OLEH: Abu Amru Radzi Othman
AAMRO
(1) Ka'bah menjadi kiblat umat Islam setelah setahun lebih menghadap ke Baitul Maqdis.
Awalnya umat Islam menjadikan Baitul Maqdis sebagai kiblat. Lalu orang Yahudi berasa gembira. Setelah 16 bulan atau 17 bulan maka Allah menurunkan wahyu untuk membenarkan umat Islam menjadikan Ka'bah sebagai kiblat.
Ibnu Katsir menulis dalam Tafsirnya pada ayat 144 surah Al Baqarah: Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami Israil, dari Abu Ishaq, dari Al-Barra yang menceritakan "bahawa ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, beliau solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Rasulullah saw menyukai bila dipalingkan ke arah Ka'bah. Maka turunlah firman-Nya: 'Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit". (Al-Baqarah: 144) Maka beliau berpaling menghadap ke arah Ka'bah.
(2) Kiblat kaum Yahudi dan Nasrani adalah menghadap Baitul Maqdis.
Dalam Perjanjian lama dinyatakan secara jelas: "Tetapi kerana kasih-Mu yang besar, aku boleh masuk ke dalam Rumah-Mu. Kusujud ke arah Rumah-Mu yang suci, dan kusembah Engkau dengan khidmat". (Mazmur 5:7-8)
(3) Setelah bertukarnya arah kiblat umat Islam maka kaum Yahudi Madinah marah dan membuat fitnah.
Lantas Allah membantah kaum Yahudi dan Nasrani dengan firman-Nya:
"Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan"
(Al-Baqarah: 144)
Ibnu Katsir berkata: "Yakni orang-orang Yahudi yang memprotes kalian menghadap ke arah Kabah dan berpalingnya kalian dari arah Baitul Maqdis mengetahui bahawa Allah swt pasti akan mengarahkan kamu ke Kabah, melalui apa yang termaktub di dalam kitab-kitab mereka dari para nabi mereka tentang sifat dan ciri khas Nabi Muhammad saw serta umatnya. Disebutkan pula di dalamnya kekhususan yang diberikan oleh Allah kepadanya serta penghormatan yang diberikan-Nya, iaitu berupa syariat yang sempurna lagi besar. Akan tetapi Ahli Kitab menyembunyikan hal ini di antara sesama mereka kerana dengki, kufur, dan ingkar".
Dan dengan tuntas Allah mengatakan hak menentukan arah kiblat itu milik-Nya:
"Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah, "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat"." (Al-Baqarah: 142)
(4) Umat Islam tidak menyembah Kaa'bah
Islam adalah agama monotism dimana hanya Allah merupakan Tuhan yang disembah dan diminta sesuatu.
Oleh itu Ka'bah hanyalah sebatas simbol perpaduan seluruh umat Islam dalam beribadah.
Pendek kata Ka'bah hanyalah penunjuk arah untuk beribadah, bukanlah objek yang disembah.
Seandainya Ka'bah merupakan sesuatu objek yang disembah, lalu apakah sebelum itu umat Islam sempat menyembah Baitul Maqdis?
Malah apakah sesuatu yang disembah layak dipijak oleh para penyembah? Kenyataannya adalah setiap tahun kiswah (kain selubung) Ka'bah akan ditukar baru. Ketika proses penukaran ini para pekerja akan naik keatas atap Ka'bah.
Satu hal yang orang bukan Islam tidak ketahui adalah dalam keadaan tertentu dimana umat Islam dibenarkan bersolat dalam keadaan tidak menghadap Ka'bah. Seperti solat di atas kenderaan atau ketika tidak berupaya untuk mengetahui arah kiblat.
Comments
Post a Comment