OLEH: Haziq Azhar
Penulis berpandangan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium merupakan satu langkah terkebelakang dan ini memburukkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Justeru, penulis berharap pihak kerajaan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik kerana ia banyak memberi kesan bukan sahaja kepada bahasa rasmi itu sendiri tetapi masa hadapan anak-anak muda Melayu dan Bumiputera.
Pihak kerajaan sepatutnya memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi untuk mengukuhkan kedudukan bahasa dan pembinaan identiti bangsa Malaysia yang diimpikan.
Bahasa Melayu sepatutnya digunakan secara meluas kerana ia bukan sahaja sebagai bahasa ibunda tetapi juga sebagai alat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Selain itu, beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar berkenaan dasar PPSMI seperti Nathan Nathan mengatakan faktor menyumbang kegagalan adalah kegagalan guru menguasai bahasa Inggeris.
Ini menyebabkan kegagalan dasar PPSMI kerana kebanyakan guru tidak mampu menguasai bahasa Inggeris sehingga menyebabkan gagal menyampaikan ilmu dengan mudah.
Oleh itu, penulis berpendapat kajian terhadap dasar PPSMI perlu dijalankan dengan lebih mendalam dengan mengambil kira beberapa faktor seperti budaya masyarakat dan setempat.
Penulis juga berpendapat penguasaan Sains dan Matematik melalui bahasa Melayu perlu diutamakan bagi memudahkan anak muda Melayu dan Bumiputera menguasai ilmu Sains dan Teknologi.
Menjelang era digital, penguasaan Sains dan Matematik menjadi satu keperluan untuk memastikan anak bangsa tidak ketinggalan dalam era Revolusi Industri 4.0.
Menurut laporan PISA, Malaysia berada di kedudukan ke-57 pada 2009 dan ke-53 pada 2012 menunjukkan betapa lemah penguasaan pelajar Malaysia dalam ilmu Sains dan Matematik.
Penulis berharap pihak kerajaan mengkaji semula dasar PPSMI kerana penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik memudahkan anak bangsa dapat menguasai ilmu Sains dan Teknologi yang menjadi satu keperluan menjelang era Revolusi Industri 4.0.
Paling menyedihkan, Malaysia masih lagi tidak mempunyai sistem pendidikan yang komprehensif biarpun kerajaan sudah bertukar parti.
Melalui era Malaysia Baharu, penulis berharap suara kami didengari oleh pihak kerajaan bagi memastikan satu sistem pendidikan yang komprehensif serta menjadikan bahasa Melayu sebagai medium pendidikan.
Kita seharusnya jangan menjadikan pelajar sebagai tikus makmal bagi menguji keberkesanan dasar pendidikan kerana ia banyak merugikan kepada anak bangsa.
Penulis percaya ramai lagi anak bangsa mempunyai bakat dalam bidang Sains tetapi dipersia-siankan oleh pihak kerajaan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris akibat dasar PPSMI yang membebankan.
Pihak kerajaan tidak seharusnya memaksa pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris kerana tidak semua negara menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mereka.
Kita dapat melihat negara seperti Jepun, Jerman, Rusia dan Korea Selatan begitu bangga sekali dengan bahasa ibunda mereka.
Tidak pernah kita melihat mereka bertutur bahasa asing biarpun berada di luar negara kerana mempunyai penterjemah masing-masing.
Penulis berharap pihak kerajaan mengambil perhatian tentang perkara ini kerana ia melibatkan masa hadapan pelajar.
___________________________
Haziq Azhar
Varia Kini - Federasi Sejarah
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________

Comments
Post a Comment