Hussain radiyallahu anhu merupakan cucunda Rasulullah yang amat dikasihi oleh baginda. Beliau merupakan ketua pemuda di dalam syurga sepertimana yang diberitahu di dalam hadith.
Beliau bukan ketua revolusi seperti yang didakwa di dalam poster. Beliau datang ke Kufah ketika itu kerana penduduk Kufah berjanji untuk membantunya. Lagi pun penduduk Kufah merupakan pengikut ayahnya Ali radiyallahu anhu.
Tetapi tatkala sampai di Karbala, beliau telah diperangi oleh Ubaidillah bin Ziyad dan dibunuh disana. Hakikatnya Khalifah ketika itu iaitu Yazid bin Muawiyah tidak memerintahkan untuk dibunuh, hanya ditawan kerana Husain radiyallahu anhu enggan membaiat beliau sebagai khalifah.
Ini kerana perjanjian bapanya Muawiyah hanyalah terhad kepada pemerintahan Muawiyah dan kemudian perlu diserahkan kembali kepada umat Islam sepertimana perjanjian asal.
Tetapi Muawiyah melihat maslahah lebih besar jikalau pemerintahan khalifah diserahkan kepada anaknya Yazid sendiri berbanding diserahkan kepada umat Islam kerana pengaruh Umawi merupakan pengaruh terbesar ketika itu.
Oleh sebab itulah Hussain enggan untuk membaiah beliau. Tatkala diminta untuk duduk di Madinah kerana para sahabat disekeliling beliau, Hussain radiyallahu anhu enggan, lagipun penduduk Kufah telah mengutus surat berjanji akan bersama-sama dengan beliau.
Dengan berat hati, lantas para sahabat di Madinah ketika itu melepaskan beliau. Tatkala tiba rombongan beliau di Karbala, penduduk Kufah takut dan mengkhianati perjanjian mereka.
Akhirnya, peristiwa tragis berlaku. Beliau bersama rombongannya telah diperangi oleh tentera yang dipimpin oleh Ubaidillah bin Ziyad yang dikenali dengan kekejamannya. Akhirnya, maka syahidlah beliau.
Tatkala kepala beliau dibawa kepada khalifah Yazid bin Muawiyah ketika itu. Yazid menangis teresak-esak dan memberi banyak hadiah kepada keluarganya atas kekejaman tentera beliau.
Akhirnya dikatakan setiap orang yang terlibat dudalam pembunuhan itu mendapat balasan seksa daripada Allah. Tiada seorang pun yang terlepas.
Kini, penduduk Kufah yang dulu sanggup mengkhianati dan tega membiarkan cucunda Rasulullah akhirnya memukul badan mereka sendiri setiap hari asyura, balasan atas kekejaman yang datuk nenek moyang mereka lakukan terhadap Husain Radiyallahu anhu dan para rombongannya.
P/s: Adapun kita golongan ahli sunnah meyakini Hussain radiyallahu anhu merupakan cucunda Rasulullah, kita bersedih diatas kematian beliau yang tragis tetapi kita tidak memukul badan kita. Ini kerana memukul-mukul badan, mengoyak-ngoyak baju, dan seumpamanya dilarang didalam Islam seolah-olah tidak beriman dengan takdir.
Kita juga tidak memaksumkan beliau dan menganggap beliau terpelihara daripada dosa. Akan tetapi kita mengasihi beliau sepertimana kita kasih dan cinta kepada semua ahlul bait yang lain. Ini termasuklah para isteri Rasulullah seperti Aisyah dan Hafsah.
Kesemua mereka merupakan keluarga Rasulullah dan ahlul bait Rasulullah.
______________________
~ Ustaz Huzaifah Hadis ~
Telegram: https://t.me/rmb_slf
Twitter: https://www.twitter.com/rmb_slf
Instagram: https://www.instagram.com/rmb_slf
Web Site: đŸ–¥ http://revolusimelayubaru.blogspot.com
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment