Raya Baju Melayu Jangan Pakai Kurta?

OLEH: Taufiq Tuah

Saya tak setuju dengan tajuk di atas. Beberapa tahun lepas, saya terbaca petikan kata-kata Jaafar Onn (Selebriti) tentang Baju Melayu. Membawa mesej untuk orang Melayu tidak memakai kurta sebaliknya, memakai Baju Melayu di hari raya.

Saya ingat isu ni tamat setakat itu. Tapi tahun ni ramai pula orang mula bangkitkan kembali mesej yang sama. Mungkin tidak begitu 'viral' namun saya melihat ada kelompangan yang perlu diperjelaskan.


1. Mereka bersuara untuk jangan pakai kurta ialah kerana memperjuangkan budaya Melayu.

2. Kata Imam al-Shāfi‘ī dalam al-Umm:

وَأُحِبُّ أَنْ يَلْبَسَ الرَّجُلُ أَحْسَنَ مَا يَجِدُ فِي الْأَعْيَادِ الْجُمُعَةِ وَالْعِيدَيْنِ، وَمَحَافِلِ النَّاسِ، وَيَتَنَظَّف…

“Saya suka lelaki memakai apa-apa yang terbaik yang boleh didapati pada hari-hari raya – Jumaat, dua hari raya, dan keramaian –, membersihkan diri, dan memakai wangian…”

3. Menurut Imam al-Shafii tidak menjadi syarat memakai Baju Melayu atau Jubah atau Kurta. Hanya dianjurkan untuk memakai pakaian terbaik.

4. Pandangan saya, kita tak patut melarang mana-mana individu memakai kurta di hari raya. Sebaliknya yang lebih utama ialah melarang fashion baju Melayu yang tidak sopan dan berlebihan. Seperti baju Melayu yang ketat (lebih ketat dari slim fit) dan baju Melayu lengan pendek seperti sengaja dikoyakkan. Apatah lagi yang memakai baju Melayu tapi kemudian memakai gelang tangan.

5. Memakai kurta tidak pun menghakis akhlak orang Melayu. Malah bagi orang kita yang berbadan besar, 'cutting' kurta ialah pilihan yang sangat baik dan kemas.

6. Secara urufnya pula, baju melayu dan kurta ialah pakaian yang umum tahu pakaian kebiasaan ke masjid walaupun kurta ada sedikit mirip dengan dhoti. Kurta dan dhoti ini masih ada banyak perbezaan.

7. Saya tidak melarang malah menyambut baik budaya berbaju Melayu di hari raya. Apatah lagi yang siap bertanjak. Namun untuk melarang orang memakai kurta dan jubah, saya tak setuju.

[Legasi Pemikir - LEKIR]



Comments