Mungkin Istilah Surau Itu Dipopularkan Oleh Kaum Minang

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Umat Nusantara yang sudah lama menganut Hindu-Buddha lazimnya menggunakan kata-kata Sanskrit bagi istilah-istilah agama. Malah sehingga hari ini, istilah itu masih melekat di lidah kita walaupun kita sudah menjadi Muslim ratusan tahun.

Meneruskan istilah-istilah yang telah lazim dalam percakapan kita tetapi mengubah maknanya agar bersesuaian dengan agama baharu, itu adalah lazim dilakukan oleh manusia khusus umat Nusantara.

Contoh lafaz yang sama namun makna berubah adalah kata 'neraka' yang dimaksudkan dengan 'narr' dalam Islam.

Padahal 'neraka' pada agama Hindu, atau Buddha atau gabungan kedua-duanya yang diistilahkan sebagai Siwa-Buddha atau Tantrayana - dimana mazhab gabungan ini mahsyur diamalkan di Nusantara - sangat berbeza dari 'narr' dalam Islam.

Hari Akhirat dengan sebuah tempat azab itu tidak wujud kepada agama-agama diatas. Begitu juga dengan sebuah tempat aman damai dan penuh nikmat kesenangan, yang dipanggil 'jannah' tidak wujud dalam Hindu-Buddha.

Syurga mereka adalah dilahirkan kembali dalam bentuk manusia yang mulia, manakala neraka bagi mereka adalah dilahirkan dalam rupa hina, antaranya adalah sebagai haiwan. Neraka mereka juga adalah kesusahan, kepedihan, kesengsaraan di dunia.

Tetapi setelah umat Nusantara berislam, kita melakukan proses perubahan makna bagi istilah-istilah tersebut. Ada yang kita ubah maknanya dan ada yang kita hapuskan dari perbendaharaan kita lalu mengambil terus istilah Arab.

Contoh perubahan manka yang paling mahsyur dipakai orang adalah kata 'sembahyang' yang berasal dari upacara menyembah Hyang Maha Tunggal.

Hyang Maha Tunggal atau singkatannya Hyang adalah istilah umat Nusantara untuk Tuhan Pencipta.

Kembali pada istilah surau, kemungkinan ia berasal dari bahasa Sanskrit dan dipopularkan oleh Kaum Minang. Mungkin itu ada.

Suraukas ( सुरौकस्) dalam Bahasa Sanskrit merujuk kepada pura (kuil). Kemungkinan istilah inilah yang kita guna disamping pura dan candi.

Sebab memang di Minangkabau, istilah surau ini merujuk kepada institusi agama. Contohnya Surau Ulakan Pariaman, yang dianggap sebagai institusi terawal menyebarkan Islam di Ranah Minang.

Surau pada zaman itu di Minang bukan sahaja sebuah musolla (ruang kecil khusus untuk bersolat) namun ia adalah sebutan institusi: adanya masjid, adanya madrasah, tempat menyebar dakwah malah mengatur masyarakat.

Hal ini lebih jelas pada zaman Kaum Paderi memerintah. Kaum Paderi itu adalah bermazhab Asya'ariyah dan bersufi Syatariyah dan Naqshabandiyah. Boleh di baca 'Surat Keterangan Syeikh Jalaludin Karangan Faqih Saghir'.

Mereka lahir dari aliran Surau Ulakan Pariaman juga. Mereka bukannya Wahabi dari segala sisi. Tiga Orang Haji dan Harimau Nan Salapan, kesemua 11 orang tokoh Kaum Paderi ini tidak ada kaitan langsung dari sisi pengajian, sanad dan tidak pula membawa metodologi Mazhab Salaf.

Hanya yang mereka bawa adalah semangat menentang penjajah dan semangat membersihkan agama dari penyelewengan. Hal ini sudah ada di tempat-tempat lain, semacam Gerakan Sanusiyah.

Syeikh Burhanuddin Ulakan yang asalnya Buddha namun sudah menjadi Islam ketika kecil dan belajar agama sehingga menjadi ilmuan, hanya pulang ke Ulakan pada 1680 lalu mendirikan Surau. Surau ini kadang kala dianggap semacam madrasah.

Dari sinilah, Islam berkembang pesat yang akhirnya mengubah Minangkabau menjadi Negara Islam. Ini menunjukkan bahawa Minangkabau hanya menjadi negara Islam di penghujung kurun ke 17M.

Walaupun sebelum itu sudah ada gerakan dakwah dan sudah ada rakyat Minangkabau yang berislam, namun tidak signifikan kehadiran mereka.

Agak menarik kerana di bahagian utara Sumatra, telah wujud negara-negara Islam yang lebih awal berkurun lamanya, seperti Samudera-Pasai, Haru (Aru) dan Lamuri.

Dalam tulisan beberapa tahun dahulu, telah dijelaskan betapa Islam bergerak dari satu wilayah ke wilayah yang lain di Nusantara itu terlalu lama, lebih dari 600 tahun.

Hinggakan ketika Peringgi dan Sepanyol sampai di Nusantara, mereka berlumba-lumba dengan kita untuk mendakwahkan agama masing-masing kepada negara Nusantara yang masih Hindu-Buddha atau pagan. Hamka dalam Sejarah Umat Islam ada menceritakan hal ini.

Gambar via -wonderfulminangkabau-

Rujukan:
1. Surau Di Tengah Krisis: Pesantren Dalam Prespektif Masyarakat,  Azyumardi Azra
2. Pendidikan Islam Dalam Lintasan Sejarah, Prof. Dr. Haidar Putra Daulay, M.A., Dra. Hj. Nurgaya Pasa, M.A.
3. Sejarah pendidikan Islam di Indonesia: lintasan sejarah pertumbuhan dan perkembangan, Hasbullah
4. http://spokensanskrit.org/index.php?mode=3&script=hk&tran_input=Suraukas&direct=se&fbclid=IwAR0VD7Mve7dyMLWFBEOrTPQVTKXZdBcdqslF5ZxlRHuQX5BMjFf9dB3cs-Y
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________

Comments