Ulama' Dunia Sudah Memadai Untuk Mematikan Hujah (MUHADIS)

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya



Tajuk yang jelas sekali berunsur provokasi dan mengandungi tujuan untuk melemparkan gambaran buruk tentang silibus Universiti Islam Madinah (UIM). Ya benar, ramai sahabat yang kata ia bagus untuk suburkan suasana ilmiah. Ini bukan isu ilmiah, ini isu fitnah terancang yang disusun dengan penuh agenda. Jika mereka ingin budaya ilmiah, saya cabar mereka untuk lebih munsif dengan meneutralkan tajuk forum. Ini belum apa-apa dah jelas unsur prejudis. Ilmiah adalah bila natijah dan konklusi forum disimpul pada akhir forum. Apa jenis ilmiah bila kesimpulan telah pun dibuat pada tajuk forum yang hanya akan berlangsung dua minggu lagi? Bahkan jika benar mereka ingin hidupkan budaya ilmiah, saya cabar mereka jemput tokoh-tokoh asatidzah alumni UIM untuk berbicara pada satu pentas! Ada DUA cabaran saya kepada penganjur forum.

Jika cabaran ini tidak disahut, cukuplah keilmuan para Ulama tersohor yang dilantik menjadi anggota Majlis Penasihat Tertinggi UIM sejak tahun 1962 yang bertambah setahun demi setahun hingga mencecah bilangan 19 orang, menjadi hujah mematikan segala kesimpulan forum tersebut. Mereka semua dari latar negara, fikrah, lulusan yang pelbagai. Mustahil 19 orang tokoh ini bersepakat sesama mereka menjadi umpama syaitan bisu mengkhianati amanah ilmu mereka untuk diam di hadapan segala silibus UIM yang didakwa memberi implikasi negatif kepada aqidah para pelajarnya. Ia benar-benar satu penghinaan buat para ulama tersebut.

Jika cabaran ini juga tidak disahut, saya pohon pihak yang lebih berautoriti agar dapat menyuarakat sedikit teguran kepada penganjur forum. Berapa ramai dari pihak yang berautoriti merupakan alumni UIM? Menteri Hal Ehwal Agama, pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM, AJK-AJK fatwa beberapa negeri seluruh Malaysia, Rektor/NC universiti, pensyarah-pensyarah kanan dan ramai lagi. Saya pohon agar kalian boleh melakukan sedikit teguran. 

Dan jika cabaran ini juga tidak disahut, saya harap pihak Alumni Universiti Arab Saudi Malaysia tidak terus mengambil sikap lembut yang tidak bertempat. Pastikan setiap butir perbincangan forum ini dirakam dan dinilai dengan rapi. Andai ada dakwaan-dakwaan liar yang dihamburkan oleh ahli panel, pastikan mereka dijemput untuk sambung berforum di mahkamah pula. Lakukan sebagaimana yang bakal dilakukan kepada Kiyai Nuruddin yang terkenal sebagai Al-Azhar Al-Thani.

In shaa Allah esok saya akan menulis tentang seorang Syaikh dari Arab Saudi yang juga merupakan alumni salah sebuah universiti Arab Saudi, bangkit meninggalkan (tanda bantahan) majlis yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia apabila seorang alumni Al-Azhar naik berucap dengan nada memperlekehkan Al-Azhar Al-Syarif. Syaikh tersebut amat tidak selesa untuk kekal mendengar ucapan seorang tokoh alumni Al-Azhar memperlekehkan Universiti Al-Azhar di hadapan ratusan tetamu VIP dan tokoh agamawan negara.

[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments