Raja Biru VII (1616-1624)

OLEH: Muhammad Zamri


Raja Biru VII (1616-1624)

RAJA Hijau telah mangkat ketika berusia 63 tahun setelah memerintah selama 32 tahun. Sepanjang hayatnya baginda dikatakan tidak pernah berkahwin, dikenali sebagai Marhum Tambangan.. Kejayaan cemerlangnya dalam pemerintahan telah meningkatkan lagi keagungan Kerajaan Islam patani. Baginda dikasihi oleh semua rakyatnya serta terkenal di kalangan negara-negara Asia hingga ke Eropah.

Berikutan dengan kemangkatan ini, adindanya Raja Biru yang pada ketika itu sudahpun berusia 50 tahun telah ditabalkan menjadi Raja Patani. Tidak banyak perubahan besar yang dilakukan semasa pemerintahan Raja Biru ini. Dalam menyusun semula pentadbiran istana, Bentara Kiri dilantik menjadi Kun dan Bentara Kanan bergelar Temenggong Paduka Tuan. Dua tahun kemudian baginda telah memperbaiki Terusan Tambangan kerana didapati airnya mengalir terlalu deras. Dari Jambatan Kedi telah menyebabkan hakisan tebing hingga ke hadapan Pintu Gajah yang mengakibatkan air sungai di Gerisik menjadi tawar dan perusahaan bendang garam yang diusahakan di situ telah menghasilkan garam yang kurang masin. Sehubungan dengan rencana pembangunan rakyat itu, baginda Raja Biru telah menitahkan Bendahara supaya mengerah kantenaga rakyat untuk bekerjasama mengangkut batu di hulu Kuala Sungai Korok dengan menggunakan rakit untuk ditimbus di kuala Tambangan. Akibat daripada pekerjaan yang menggunakan batu itu maka
penduduk di sekitar kampung itu memanggil kampung tersebut sebagai Kampung Tindih Batu.

Pada tahun 1614, Sultan Abdul Ghafur Mohaiddin Syah Pahang telah mangkat. Baginda mempunyai seorang puteri bernama Raja Kuning hasil perkahwinan dengan permaisurinya Raja Ungu. Sewaktu berusia 12 tahun iaitu sekitar tahun 1620 Raja Kuning telah ditunangkan dengan ApyaDeca putera negeri Patalung. Keberangkatan pulang Raja Ungu bekas permaisuri Pahang ke Patani telah diiringi oleh ramai orang-orang Pahang. Dari sinilah asal-usul keturunan Melayu Pahang di Patani bermula. Setelah beberapa lama memerintah, baginda Raja Biru gering dan mangkat pada tahun 1624. Baginda dikenali sebagai Marhum Tengah.

___________________________
~ Muhammad Zamri ~
Sahabat PENA

Comments