Perlis Darul Apa?

 OLEH: Taufiq Tuah

Kebanyakan negeri-negeri Nusantara yang bersultan pasti akan ada gelaran kepada negeri itu. Contoh mudahnya kita lihat sahaja negeri-negeri di Malaysia, Selangor Darul Ehsan, Johor Darul Takzim, Kelantan Darul Naim dan sebagainya. Darul bermaksud 'negeri'.

Jika diteliti, ada 5 negeri di Malaysia yang gelarannya tidak diletakkan istilah 'darul' iaitu Sabah, Sarawak, Melaka, Pulau Pinang dan Perlis. Jika diteliti 5 negeri ini, satu daripada negeri ini ialah negeri bersultan iaitu Perlis. Persoalannya, apakah gelaran 'darul' kepada Perlis?

Teringat dahulu di dalam buku teks sekolah, apabila dituliskan nama Perlis, maka akan digelar negeri ini sebagai 'Indera Kayangan'. Maka orang bertanya mana pula datangnya istilah itu? Sebenarnya Indera Kayangan ialah nama sebuah kota lama di Perlis ketika Perlis belum berpisah dengan Kedah.

Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I (Sultan Kedah ke-15 1661-1687) telah memilih Perlis sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila mendirikan Kota Indera Kayangan di sebelah hilir Sungai Perlis. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Dr. Hazman Bin Hassan.

Maka saya beranggapan mungkin sahaja istilah Indera Kayangan ini ialah nisbah kepada kota lama tersebut. Asbab betapa sinonimnya kota itu dengan negeri Perlis. Namun ini tidak menjawab persoalan apakah gelaran 'Darul' untuk Perlis?

Kemudian pernah muncul pandangan bahawa gelaran kepada Perlis ialah Perlis Darul Sunnah. Saya tidak tahu siapa yang memulakan pandangan ini, tetapi tidak salah jika saya katakan bahawa yang bertanggungjawab mempopularkan pandangan ini ialah Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr.MAZA). Pandangan ini turut dipanjang-panjangkan oleh pengikut beliau.

Mungkin sahaja gelaran ini dikatakan sesuai kerana Perlis tidak menghadkan Mazhab Imam Syafie sahaja di dalam hal agama mereka (seperti di negeri lain). Sebaliknya Perlis mengangkat kesemua empat imam Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam hal agama. Hal ini menampakkan keterbukaan Perlis di dalam menerima kepelbagian pandangan fiqh.

Persoalannya, adakah seorang mufti boleh memberikan gelaran ini kepada negerinya? Sudah tentunya tidak. Maka gelaran ini hanyalah gelaran dari mulut ke mulut. Tidak salah, tetapi untuk menjawab persoalan di dalam tajuk artikel ini, maka jawapan itu tidak tepat.


Jadi apakah gelaran 'Darul' yang tepat bagi Perlis?

Sebenarnya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sendiri telah menjawab soalan ini pada 25 May 2015 ketika merasimikan Muzium Kota Kayang.

Baginda menitahkan nama Perlis tidak ditambah 'Indera Kayangan' atau 'Darul' sebaliknya hanya 'Perlis' seperti termaktub dalam undang-undang tubuh negeri.

Baginda bertitah undang-undang tubuh tersebut ditandatangani oleh ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail hanya dengan nama Perlis tanpa ada sebarang tambahan.

Baginda juga sempat bertitah,

"Oleh itu saya harap biarlah nama tersebut dikekalkan dengan nama Perlis tanpa ditambah Indera Kayangan yang mempunyai kaitan dengan dewa-dewa atau apa-apa Darul,"

Maka terjawablah bahawa gelaran Darul untuk Perlis ialah tiada. Baginda tidak mahu ada sebarang penambahan kepada nama negeri Perlis. Cukup sahaja Perlis sebagai Perlis. Wallahualam



[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments