Si Fulan Bukan Alim Tetapi Pandai Merawat, Bagaimanakah?

OLEH: Halim Abdurrahman Halim.

Tulisan akhir sebelum lelap. Nak kongsi sedikit tentang bagaimana seseorang itu tiba-tiba pandai 'merawat' sedangkan pengetahuan agamanya bukan 'tara' mana.

Ada satu kaedah yang mana ada perawat ini mampu 'scan' dari jauh. Tengok hanya melalui gambar atau nama penuh. Kemudian dalam rawatannya seolah tiada yang meragukan, kerana baca ayat-ayat Al Quran dan zikir biasa. 

Sebenarnya walaupun dalam rawatan ia membaca Quran dan Zikir, namun boleh melakukan scan dari jauh seperti disebutkan tadi. Atau merawat dari jauh dengan 'pukulan' atau 'jurus' tertentu. Ia tidak dianggap sebagai perawat syarie. Sebaliknya ia termasuk dalam kategori dukun atau lebih dekat sebagai Kahin. Serta kaedah yang dilakukannya mempunyai unsur An-Nusyrah iaitu adanya bantuan entiti ghaib lain (jin) dalam merawat. Nusyrah dalam rawatan seperti ini ditegah oleh agama.

Bagaimana ia boleh dapat kebolehan tersebut? 

Kebiasaanya ada kalangan perawat ini mendapatkannya melalui perkaitan keluarga, atau konon memiliki saka pendamping yang dipercayai telah diwariskan. Contoh hal kerap berlaku dari keluarga berdarah bangsawan, pendekar, pawang, bomoh, bidan dan tukang urut.

Atau

Menuntut ilmu kebatinan atau tarekat yang membolehkannya mempunyai komunikasi dengan 'Ahli Naubah'. Pada hakikat ahli Naubah yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah Jin. Lalu percaya ahli naubah tersebut merupakan wali ghaib yang sentiasa membantu dan memberi pertolongan.

Atau

Ada menuntut ilmu persilatan, yang membolehkan ia bergaul dengan entiti ghaib. Lalu percaya entiti tersebut adalah wali atau ahli naubah. Atau dalam seni bela tersebut ia beramal dengan teknik tenaga dalam/ayat khadam, dan percaya kemampuan tenaga itu bukan saja boleh digunakan untuk bertarung, bahkan untuk merawat orang lain. Dia percaya tenaga dalam yang ia miliki itu adalah dari auranya sendiri, walhal itu permainan entiti ghaib (jin/syaitan).

Atau 

Tiba-tiba boleh 'merawat' setelah diganggu entiti ghaib. Maksudnya sebelum itu dia pernah disihir dan kemudian sembuh melalui kaedah perdukunan. Lalu jin si dukun mendampinginya dan membuatkan dia boleh 'merawat' orang lain.

Atau

Sudah didampingi jin semenjak kecil. Hal ini selalu berlaku pada anak kecil yang dikatakan dapat melihat entiti ghaib dan berkomunikasi dengannya. Lalu entiti tersebut mendamping serta 'membantu' kanak-kanak terbabit merawat orang lain. Tanpa sedar, lebihnya parahnya bila Ibu Ayah si anak percaya apa yang ada pada anaknya itu adalah pemberian (gifted) dari Tuhan.



Comments