Bismillah
BAHAN DAN ALAT YANG DIGUNAKAN MEMBUAT KERIS
Peralatan yang digunakan untuk membuat keris ialah:i. Musang
Alat yang paling penting dalam kerja pertukangan besi. Ia diperbuat daripada kayu dan berbentuk tong panjang. Berfungsi untuk mengepam dan menghembuskan angin yang terperangkap masuk ke dalam saluran dapur untuk menempa besi. Musang juga dikenali dengan pelbagai nama, contohnya di Perak dikenali sebagai ‘kelubung’, dan ‘hembusan’ di Kelantan.
ii. Andas
Landasan yang diperbuat daripada sekeping besi tebal dan diletakkah di atas sebongkah kayu. Digunakan sebagai tempat untuk mengetuk, menitik dan menempa besi yang panas.
iii. Lepa
Sejenis alat pemotong besi. Bentuk mata lepa kelihatan seperti pahat yang disepitkan di antara dua keping buluh dan diikat kemas.
iv. Tukul
Digunakan untuk menempa alat-alat besi yang matanya nipis.
v. Tukul puting
Berbentuk segiempat dan digunakan untuk mengasak masuk puting parang atau keris ke dalam hulunya.
vi. Kikir
Mempunyai pelbagai saiz. Kikir digunakan untuk melicinkan dan menghaluskan mata keris yang telah dibentuk.
vii. Penyepit
Digunakan untuk memegang besi yang panas semasa kerja-kerja menempa dijalankan.
viii. Penyepuh
Tong kayu berisi air. Alat ini digunakan sebagai bekas untuk menyepuh alat-alat besi yang telah ditempa, diketuk, dan dikikir supaya sejuk, tajam, kukuh dan tahan lama.
ix. Ragum besar
Berfungsi sebagai pemegang atau penyepit sesuatu bahan. Digunakan untuk mengapit mata dan hulu keris bagi tujuan memudahkan kerja, terutamanya bagi membentuk dan mengikir.
x. Jara sila
Jara sila digunakan untuk membuat lubang pada hulu.
xi. Temin
Temin diperlukan untuk mengetatkan alat-alat besi di pangkal hulu.
xii. Arang
Arang digunakan sebagai bahan api untuk membakar.
xiii. Pahat
Merupakan alat besi yang mempunyai mata yang tajam. Digunakan untuk membuat lubang dan mengukir. Terdapat dua jenis pahat yang utama, iaitu pahat mata bulat dan pahat mata lintang.
PROSES PEMBUATAN KERIS
Secara umumnya, proses membuat senjata seperti keris merupakan proses menempa hingga terbentuknya mata keris. Proses menghasilkan mata keris adalah seperti berikut;i. Proses Mencampurkan Besi.
Bahan campuran yang terdiri daripada pelbagai jenis besi seperti besi waja, besi tawar dan besi melela diikat kemas sebelum dibakar untuk dimampatkan menjadi satu kempingan logam aloi.
Kepingan-kepingan besi diletakkan di antara besi-besi yang berbentuk bengkuk-bengkuk di mana ia akan membentuk corak-corak pada matanya. Kepingan besi tersebut dipanaskan sehingga panas merah menyala lalu diatasnya diketukkan dengan kepingan logam yang bengkuk-bengkuk tadi dan dipanaskan lagi sehingga merah menyala. Kepingan logam yang bengkuk-bengkuk tadi diketuk pada kedua-dua bahagian kepingan besi yang sekeping itu. Ia diketuk dan dipanaskan berkali-kali sehingga besi itu menjadi satu.
ii. Proses Menempa.
Besi dibakar dan diketuk secara bertalu-talu sebelum dipotong. Setelah dipotong, mata besi itu dipanaskan semula dan diketuk berulang kali. Proses ini berterusan sehingga bentuk mata keris mula terbentuk.
Semasa proses pemanasan dan ketukan yang dilakukan terdapat pencatuman yang tidak begitu sempurna antara kepingan-kepingan besi tersebut. Percantuman yang tidak begitu sempurna ini menghasilkan corak yang menarik yang dinamakan pamor. Pemanasan ini juga menyebabkan sebahagian daripada besi tersebut mencair terutama bahagian luarnya. Dengan ketukan yang dibuat, bahagian besi yang cair tersebut akan menutup corak-corak pamor yang terhasil daripada campuran besi tersebut. Maka dengan kaedah tradisional ini para pembuat keris mempunyai ramuan masing-masing dalam cara menimbulkan kembali corak-corak pamor tersebut.
iii. Proses Membuat Lok Keris.
Apabila mata keris telah terbentuk nyata, mata keris akan dibakar lagi dan seterusnya ditempa dengan cara mereng, hingga terbentuk seperti membengkok le bawah. Mata keris yang telah bengkok tadi seterusnya dipalingkan ke arah bertentangan dan ditempa lagi hingga ia membengkok ke bawah seperti tadi, kaedahnya sama, Cuma bezanya kedudukan dianjakkan sedikit ke atas bilah. Kaedah yang sama dilakukan berterusan dengan cara berselang-seli hingga habis hujung ke bilah.
iv. Proses Membentuk Belalai Gajah.
Membentuk ‘belalai gajah’ yang menyerupai belalai seekor gajah dengan kedudukan belalainya di bahagian atas. Belalai gajah ini diketuk selepas dibakar. Kemudian dibiarkan sejuk dan seterusnya dikikir.
v. Proses Mengikir
Proses ini dibuat dengan tujuan untuk melicinkan dan menajamkan mata keris.
vi. Proses Menyepuh
Keris yang telah siap ditempa akan dibakar sehingga menjadi merah dan dimasukkan sama ada secara melintang atau menegak ke tempat menyepuh yang mengandungi air. Proses ini akan dilakukan secara berulangkali. Tujuannya adalah untuk menghasilkan corak pamor.
vii. Proses Menimbulkan Pamor
Keris yang telah siap dikikir, direndam dalam larutan cuka getah dan air. Kemudian mata keris dicuci dengan air dan diberus menggunakan sabut kelapa.
Pada bahagian yang ketiga, penulis akan menerangkan kepada pembaca mengenai proses kekemasan pada keris.Nantikan siri seterusnya.
___________________________
️~ Pen Merah ~
-Telegram Channel: http://bit.ly/28ZmJcp
- Facebook: https://www.facebook.com/revolusimelayubaru/
_____________________________
BAB 1 - PENGENALAN KEPADA KERIS : https://revolusimelayubaru.blogspot.my/2017/11/bab-1-pengenalan-kepada-keris.html
BAB 3 - PROSES KEKEMASAN KERIS : http://revolusimelayubaru.blogspot.my/2018/02/bab-3-proses-kekemasan-keris.html
BAB 4 - PEMODENAN KERIS BUTKI KERIS MASIH RELEVEN DI MATA MASYARAKAT : http://revolusimelayubaru.blogspot.my/2018/05/bab-4-pemodenan-keris-bukti-keris-masih.html
BAB 3 - PROSES KEKEMASAN KERIS : http://revolusimelayubaru.blogspot.my/2018/02/bab-3-proses-kekemasan-keris.html
BAB 4 - PEMODENAN KERIS BUTKI KERIS MASIH RELEVEN DI MATA MASYARAKAT : http://revolusimelayubaru.blogspot.my/2018/05/bab-4-pemodenan-keris-bukti-keris-masih.html
Comments
Post a Comment