Kisah Harimau Jadian Dalam Buku Tulisan Residen Perak

 OLEH: Iskandar Zulqarnain



Pernahkah anda dengar dengan kisah harimau jadian? Kisah Harimau jadian amat popular dalam budaya Melayu dan orang asli terutamanya orang Semai. Jika anda baru kali pertama dengar mengenai harimau jadian, ianya merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki.


Ilmu harimau jadian ini dikatakan berkait rapat dengan bantuan jin atau syaitan yang mana makhluk ini dipelihara untuk tujuan membantu tuannya iaitu pengamal ilmu harimau jadian ini dalam mempertahankan diri dan melawan musuh. Terdapat juga cerita yang menyebut bahawa ilmu ini membolehkan penuntutnya itu membela harimau jadian.


Dalam buku tulisan Sir Frank Athelstane Swettenham sewaktu menjadi Residen negeri Perak, beliau ada menyentuh mengenai kisah mengenai orang Sumatera yang berketurunan Korinci (atau Kerinchi) dan mereka ini mempunyai kuasa luar biasa iaitu boleh bertukar menjadi harimau.


Menurut Sir Frank Athelstane Swettenham lagi, mereka ini dikatakan menggunakan kuasa tersebut bagi tujuan membalas dendam kepada sesiapa sahaja yang mereka ingin musnahkan.


Tidak semua orang Kerinchi yang mempunyai ilmu harimau jadian ini. Namun jika disebut mengenai harimau jadian, pasti ianya akan dikaitkan dengan suku kaum Kerinchi.


Di dalam buku Malay Sketches, Sir Frank Athelstane Swettenham ada menyatakan bahawa beliau pernah mendengar kisah mengenai empat orang Kerinchi yang tiba di sebuah tempat dalam negeri Perak dan pada malam tersebut terdapat beberapa ekor ayam yang hilang dimakan harimau.


Sir Frank Athelstane Swettenham


Orang asing tersebut kemudiannya pergi ke hulu negeri Perak dan tidak berapa lama kemudian hanya tiga orang sahaja yang kembali dan mereka menyatakan bahawa harimau tersebut telah dibunuh. Mereka sebelum itu telah merayu kepada ketua kampung supaya mengebumikan harimau tersebut seperti manusia.


Dalam peristiwa yang berlainan pula terdapat kisah mengenai beberapa orang Kerinchi yang muncul dan mohon berlindung di rumah orang Melayu. Malangnya apa yang berlaku pada waktu malam, beberapa ekor ayam telah hilang dan terdapat beberapa kesan tapak kaki harimau di kawasan reban.


Beberapa hari kemudian salah seorang tetamu yang menumpang di rumah orang Melayu itu telah jatuh sakit dan memuntahkan bulu ayam.


Menjadi persoalan, adakah ilmu harimau jadian ini benar-benar wujud? Dikatakan ilmu harimau jadian ini seringkali disalah guna oleh pengamalnya. Untuk menuntut ilmu ini, mereka perlu diwariskan daripada keturunan sebelum meninggal dunia.


Sekiranya ilmu harimau jadian ini diwariskan kepada keturunan, jadi ianya jelas tergolong dalam golongan saka. Pengamal ilmu sihir, ilmu hitam atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syirik dalam agama Islam.


Pengamal ilmu-ilmu seperti ini kebiasaannya sukar untuk menghembus nafas terakhir sekiranya ilmu itu tidak dibuang sebelum meninggal.


Berkemungkinan, cerita seperti ini hanya direka-reka untuk menakut-nakutkan orang lain daripada menganggu tanaman atau keselamatan orang yang mendakwa memiliki ilmu sedemikian.


Pada zaman dahulu juga, terdapat banyak harimau yang hidup berkeliaran dalam kampung-kampung terutamanya pada sebelah malam.


Buku Malay Sketches


Menyentuh mengenai kisah lain selain yang disentuh oleh Sir Frank Swettenham dalam bukunya, penulis teringat dahulu cerita lisan yang didendangkan daripada arwah opah penulis berkenaan dengan seorang bidan yang tinggal di Chenderong Balai.


Arwah opah penulis juga merupakan orang keturunan Kerinchi dan menurut kisah yang diceritakan oleh beliau, dahulu di Kampung Chenderong Balai terdapat bidan dari keturunan Kerinchi yang mempunyai ilmu untuk menjadi harimau jadian.


Dipendekkan cerita, pada suatu malam ada seorang wanita yang sarat mengandung dan sudah sampai masa untuk bersalin.


Suami kepada wanita tersebut mengayuh basikal selaju yang boleh untuk sampai ke rumah bidan yang terletak agak jauh dari kampung mereka.


Setibanya si suami disitu, beliau terus memanggil bidan tersebut dan memberitahu bahawa isterinya sudah sampai masa untuk bersalin serta ingin meminta bantuan beliau bagi menyambut kelahiran anaknya.


Lantas si suami mempelawa mak bidan itu untuk membonceng basikal yang dikayuhnya agar segera sampai ke rumah.


Namun bidan tersebut menyuruh si suami pulang dahulu ke rumah dengan alasan ingin memnyediakan peralatan untuk menyambut kelahiran. Lalu, si suami pun akur dan segera pulang ke rumah sambil risau dengan keadaan isterinya yang tercinta.


Setibanya si suami di rumah, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati bahawa bidan tersebut sudah ada dirumah dan selamat menyambut kelahiran bayinya itu.


Mungkinkah bidan tersebut menggunakan ilmu yang dimilikinya itu bagi membolehkan dia segera sampai ke rumah wanita yang hendak bersalin itu? Wallahualam. Itulah antara kisah yang penulis masih ingat sepertimana yang diceritakan oleh arwah opah dahulu.


Sumber dan rujukan:


Malay Sketches tulisan oleh Sir Frank Athelstane Swettenham (m/s : 290)


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments