Situasi Aleppo Ketika Dikepung Tatar Mongol

 OLEH: Halim Abdurrahman


Terlebih dahulu, pengenalan tentang Aleppo. Wilayah ini kini berada dalam Syria. Sejak beberapa tahun lalu lokasi ini sering menjadi kawasan pertempuran antara pejuang rakyat Syria dan kerajaan Basyar Al-Assad. Tidak pernah aman.


Kita kembali ke zaman 800 kebelakang.

Selepas kejatuhan Abbasiyyah Baghdad, maka ramai pemimpin wilayah Islam terpaksa tunduk kepada Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan. Ini juga berlaku kepada Al-Malik An-Nashir Yusuf Al-Ayubbi dari dinasti Ayyubiyah. Beliau adalah pemimpin bagi negeri Aleppo dan Damaskus. Sebagai tanda ketundukkan beliau terhadap Hulagu Khan, beliau telah menghantar anaknya Al-Malik Al-Aziz menemui Hulagu dengan membawa hadiah sebagai simbol 'patuh'. Dalam penghantaran hadiah tersebut, dititipkan sekali pesanan (surat) daripada Al-Malik An-Nashir kepada Hulagu supaya Hulagu membantunya menghantar tentera Mongol bagi menolong kerajaan Ayyubiyah mengambil semula Mesir dari Daulah Mamluk (Mamalik).

Hulagu menjadi murka. Kerana beliau terasa terhina kerana Al-Malik tidak datang sendiri menemuinya membawa hadiah (sepertimana kebiasaan pemimpin lain), malah siap 'mengarah' beliau supaya membantu Al-Malik An-Nashir lagi. Kau ingat kau siapa? Hulagu menolak permintaan Al-Malik dengan membalas surat Al-Malik. Isi surat tersebut penuh dengan ancaman dan kemarahan Hulagu.

Apabila surat itu sampai kepada Al-Malik An-Nashir, Al-Malik pula marah dan membalas kembali surat berkenaan. Al-Malik kemudian bertindak mengutus Kamaluddin bin Adim untuk menemui Mamluk di Mesir dan meminta bantuan ketenteraan dari mereka bagi menghadapi pasukan Hulagu. Tindakan itu telah sampai ke telinga Hulagu Khan, beliau tersentak kerana caranya sebelum ini membuatkan Al-Malik beralih arah. Maka dari situ, bermulalah penyerangan Kota Aleppo.

Kota Aleppo merupakan kota pertama di Syam yang harus dihadapi oleh pasukan Mongol. Hulagu telah memerintahkan keseluruhan tenteranya menyeberang sungai Eufrat dan masuk ke Syam. Kota Aleppo pada masa itu dipimpin oleh Al-Malik Al-Muazzam Turan Syah. Khabar kedatangan tentera Tatar Mongol telah sampai kepada penduduk Aleppo, mereka menjadi panik dan 'dirasuk' ketakutan luar biasa. Mungkin sebab mereka sedar bahawa Mongol inilah raksasa ganas yang telah menghancur punah Baghdad sebelum ini.

Lantaran itu, Al-Malik Al-Muazzam telah menggerakkan tenteranya untuk menguatkan lagi pertahanan Kota Aleppo. Kota ini cukup kuat untuk menangkis serangan daripada luar. Lalu pada November 1259M, pasukan Mongol mula mendekati Kota Aleppo. Mereka mendirikan khemah di luar kota yang terletak di perkampungan Salmiyah, Hailan dan Hari. Ada penduduk kampung yang diutus oleh Al-Muazzam untuk pergi ke khemah-khemah Mongol dan menghidang mereka makanan, lalu penduduk ini menyampai maklumat berapa jumlah kekuatan Mongol yang berada di luar kota. Maka Al-Malik Al-Muazzam Turan Syah telah memutuskan supaya seluruh pasukannya menjaga kota dari dalam tanpa harus keluar dari gerbang kota.

Hari berikut, pasukan Mongol bergerak semakin hampir ke dinding kota Aleppo, ketika mereka melalui sebuah gunung/bukit, mereka diserang oleh pasukan Muslim yang berada di atas bukit. Pasukan Mongol terpaksa berundur sambil dikejar oleh pasukan Muslim tersebut. Setelah menjauhi Kota Aleppo, pasukan Mongol kembali menyerang pasukan Muslim yang sedang mengejar mereka tadi. Dikejar dan dikejar sehingga ramai pasukan Muslim yang terbunuh. 

Pada awal bulan Safar 658H/Januari 1260M, tentera Mongol semakin memperketatkan kepungan terhadap Kota Aleppo. Mereka menggali parit di sekitar kota yang dalamnya setinggi orang dewasa serta lebar 4 hasta. Kemudian mereka mendirikan sebuah tembok setinggi 5 hasta untuk memancang 20 buah manjaniq/trebuchet. Setelah segala persiapan itu dibuat, pasukan Hulagu Khan terus menyerang Kota Aleppo dengan melemparkan batu-batu besar yang dilancar dari Manjaniq/Trebuchet. Dari segala penjuru Aleppo diserang lalu akhirnya Al-Malik Al-Muazzam Turan Syah Al-Ayubbi menyerah kalah. Peristiwa itu berlaku pada 9 Safar 658H, setelah seminggu diserang bertubi-tubi.

Pasukan Mongol meluru masuk ke dalam kota Aleppo. Seperti biasa, mereka membunuh banyak penduduk dan mengusir yang tersisa. Setiap rumah dalam kota dijarah kesemuanya, kanak-kanak dan wanita pula dijadikan tawanan. Diriwayatkan Tatar Mongol telah menawan 100,000 (seratus ribu) penduduk Aleppo dari kalangan wanita serta kanak-kanak. Tidak ada yang selamat dari serang tersebut melainkan penduduk yang berlindung di kediaman Syihabuddin bin Amarun, Najmuddin saudara Murdikin, Baziyad, Ilmuddin, rumah ibadah milik seorang sufi Zainuddin dan kuil Yahudi di Faramanat. Diriwayatkan jumlah yang terselamat dengan berjaya keluar dari Kota Aleppo pada masa itu ialah seramai 50 ribu orang.

Al-Malik Al-Muazzam dibiarkan hidup oleh Hulagu Khan, ada beranggapan mungkin disebabkan Al-Muazzam itu sudah tua uzur. Beberapa hari kemudian, beliau meninggal dunia. Kemudian pasukan Halugu Khan berangkat ke Damaskus, kediaman Al-Malik An-Nashir Al-Ayubbi.





Gambar: Sebahagian Kota dan Gerbang Aleppo yang masih wujud sehingga kini. Lepas tercetus perang Basyar-Rakyat Syria, dikhabarkan Kota ini turut menerima tempias pengeboman.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments