Status Hikayat Tamim Ad-Daari, Hikayat Merong Mahawangasa Dan Hikayat Hang Tuah

OLEH: Taufiq Tuah

Saya telah membaca sebuah buku yang mana saya tidak berhajat untuk memberi tahu tajuk buku tersebut di entri ini. Ketika membaca buku ini, terdapat banyak kecacatan yang saya rasa perlu saya jelaskan kepada penulisnya. Lalu saya menghubungi pihak penerbit buku tersebut untuk mendapatkan nombor penulis. Namun saya hanya mendapat email nya dan emailnya pula tidak berbalas. Saya berhusnuzon mungkin penulis jenis yang memang tidak melazimi memeriksa email.

Adapun begitu, isi-isi sejarah di dalam buku tersebut merunsingkan saya. Saya khuatir kalau ada yang terpalit dengan pandangan-pandangan kurang tepat di dalam buku ini. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan nama agama Islam dan sesetengah isu, agak melampau pula mendakwa perkaitan Melayu dengan sesuatu.

Buku yang saya maksudkan itu mengambil bulat-bulat kisah sejarah daripada kitab-kitab sejarah Melayu. Bagi peneliti sejarah yang ada akidah, sepatutnya fakta sejarah daripada manuskrip sejarah lama sangat-sangat perlu ditapis terutamanya apabila manuskrip tersebut menyebut tentang 'Nabi Sulaiman AS' dan 'Nabi Khidir AS'. Sedangkan manuskrip itu tidak berhak atas kisah-kisah nabi yang tidak bersanad pada mereka.




Bagaimana Status Manuskrip Lama 'Hikayat Tamim Ad-Daari' , 'Hikayat Merong Mahawangsa' Dan 'Hikayat Hang Tuah'?
Manuskrip-manuskrip lama ini sebenarnya sangat bernilai kerana ia direkodkan oleh tokoh-tokoh zaman dahulu. Maka pastilah ada nilai sejarah yang boleh didapati daripada manuskrip-manuskrip ini. Adapun apa yang kelihatan dongeng, para peneliti berhak juga untuk menolak kisah tersebut memandangkan penulis manuskrip tersebut tidak maksum dan juga mampu membuat salah dan silap.

Terutamanya bab-bab kisah yang melibatkan para nabi dan rasul. Kitab-kitab manuskrip ini tidak menjamin kesahihan mengenai kisah para nabi dan rasul memandangkan manuskrip-manusrip ini ditulis tanpa disertakan sanad. Maka segala penulisan sirah nabi yang berdasarkan manuskrip ini ialah tidak sahih dan tidak layak dibuat hujah. Untuk mendakwa Merong Mahawangsa hidup sezaman dengan Nabi Sulaiman AS dan Nabi Khidir AS juga tidak layak. Apatah lagi apabila Al-Quran membuktikan Nabi Khidir AS hidup di zaman Nabi Musa AS dan bukannya Nabi Sulaiman AS.

Juga adanya kitab-kitab ini yang membawa kisah sahabat Rasulullah SAW iaitu Tamim Ad-Daari. Entah bagaimana Tamim Ad-Daari menjadi figura yang cuba diketengahkan oleh manuskrip ini. Namun kisah-kisah perjalanan Tamim Ad-Daari di dalam manuskrip ini juga merupakan kisah yang tidak sahih. Perlu untuk ditegaskan bahawa setiap kisah yang muncul atas nama nabi dan para sahabat perlu untuk diteliti sanad kisah tersebut. Hal ini kerana para ulama ahlul hadis sejak dahulu lagi giat menyusun sanad agar kisah-kisah yang sahih para nabi dan sahabat terjaga. Maka segala kisah para nabi dan para sahabat yang tidak terikat pada sanadd-sanad ini akan dilabel tidak sahih.

Adapun dalam bab silsilah raja-raja atau kisah-kisah tertentu di dalam manuskrip tersebut masih boleh diambil sebagai hujah sejarah. Misal, adanya juraian silsilah raja-raja Kedah dan beberapa kisah 'Hang Tuah' yang ada di dalam manuskrip tersebut. Walaupun manuskrip ini membawa kisah para anbiya yang tidak sahih, namun kisah-kisah yang tidak melibatkan para anbiya mungkin boleh diterima. Maka untuk mengatakan manuskrip-manuskrip lama ini tiada nilainya, itu ialah dakwaan yang sangat berat.

Secara lumrahnya, apabila kita membaca sebuah buku biasa dan mendapati ada satu bab di dalam buku itu ialah isi yang dusta, pastilah kita akan meragui seluruh bab buku tersebut. Namun dalam manuskrip lama Melayu ini, perlu diteliti dua jenis sejarah yang diketengahkan.

1. Sejarah Melayu
2. Sejarah Anbiya

Apabila manuskrip ini membicarakan tentang sejarah Melayu, maka penerimaan atas kisahnya dibolehkan. Hal ini kerana penulis manuskrip itu mungkin lebih dekat dengan peristiwa yang ditulis. Logiknya kerana penulis juga ada di kawasan Nusantara dan mungkin beza berberapa generasi dengan riwayat yang ditulis. Apabila penulis mencatat apa yang didapatai dari mulut penduduk Nusantara yang lebih tua, catatan itu boleh jadi sahih dan boleh jadi bercampur aduk sahih dan tidak sahih. Mulut manusia juga kadang kala tidak lari daripada menokok tambah cerita maka ini membuatkan kata-kata manusia boleh diragui. Kecuali jika dicatat juga sifat 'pencerita' itu sebagaimana ahli hadis mengumpulkan sifat-sifat 'para rawi'.

Apabila manuskrip ini membicarakan tentang sejarah Anbiya dan kisah itu tanpa sebarang sandaran  hadis sahih, maka sejarah itu wajib diragui. Tidak berhak bagi kita menggunakan hujah sejarah itu sebagai penguat cerita. Hal ini kerana kisah-kisah anbiya perlukan sanad.



Hikayat Sulalatus Salatin
Hikayat Sulalatus Salatin antara manuskrip lama yang kurang kisah dongengnya berbanding hikayat lain. Itupun, masih ada kisah-kisah dongeng yang peneliti sejarah perlu tapis. Malah para peneliti pastilah tahu untuk menapisnya. Namun entri ini dituliskan juga kerana terkejut ada buku yang tidak menapis fakta ini dan terus memuatkan di dalam penulisannya.

Kisah para nabi juga ditambah di dalam manuskrip ini atas beberapa faktor.

1. Penulis mendapat khabar memang begitu. Penulis tidak berniat untuk mereka cerita, tetapi penulis memang difahamkan hal itu berlaku.
2. Penulis sengaja menokok-tambah cerita untuk menaikkan martabat tokoh tertentu.
3. Bagi menyedapkan cerita.
4. Sengaja menggantkan riwayat dengan pengaruh zaman HinduBudha kepada Islami. 


Kesimpulan:
Kisah para anbiya tidak boleh direka-reka.



___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments