Kejatuhan Abbasiyyah: Ibnul Alqalami, Pengkhianat Hina Yang Dihinakan

OLEH: Halim Abdurrahman

Ibnu Alqami atau nama lengkapnya Abu Thalib Muayyiduddin Muhammad bin Ahmad bin Ali bin Abi Thalib bin Al-Alqami Al-Baghdadi Ar-Rafidhi. Dia adalah salah seorang Menteri dalam kerajaan Abbasiyyah dan merupakan penganut Syiah Rafidhah. 

Sejarah menceritakan bagaimana peranannya sebagai pengkhianat menjadi titik penting kepada kejatuhan Empayar Abbasiyyah. Kata Ibnu Kathir: 
"Ia termasuk seorang pengikut Rafidhah yang buruk, dan kemudian berkhianat terhadap Islam dan kaum Muslimin." (Al-Bidayah Wa An-Nihayah, 13/202).
Ketika Hulagu Khan (Mongol) dalam ekspedisi meluaskan jajahannya, Ibnul Alqami adalah orang yang berutus surat dengan Hulagu Khan dan mendesak Hulagu Khan supaya melakukan serangan ke Kota Baghdad. 

Kirim 'Surat' Guna Kepala.
Pernah satu kali ia berkirim surat dengan menggunakan kepala manusia, ia mengambil satu orang untuk dicukur kepalanya lalu menuliskan sesuatu atas kepala tersebut dengan kaedah 'tatoo'. Kemudian kepala tersebut disiram dengan alkohol agar tulisannya tidak mudah hilang. Selepas itu dalam beberapa ketika dibiarkan rambut orang itu tumbuh sehingga menutupi kepalanya. Setelah cukup persiapan, dia berpesan kepada lelaki yang telah dicukur itu; 
"Apabila kamu sudah sampai ke Mongol, maka suruhlah mereka untuk mencukur habis kepalamu, agar mereka boleh membaca surat yang aku tulis untuk mereka."

Kemudian setelah sampai disana, kepala dicukur oleh pihak Mongol dan surat berkenaan dibaca. Ternyata pada ayat akhir surat tersebut menuliskan;
"Musnahkanlah surat yang aku kirimkan kepadamu ini".

Setelah selesai surat atas kepala itu dibaca, lelaki itu terus dipenggal kepalanya. Inilah perbuatan antara hina yang dilakukan oleh Alqami.

Dalam politik juga, sebagai menteri Abbasiyyah dia telah memecahkan fokus pasukan tentera di satu tempat, menggugurkan sejumlah nama dari daftar penerima nafkah dan mengabaikan dengan sengaja peruntukkan pasukan yang sepatutnya dijaga dengan baik. Lalu akhirnya daripada 100 ribu tentera Khalifah, susut kepada 10 ribu tentera pada akhir masa pentadbiran Khalifah.



__________

Kota Baghdad Tumbang
Setelah tumbang Kota Baghdad dengan Khalifah turut dibunuh oleh pasukan Mongol. Ibnul Alqami merasakan dia akan diberi kelebihan dan kedudukan, malangnya dia mendapat balasan yang ia sendiri tidak sangka.

Kata Adz-Dzahabi:
"Ibnul Alqami telah menggali lubang yang dalam agar umat Islam dapat jatuh kedalamnya, namun di lubang yang tidak berbeza jauh ia juga terjatuh di sana. Ia merasakan titik terendah penghinaan dan harus berusaha sendiri menutupi lubang perahunya setelah kapal Khalifah tenggelam akibat perbuatannya. Lalu ia pun akhirnya mati dengan cara yang buruk, dan di akhirat nanti sudah menunggu hukuman lebih berat lagi." (Siyar A'lam An-Nubala, 23/362)

Dikhabarkan, ketika Alqami duduk dipejabatnya. Datang sejumlah tentera Tartar Mongol menunggang kuda masuk ke pejabatnya. Mereka menghentikan kuda yang ditunggang di atas permaidani sang Alqami dan prajurit Mongol itu sembang merapu sesuka hati mereka di depan Alqami. Tidak cukup dengan itu, kuda mereka siap kencing atas permaidani sehingga percikan kencing terkena pakaian Ibnul Alqami. Dia langsung tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa melayan karenah orang-orang Tatar Mongol.

Tidak cukup dengan itu, dia sendiri dikejutkan dengan kematian ramai orang-orang kenamaan kalangan Dinasti Fathimiyyah (syiah) serta ramai wanita Syiah diperlakukan dengan tidak hormat oleh askar Mongol. 

Alqami yang rasa dirinya boleh naik pangkat, rupanya dihina lagi dengan disuruh untuk dengar dan ikut segala kata-kata Ibnu Imran, walhal Ibnu Imran sebelumnya merupakan pelayan istana Abbasiyyah. Ketika Hulagu Khan memanggil Ibnul Alqami datang mengadap, sampai sahaja Alqami di depan Hulagu, terus Alqami dicaci maki dan diherdik serta dianggap tidak setia terhadap Hulagu walaupun sudah mendapat keistimewaan dari bangsa Tatar. Dia ini sudalah dihina, dituduh lagi tidak setia.
Kata As-Suyuthi, Ibnul Alqami diperlakukan oleh bangsa Tatar seperti layaknya seorang pelayan, dan tidak lama kemudiannya ia mati dalam keadaan penuh penderitaan. (Tarikh Al-Khulafa, As-Suyuthi, hlm.378).
.
__________


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments