Fatwa Pengharaman Candu Abad Ke-16.

FATWA PENGHARAMAN CANDU ABAD KE-16

Tahukah anda? Dalam abad ke-16 telah ada fatwa pengharaman candu dan ganja di dalam mazhab Syafi'e. Hal ini difatwakan oleh al-Imam Syeikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah (wafat 970H/1563M) di dalam kitabnya Fathul Mu'in. Beliau berkata:-

ويحرم كل جماد مضير لبدن او عقل، كحجر، وتراب، وسم،-وان قل-الا لمن لا يضره، ومسكر ككثير افيون، وحشيش، وبنج.

"Dan haram makan segala macam benda keras yang membahayakan badan atau akal, seperti misalnya batu, debu, racun sekalipun sedikit, kecuali bagi orang yang tidak terbahayakan kerananya; Haram pula segala macam yang memabukkan seperti misalnya Apiun (candu) yang dimakan banyak-banyak, ganja dan buah kecubung (Hyoscyamus)." [Fathul Mu'in bi Syarah Qurratul 'Ain bi Muhimatiddin]

Maka tidak hairanlah mengapa Abdullah Munsyi ketika melihat seorang putera raja Kelantan bernama Tengku Temena pada tahun 1838 Masihi yang suka menghisap candu, beliau memfatwakan kepada Tengku Temena bahawa candu itu haram. Hal ini adalah kerana memang telah wujudnya fatwa pengharaman tersebut yang dikeluarkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari.

Abdullah Munsyi berkata: “Setelah pagi-pagi hari, maka naiklah sahaya bersama-sama Grandpre ke darat sebab hendak mencari Tengku Temena. Maka sahaya dapati ia lagi tidur di rumah orang di pantai itu. Maka adalah kira-kira pukul sebelas baharulah ia bangun tidur.

 Sebermula, maka adalah ia itu makan candu; maka badannya pun kurus, kelihatan tulangnya pun berjerangkang, dan bibirnya hitam dan badannya pun tiada bergaya. Maka setelah ia bangun tidur, maka duduklah sahaya berkhabar-khabar akan hal sahaya hendak berlayar, melainkan menantikan sampan pukat itu sahaja datang.

 Maka adalah hati sahaya terlalu kasihan melihatkan hal anak raja itu, sebab ia makan candu itu dari Kelantan sudah sahaya ketahui. Maka sahaya hendak menegurkan dan mengajarkan dia, barangkali nanti ia mendapat malu; maka sebab itulah tiada sahaya tegurkan. Maka sahaya fikir, pada ketika inilah baik. Maka lalu sahaya kata, "Janganlah Tengku minum madat itu, karena ia itu mendatangkan beberapa celaka dan kebinasaan dan kerugian adanya." Maka jawabnya, "Itu betul, tuan, tetapi sudah menjadi adat kepada sahaya, tiada boleh sahaya buangkan. Dan lagi suatu kemuliaan kepada raja-raja dan lagi menjadi ubat besar kepada sahaya."

 Lalu jawab sahaya, "Bukankah patut kita membuangkan adat yang jahat itu? Dengarlah Tengku, akan kebajikan candu itu. Pertama-tama, ia itu haram dalam agama Islam; dan kedua, membinasakan badan; dan ketiga, menghabiskan wang; dan keempat, mendatangkan malas; dan kelima, menghilangkan waktu; dan keenam, merosakkan nama yang baik; dan ketujuh, kebencian segala orang yang baik; adanya. Adapun segala tanda yang sahaya kata ini, sekaliannya adalah kepada Tengku. Sahaya lihat badan Tengku sudah rosak dan harta Tengku habis dan badan Tengku malas, hendak tidur sahaja siang malam. Maka seperti kata Tengku, kemuliaan kepada raja-raja itu, tiada sahaya lihat; dan menjadi ubat itu pun, tiada sahaya lihat. Mengapa Tengku menjadi bodoh? Maka fikirlah, jikalau kiranya menjadi baik dan berfaedah kepada manusia, mengapa orang Putih yang baik-baik dan kaya-kaya tiada makan? Bukankah dari negerinya datang itu? Adakah di Tanah Melayu Candu jadi? Dan lagi, dalam kitab dan al-Quran sudah tentu haramnya itu, melainkan iblis sahaja yang suka akan segala perkara yang demikian itu."

 Syahdan, apabila didengarnya segala perkataan sahaya itu, maka tunduklah ia berfikir seketika. Maka katanya, "Sekalian perkataan tuan itu benar sekali. Maka sahaya pun menyesallah diri sahaya; dan beberapa kejahatan sudah sahaya buat sebab candu ini. Maka Insya Allah Ta’ala sahaya mau buangkan celaka ini!" [Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan]

Gambar hiasan: Lakaran Muhammad Karim Khan Zand (pemerintah Dinasti Zand di Iran) sedang menghisap candu/ganja, tahun 1755.

[Legasi Pemikir - LEKIR]



Comments