Jawapan Kemana Menghilangnya Penulis Muda

 OLEH: Taufiq Tuah


Saya kira saya menulis luahan ini ialah lantaran penulisan Tuan Salman Sulaiman  yang bertajuk "Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda?" di Dewan Sastera.

Saya ada membaca penulisan balas juga dari penulis muda lain. Namun saya kira saya juga mahu menitipkan penulisan balas saya memandangkan umur saya yang belum pun sampai 30. Maka persoalan di dalam artikel itu juga tertuju kepada saya.

1. Anugerah Sasterawan Muda MASTERA menilai ketokohan pengarang yang berumur 45 tahun ke bawah. Apakah definisi 'muda'? Jika muda bermaksud 'belia', Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meletakkan umur 19-29 tahun sebagai belia. Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia di Malaysia pula menganggap 16-32 sebagai belia.

Saya mempersoalkan definisi muda mana yang cuba diketengahkan sehingga mengira umur 40 tahun ke atas masih dikira muda?

2. Penulis muda hanya minat menulis dan menulis tapi tidak bercampur orang? Sebenarnya saya sendiri apabila cuba menegur beberapa penulis yang lebih tua dari saya, ramai yang tidak memberikan respon yang baik. Namun alhamdulillah ada yang sudi melayan 'kerenah muda' saya yang banyak tanya ini.

Umur memang menjadi jurang hubungan. Ini hakikat yang saya sendiri sedari dan saya tidaklah menyalahkan sesiapa dalam lumrah ini. Asbab itu, penulis muda ada persatuan dan kumpulan mereka sendiri yang agak terasing dengan penulis yang lebih berusia.

3. Tema penulisan pula berbeza mengikut umur. Saya meraikan tema penulisan muda yang lebih ringkas dengan bahasa yang kurang baku. Walaupun saya tidaklah menggemarinya.

Kecenderungan bahan bacaan ini akhirnya berbeza mengikut umur dan latar belakang. Kebanyakan orang muda yang baru mahu berjinak-jinak dengan buku lebih gemar membaca buku-buku ringkas. 

Maka muncul lah penulis-penulis baharu dalam 'genre' ini yang mana kedudukan mereka biasanya dikutuk dan dipandang rendah oleh penulis-penulis lama. Maklumlah, penulisan ringkas seperti ini tidak begitu puitis.

4. Maka saya berterima kasih kepada Tuan Salman Sulaiman kerana gusar akan ujian yang kami penulis-penulis muda hadapi. Saya juga berharap agar ada perubahan dalam 'landscape' industri penulisan hari ini. 

5. Teknologi yang berkembang dengan pantas ini sebenarnya meluaskan lagi bidang penulisan. Namun yang selalunya akan diangkat pastilah yang menuliskan 'buku'.

Saya sendiri alhamdulillah diberikan kesempatan untuk menulis di beberapa pentas yang berbeza. Selain dari menulis buku, saya juga menuliskan artikel dan dihebahkan di blog. Tak lupa juga saya menulis artikel untuk aplikasi telefon pintar.

Ini lah maksud saya keluasan bidang penulisan yang sebenarnya telah bersama diluaskan dengan teknologi. Adanya blog, aplikasi, Zine malah E-Book.

Semoga selepas ini, tiada penulis yang diketepikan hanya kerana 'genre' dan umur mereka. 


[Legasi Pemikir - LEKIR]


Dapatkan buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan 27 Mac 1838. Sebuah catatan penulisan Abdullah Munsyi sendiri yang telah diterjemah rumikan. 
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI.

Comments