OLEH: Halim Abdurrahman
Jika anda menonton filem John Wick, Assassin Creed dan seumpamanya, mungkin anda tertanya dari mana asal-usul Assassin. Sebenarnya istilah Assassin mula di bawa ke Eropah dan menjadi terkenal di dunia barat setelah mereka balik dari ekspedisi Perang Salib, lalu selama berabad lamanya istilah Assassin dianggap sebagai entiti pembunuh yang paling ditakuti.
Dari mana datang 'penjenamaan' tersebut?
Kelompok Assassin (Al-Hashishiya) merupakan mazhab pecahan Syiah Ismailiyyah. Pada mulanya ia adalah sebuah gerakan dakwah Syiah di wilayah Parsi dan kemudian merebak ke empayar Fatimiyyah Mesir serta akhirnya menjadi kelompok pembunuh bayaran.
Gerakan tersebut diasaskan oleh Hasan As-Shabbah (meninggal 1124M), berasal dari keluarga penganut Syiah Itsna Assyariyah (Imam 12) yang berpengaruh di Kota Qum (Iran). Namun Hasan As-Shabbah lebih cenderung kepada Syiah Ismailiyyah yang mana di sisi Ahlus Sunnah kelompok Syiah ini termasuk dalam kategori Syiah Batiniyyah.
Semasa di Iran, Hasan mendirikan pusat dakwah di Damghan. Namun kawasan tersebut masih baru dan mudah diketahui oleh pemerintah Saljuk (Ahlus Sunnah). Kemudian Hasan mencari tempat lain lebih strategik untuk dijadikan markas sehinggalah akhirnya dia menemui Benteng Alamut di pergunungan Elburz (utara Iran). Pada awal dia tiba di benteng tersebut, ia telah pun dikuasai oleh pemimpin Syiah Itsna Asyariyyah. Dengan tekad kuat Hasan untuk kuasai benteng, Hasan berjaya mengumpul pengikut di dalam benteng dan berjaya mengambil alih benteng Alamut dengan membelinya pada harga 3000 dinar (sumber lain; 7000 dinar). Semenjak Hasan As-Shabbah menduduki benteng Alamut, dia tidak pernah keluar dari benteng tersebut selama 34 tahun melainkan 2 kali sahaja.
Kata Al-Imam Adz-Dzahabi mengenai Hasan As-Shabbah, 'Salah satu syaitan bertopengkan manusia, dia memiliki tekad, berlidah fasih, bersikap kusyuk, suka menyepi dan memiliki pengikut'.
-Dari Gerakan Dakwah kepada Pembunuh-
Kerana Hasan As-Shabbah melihat ajaran kelompoknya mendapat risiko ancaman dari kerajaan Abbasiyyah dan Saljuk di Baghdad, lalu dari situ bermulalah satu kaedah lain yang amat efektif dan ngeri buat pegawai ahlus sunnah di kerajaan Abbasiyyah dan Saljuk. Strategi ini kemudiannya berkembang menjadi gerakan Assassin yang amat dikenali di dunia.
Mangsa pertama pembunuhan Assassin ialah Nizam Al-Muluk, pegawai penting kerajaan empayar Saljuk. Lalu pada tahun 1092M sebagai balas dendam, Sultan Dinasti Saljuk bernama Malikshah telah menghantar pasukan tentera ke Alamut bagi menumpaskan gerakan Assassin Hasan As-Shabbah. Namun serangan ini tidak berjaya.
Bagaimana Nizam Al-Muluk dibunuh? Ketika itu, Nizam sedang dalam perjalanan ke Isfahan. Pada hari Jumaat malamnya, selepas beliau berbuka puasa, rombongannya tiba di desa Sahna iaitu sebuah kawasan tidak jauh dari Nahawand. Ketika itu ada seorang pemuda dari Dailam yang berpakaian seperti sufi telah meminta izin untuk mendekati Nizam, kerana katanya mahu menyampaikan sesuatu. Ketika lelaki itu berada di hadapan Nizam, lantas dia terus keluarkan sebilah belati dan menikam Nizam tepat-tepat di jantung.
Si Pembunuh Nizam berjaya melarikan diri, tetapi akhirnya tertangkap dan dihukum mati. Sultan Malikshah kemudiannya segera ke ke tempat pembunuhan Nizam dan menguruskan jenazah Nizam Al-Muluk rahimahullah dengan dibawa ke Isfahan untuk dikebumikan.
Sejak daripada kejadian tersebut, kelompok Hasyasyin (Assassin) menjadi semakin dikenali dan menjadi mimpi ngeri kepada pegawai-pegawai dan pemerintah sunni. Hasan As-Shabbah melatih kaum Assassin dengan kemampuan menyamar dan melakukan pembunuhan secara mengejut tanpa disangka oleh sesiapa. Kadangkala Assassin ini menyamar menjadi ahli sufi, ahli ibadah, pengemis dan kadangkala menyusup menjadi askar. Manakala mangsa mereka pula adalah komandan tentera, wazir, para mufti dan tokoh agama. Kemudian pembunuhan dibuat di tengah orang ramai, masa keramaian dan lepas solat jumaat ketika kaum muslimin sedang berkumpul. Seolah Assassin mahukan pembunuhan itu disaksikan oleh sekalian orang. Semasa hidup Hasan As-Shabbah, jumlah tokoh sunni yang dibunuh oleh Hasyasyin (Assassin) mencecah sekitar 50 orang.
Kesan daripada tindakan Assassin, ramai tokoh kaum sunni mengenakan baju pelindung dan membawa senjata ke mana sahaja mereka pergi. Kerana ancaman Assassin bagi mereka boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Selepas kematian Hasan As-Shabbah, gerakan Assassin terus hidup di bawah pimpinan pengganti beliau Buzurgumid dan seterusnya pemimpin-pemimpian Assassin yang lain.
- Hasyasyin (Assassin) Pasukan Terlatih, Hati Keras -
Puak Assassin dianggap sebagai kelompok yang setia dan bersedia mati pada bila-bila masa, melakukan pembunuh nekad serta rela ditangkap dan dibunuh. Apa yang menyebabkan mereka menjadi demikian?
menurut sejarah, mereka telah menerima doktrin-doktrin 'agama' yang tertanam kuat dalam fikiran dan keyakinan mereka. Para pemimpin Assassin pula mempunyai kebolehan memberikan motivasi kepada anak buahnya dalam melakukan misi-misi bahaya dan sulit. Dikatakan bahawa mereka memiliki sebuah taman khas lagi indah yang mana di dalamnya terdapat istana, tidak semua boleh masuk kecuali dengan izin pemimpin Assassin.
Mereka juga mengambil anak-anak petani yang tinggal berdekatan dengan pusat gerakan dan mendidik mereka dari kecil sebagai Assassin. Diberi latihan keras, didoktrin dan sebagainya sampaikan anak-anak ini tidak kenal lagi orang tua mereka. Mereka hanya kenal pemimpin serta ajaran yang dibawakan. Seperkara menarik, anak-anak Assassin Junior diajarkan beberapa bahasa luar, bagi memudahkan mereka menyusup masuk dalam wilayah musuh dan mendekati sasaran. (Masa menulis perenggan ini, teringat saya Filem Salt lakonan Angelina Jolie)
Sepanjang kewujudan gerakan Assassin, pemimpin Assassin paling hebat pernah diketahui ialah seorang lelaki berbangsa Parsi bernama Rashiduddin Sinan. Dia dilahirkan di Iraq dan dibesarkan di Alamut serta dididik menjadi Assassin. Setelah dia dilatih, dia menjadi pemimpin Assassin paling berpengaruh di Syria. Kerana begitu kuat pengaruh beliau, dia bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya tanpa menghiraukan arahan pimpinan Assassin pusat yang berpengkalan di Alamut. Sampaikan pimpinan Assassin Alamut menghantar pembunuh mereka untuk membunuh Rashiduddin, tetapi semuanya gagal. (Ceritanya lebih kurang macam John Wick kena buru oleh Assassin High Table).
_____________
- Istilah Elder (Orang Tua) Dalam Assassin -
Menurut laporan tentera Frank (era perang salib), para pengikut gerakan Assassin memanggil pemimpin mereka dengan sebutan Orang Tua (Elder). Sekali lagi, dalam John Wick adalah 'mention' tentang 'Elder'. Rashiduddin Sinan dikenali di kalangan tentera Frank sebagai 'The Old Man Of The Mountain' (Syaikh Al-Jabal).
Tamat.
Sumber:
1. Assassin: Dari Benteng Alamut Sehingga 'The Old Man Of The Mountain'. Syed Alwi Al-Atas
2.https://en.wikipedia.org/wiki/Order_of_Assassins
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment