Benarkah Kerajaan Turki Uthmaniyyah Ini Diruntuhkan Oleh Arab Saudi?

OLEH: Zulfikar Egar



Ini adalah persoalan yang berkaitan sejarah moden. Kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah sama seperti kerajaan-kerajaan lain yang wujud di dunia pada hari ini seperti kerajaan Malaysia, kerajaan Indonesia dan sebagainya.

Cuma sebelum ini kerajaan yang wujud bukanlah berteraskan bangsa tetapi berteraskan kepada sempadan agama dan juga bangsa yang dalam masa yang sama ada peranannya.

Kerajaan Turki Uthmaniyyah bukanlah khilafah seperti yang difahami hingga dianggap sama seperti Khulafa Ar-Rasyidin atau Khilafah Bani Umayyah kerana selepas jatuhnya Khilafah Bani Umayyah pada tahun 132 Hijrah, umat Islam tidak lagi berada di bawah satu pemerintahan khalifah yang satu.

Cuma selepas jatuhnya Khilafah Bani Umayyah, telah munculnya kerajaan yang lebih besar daripada kerajaan lain seperti Kerajaan Bani Abbasiyyah yang menguasai majoriti negara-negara Islam yang wujud pada hari ini.

Tetapi dalam masa yang sama selain kerajaan Bani Abasiyyah, kerajaan-kerajaan Islam lain yang besar turut wujud pada masa itu seperti kerajaan Andalus, Kerajaan Seljuk, kerajaan Mamluk, kerajaan Ayubiyyah dan pelbagai lagi kerajaan Islam yang muncul pada waktu tersebut.

Mungkin disebabkan kehebatan dan keilmuan yang terdapat di kerajaan Bani Abbasiyyah menyilau bak permata berbanding kerajaan Islam yang lain yang wujud pada waktu itu hingga kerajaan Bani Abbasiyyah ini dianggap sebagai Khilafah. Pada hakikatnya ia bukanlah khilafah.

Sehinggalah kemudiannya Turki Uthmaniyyah mewarisi kerajaan Seljuk yang runtuh pada penghujung Kerajaan Bani Abbasiyyah dan kemudiannya kerajaan Turki Uthmaniyyah berjaya menggalahkan kerajaan Mamluk di Mesir.

Maka dengan itu kerajaan Turki Uthmaniyyah telah merampas takhta kerajaan Mamluk dan juga menghapuskan "Khilafah" Bani Abbasiyyah yang pada ketika itu berada di bawah naungan Kesultanan Mamluk.

Lalu dianggaplah kerajaan Turki Uthmaniyyah itu sebagai Khilafah lebih kurang pada abad ke-16 Masihi yang mana pada waktu itu Melaka sudah pun jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Kerajaan Turki Uthmaniyyah dianggap Khilafah kerana kerajaan ini memegang Mekah dan Madinah. Walaupun pada hakikatnya wujud kerajaan Islam lain pada masa itu yang juga tidak kurang hebat dan besarnya seperti kerajaan Mughal di India yang tidak masuk dan bernaung di bawah kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Dan ada sebuah kerajaan di Yaman yang juga tidak tunduk di bawah kekuasaan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Selain itu kawasan Najd juga tidak termasuk di bawah kerajaan Turki Uthmaniyyah bahkan juga tidak pernah masuk dibawah kerajaan Bani Abbasiyyah sebelum itu.

Kerajaan Arab Saudi adalah kerajaan tersendiri yang telah pun wujud atau boleh dikatakan wujud berseiringan dengan Turki Uthmaniyyah yang belum lagi menjadi kesultanan yang besar.

Kerana kerajaan Arab Saudi pada asalnya merupakan satu kepimpinan Badwi. Hanyalah "kerajaan" Badwi kecil-kecil yang wujud di kawasan Najd yang pada ketika itu tidak ada kerajaan besar yang menaungi mereka.

Kemudian dengan dakwah Syaikh Muhammad ibni Abdul Wahhab Rahimahullah, maka berlakulah pembentukan kerajaan Arab Saudi di kawasan Najd yang menyatukan kabilah-kabilah Najd di bawah satu kerajaan yang besar yang mana sebelum ini tidak pernah wujud di kawasan Najd.

Manakala kerajaan Turki Uthmaniyyah pula, kekuasaanya hanya sampai ke Iraq dan juga kawasan Hijjaz.

Ada pun Najd tidak pernah direkodkan ia pernah berada di bawah kerajaan Turki Uthmaniyyah, bahkan ketika penghujung kerajaan Bani Abbasiyyah juga tidak direkodkan yang kerajaan Bani Abbasiyyah ini pernah mencapai atau menguasai kawasan tersebut kerana Najd adalah kawasan kabilah orang Badwi yang tidak digemari oleh ahli politik untuk dipeningkan kepala mereka dengan urusan-urusan kawasan tersebut.

Maka mengatakan bahawa kemunculan kerajaan Arab Saudi menyebabkan Turki Uthmaniyyah itu runtuh adalah salah.

Apa yang berlaku antara kerajaan-kerajaan ini adalah peperangan di antara dua buah negara yang sama-sama ada kedaulatannya di mana kerajaan Turki Uthmaniyyah telah menceroboh kawasan kerajaan Arab Saudi yang akhirnya berlakulah peperangan.

Tidak wujud istilah kerajaan Arab Saudi adalah khawarij atau "memberontak" kepada khalifah. Sebab mereka adalah dua dawlah atau negara yang berbeza.

Kerana Arab Saudi tidak pernah dinaungi atau berada di bawah mana-mana kerajaan sebelum itu. Bahkan kerajaan Turki Uthmaniyyah boleh dianggap sebagai penjajah kerana melanggar kerajaan Arab Saudi.

Ada pun keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah itu sendiri berpunca daripada dirinya sendiri yang mula meninggalkan ajaran Islam dan berkiblatkan kepada barat serta mengambil sistem pemerintahan barat, mengambil gaya hidup barat sehingga akhirnya mereka dikalahkan dalam Perang Dunia Pertama.

Manakala khalifahnya atau sultan Uthmani pada ketika itu telah digulingkan dan dibuang daripada Istanbul. Walaupun ada khalifah baru dinaikkan, tetapi akhirnya tetap digulingkan oleh Mustafa Kamal Ataturk tepatnya pada 3 Mac 1924.

Ia adalah rentetan atau berpunca daripada kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama. Dan harus diingat. Mustafa Kamal Ataturk bukanlah muncul secara tiba-tiba. Tetapi adalah produk yang terhasil akibat daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah itu sendiri yang menerima fikrah dan gaya hidup barat dan meminggirkan ajaran ajaran Islam dalam bernegara.

Maka tiadalah kaitannya akan kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah itu dengan kerajaan Arab Saudi kerana kerajaan Arab Saudi langsung tidak mengambil bahagian dalam Perang Dunia Pertama apatah lagi Perang Dunia Kedua.

Justeru itu, kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah kerana kelemahannya sendiri dan dikalahkan dalam Perang Dunia Pertama oleh kuasa-kuasa barat.

Di mana pada ketika itu yang turut bersekongkol dengan kuasa barat adalah Syarif Hussein yang merupakan pemerintah Hijjaz.

Syarif Hussein lah yang bersekongkol dengan tentera barat yang mana semua sedia maklum beliau mempunyai seorang penasihat yang bergelar Lawrance of Arabia.

Sehingga kini keturunan Syarif Hussein menjadi pemerintah atau raja di negara Jordan di mana mereka ini sebenarnya adalah di kalangan Ahli Bait.

Wallahualam.


*Rujukan:
- Q&A Yayasan Ta'lim : Benarkah kerajaan Uthmaniah ini diruntuhkan oleh Arab Saudi? (Ustaz Muhammad Asrie Sobri)
- Peta : Najd bukan di bawah kuasa Khalifah 'Uthmaniyyah. (Abdullah Izzat)


___________________________
~ Zulfikar Egar ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments

Post a Comment