Pencarian Salasilah Keluarga Melalui Kaedah Janji Temu

 OLEH: Raja Adley Paris


SIRI 1 - Pencarian Salasilah Keluarga melalui Kaedah Janji Temu bersama Ahli-ahli Keluarga (Pengumpulan Maklumat Lisan Sejarah Keluarga) & Pengumpulan Foto-foto Keluarga.

Assalammualaikum dan salam bahagia

Ada beberapa individu telah meluahkan perasaan mereka mengenai kesukaran untuk menjejaki kembali maklumat salasilah keluarga masing-masing. Saya amat memahami kesukaran yang dialami itu dan salah satu faktor utamanya ialah tiada sebarang catatan yang disimpan oleh keluarga masing-masing. Saya juga pernah mengalami perasaan yang sama khususnya sewaktu permulaan untuk menjejaki salasilah keluarga saya kira-kira 25 tahun dulu. Saya juga bermula dengan '0' maklumat. Keluarga kami langsung tidak menyimpan apa-apa carta salasilah sebelum ini.

Nasihat saya, mulakan penulisan salasilah atau sejarah keluarga bermula dengan diri kita dan keluarga terdekat dulu. Adakan janji temu dengan ahli-ahli keluarga yang senior bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat penting seperti tarikh lahir, tarikh meninggal dunia, tarikh perkahwinan atau kisah-kisah penting dalam keluarga tersebut. Sila bertemu dan hubungi mereka secepat mungkin sebelum mereka dijemput Ilahi.

Pada yang sama sila catatkan semua maklumat yang diperoleh dalam sebuah catatan agar tidak hilang. Catatan yang diperoleh perlu disusun secara sistematik agar tidak menyukarkan kita untuk memahaminya. Dalam masa yang sama, buat lakaran carta salasilah bagi memudahkan pemahaman. Jika dapat kumpulkan foto-foto lama keluarga juga mampu memberi 'petunjuk' yang sangat berguna kepada pengkaji kerana kadang kala tercatat informasi penting di belakang foto tersebut. Gunakan foto-foto ini bagi menghubungi ahli keluarga luas yang lain bagi mendapatkan informasi yang penting berkenaan sejarah keluarga (family history).

Ini merupakan suatu metodologi awal dan sangat penting bagi mendapatkan maklumat tentang sejarah atau latar belakang keluarga anda. Pelaksanaan kerja lapangan (fieldwork) ini memerlukan teknik yang tersusun bagi menghasilkan natijah yang terbaik, insya-Allah.

SELAMAT MENCUBA.


[Legasi Pemikir - LEKIR]


Dapatkan buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan 27 Mac 1838. Sebuah catatan penulisan Abdullah Munsyi sendiri yang telah diterjemah rumikan. 
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI.

Comments