Perlu Minta Dokumen Perjanjian Dengan Pakej Haji Furada

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya



Saya setuju dengan peringatan dari Ketua Rombongan Haji Malaysia. Berkali-kali saya tekankan kepentingan adanya dokumen perjanjian yang jelas antara pihak pengurusan pakej Haji Furada dan para jemaah. Kita tak boleh halang aktiviti dan tawaran Haji Furada ini kerana ia merupakan sesuatu yang ‘real’. Apa yang kita sepatutnya lakukan ialah menyiapkan satu sistem untuk menguruskan dengan lebih baik. 

Tiada akta di sisi Kerajaan Arab Saudi menghalang dan menafikan keabsahan haji dengan visa Furada atau mujamalah. Bahkan visa ini lah saban tahun dianugerahkan kepada para pemimpin negara kita lalu dimanfaatkan oleh ramai rakyat yang gagal mendapatkan tempat untuk menunaikan haji melalui platform Tabung Haji. In shaa Allah menuju ke arah mencapai Vision 2030, Arab Saudi sedang menyediakan sistem pengurusan visa Haji Furada/Mujamalah dengan lebih baik. 

Apa guna jika diiktiraf sebagai pengurusan haji rasmi tapi apabila kita menerima kuota tambahan sekitar 5000 kuota, ia tidak dimanfaatkan buat rakyat yang masih menanti harapan untuk menunaikan haji. Bukan semua rakyat mampu menunaikan haji dengan plaftorm pakej PJH. 

Pengurusan kuota tambahan Malaysia tak sepatutnya diuruskan dengan level yang sama ia diuruskan oleh pengurusan haji negara paling sedikit umat Islamnya di Asean iaitu Singapura. Kita memiliki sebuah organisasi hebat untuk menguruskan sekitar 5000 kuota tambahan dengan baik bagi memenuhi hajat rakyat yang ramai menunggu untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini. Harapan kita tiada pembaziran kuota berlaku pada tahun ini.



[Legasi Pemikir - LEKIR]




Comments