OLEH: Taufiq Tuah
Jika ada baca penulisan saya yang lepas-lepas pasti ada saya sebutkan bahawa 'kita bersatu kerana Aqidah dan Tauhid'. Lalu ada beberapa penulisan yang membangkang penulisan saya kononnya tak mengira apa aqidah, yang penting ialah bangsa Melayu bersatu.
Ala kulli hal, hari ini muncul pula dakwaan 'silat yang menyatukan orang Melayu'. Saya kira ini waktu yang sesuai untuk saya berikan hujah saya bahawa Islam ini hanya akan bersatu kerana Aqidah dan Tauhid.
1.Saya juga Melayu dan berharap agar ilmu persilatan ini tak mati ditelan zaman. Selagi mana persilatan ini tidak ada yang melanggar syariat, maka kembangkanlah untuk anak cucu kita.
2. Namun benarkah silat boleh menjadi 'medium' penyatuan? Saya kira perkataan ini perlu dibuktikan. Silat itu sendiri ada banyak jenis dan persatuannya. Sesama persatuan pun ada konflik sesama saudaranya. Tambahan pula, bagaimana dengan orang Melayu yang tidak belajar silat, sebaliknya belajar Taekwando. Adakah mereka akan dicicirkan dari penyatuan? Bagaimana pula orang yang memang tidak belajar seni pertahankan diri?
3. Maka saya tetap dengan pendirian bahawa yang menyatukan umat ini tidak lain dan tidak bukan ialah Aqidah dan Tauhid. Malah hal ini terbukti zaman berzaman di setiap tamadun dan setiap latar sejarah.
4. Rasulullah menguatkan dakwah aqidah dan tauhid di Mekah. Sehingga apabila baginda ke Madinah, dapat menyatukan Muhajirin dan Ansar. Dapat juga menyatukan Aus dan Khazraj. Dapat menyatukan yang berkulit gelap dan berkulit terang. Begitu kukuh kesatuan Madinah dan Mekah ketika adanya Rasulullah kerana kesatuan itu berdiri di atas Aqidah dan Tauhid.
5. Kerana aqidah jugalah bersatunya satu demi satu tanah Islam di zaman Abu Bakr dan Umar Al-Khatab. Kerana aqidah, Islam menang melawan Parsi, Rom dan juga tentera² nabi palsu di zaman Ar-Rasyidin. Apakah selama ini kita fikir mereka bersatu atas nama 'Nasionalis Madinah'? atau atas nama 'Nasionalis Arab'? Tidak. Mereka bersatu itu semuanya kerana aqidah dan tauhid memperjuangkan kalimah Lailahailallah.
6. Isi nombor 4 dan 5 ini membuktikan bahawa umat ini memang bersatu atas nama Aqidah dan Tauhid. Daripada Aqidah dan Tauhid ini bukan sahaja menyatukan satu bangsa tetapi juga seluruh bangsa yang perjuangkan Aqidah yang sama.
7. Ada yang menunggang aqidah ini untuk kepentingan sendiri. Saya pasti akan ada yang berkata "Perjuangkan Melayu kerana Melayu lah yang akan perjuangkan Aqidah". Ada juga yang akan kata perjuangkan silat tertentu kerana asal silat semua berbalik kepada Aqidah. Saya ingin tekankan supaya kita tidak menunggang kesucian aqidah dan tauhid untuk kepentingan tertentu.
Perjuangan Aqidah dan Tauhid tidak 'ekslusif' untuk bangsa Melayu atau pengamal seni bela diri sahaja. Terkadang kita terlalu 'over claim' sehingga kita lupa hakikatnya Allah ialah tuhan semesta alam dan bukan nusantara sahaja.
8. Di sini jelaslah bahawa pentingnya sentiasa kita ingatkan hal aqidah dan tauhid. Benar, dua topik yang sering diremehkan atas alasan "aku dah belajar dekat sekolah". Rupanya ini lah yg dapat menyatukan ummat seluruhnya. Kerana aqidah lah halnya yang kita akan bawa juga selepas mati. Kembali kepada Aqidah yang sahih daripada Al-Quran, hadis dan ijma' para sahabat. Aqidah yang sentiasa meninggikan Allah yang Maha Tinggi.
وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ
9. Ingat! Ketika nabi memberikan kita peringatan yang Islam akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya ke neraka kecuali satu golongan. Membuktikan bahawa aqidah yang benar-benar menyatukan ialah aqidah yang sahih sahaja yang mana tidak ada bercampur dengan aqidah lainnya.
Sahabat-sahabat, teruskan peringatan kita akan hal aqidah. Beritahu pada mereka yang aqidah yang sahih itu hanya satu dan bukannya dua aqidah yang kononnya 'dimurnikan'. Aqidah yang benar ialah aqidah yang tidak bercampur rojakkan. Aqidah yang menyatukan ialah aqidah yang tidak bersatu dengan aqidah sesat terutamanya di dalam hal agama. Aqidah yang benar tidak akan menjadikan orang kafir sebagai teman apatah lagi pemimpin.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment