetus tabiat rasuah dan korupsi. 

Seruan perbaikan hati dan minda inilah yang kini giat dijalankan dengan ikhlas oleh asatizah-asatizah kita. Mereka bekerja siang dan malam mendidik umat, mengembalikan aqidah umat, merawat penyakit rohani mereka, menjelaskan batasan halal dan haram, membetulkan akhlak mereka, demi menjadikan umat ini sebagai manusia yang benar-benar mengabdi kepada Allah.

Sekali lagi kita tegaskan, kita menentang rasuah dan penyelewengan, namun bukan untuk mentaqrir individu dan pihak sekian-sekian sebagai perasuah dan korupsi. Asatizah dan agamawan berkerja dalam bidang yang ada limitasinya, bukan main serkap jarang dan menuduh sebarangan. Adapun perincian kes-kes tertentu, kita serahkan kepada badan kehakiman dan pihak yang bertanggungjawab. 




Comments