Sejarah Singkat Kesultanan Banjar Di Pulau Hujung Tanah

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Sebenarnya nama Banjar itu hanya baharu muncul setelah Raden Samudera memisahkan diri dari Kerajaan Daha yang menganut Siwa-Buddha yang hanya sempat berdiri selama lima dekad.

Kerajaan Daha itu mengambil tempat Kerajaan Dipa yang dibina oleh Ampu Jatmika, seorang saudagar kaya. Dia bukanlah berasal dari Kalimantan sebaliknya dari Majapahit, datang ke Pulau Hujung Tanah (Kalimantan) untuk berdagang lalu menjadi anak angkat kepada Raja Negara Kahuripan - sebuah kerajaan purba.

Setelah Baginda Raja mati maka dia dilantik menjadi raja lalu menukar nama Kahuripan menjadi Negara Dipa. Negara ini berdiri selama satu abad.

Sejak berdirinya Kerajaan Negara Dipa itu, perkahwinan silang antara Majapahit sering terjadi. Sehingga budaya Jawa menjadi sebahagian dari budaya setempat.

Ketika Raden Sekar Sungsang yang memakai gelar Maharaja Sari Kaburungan memindahkan ibu kota ke Muara Hulak dari Candi Agung. Bersamaan dengan itu nama Negara Dipa turut diubah menjadi Negara Daha. Negara Daha ini berdiri tidak lama.

Gambar via -kuttabku-
Menurut cerita, keturunan raja yang pertama menganut Islam adalah Panji Sekar, anak kepada Maharaja Sari Kaburungan yang lahir semasa Baginda berdiam di Giri Kedaton - sebuah kerajaan Islam di Jawa Timur.

Panji Sekar ini beristerikan anak Sunan Giri setelah memeluk Islam, yang kemudian digelar Sunan Serabut. Namun Sunan Serabut tidak menjadi Raja Kerajaan Negara Daha sebaliknya tinggal di Giri.

Ketika hampir mangkat Maharaja Sukarama, Raja Negara Daha, maka baginda mewariskan tahta kepada cucundanya - Raden Samudera. Hal ini menyebabkan nyawanya terancam oleh bapa-bapa saudaranya yang ingin menjadi raja.

Oleh itu Raden Samudera melarikan diri ke hilir Sungai Barito dan mendapat perlindungan dari Patih Masih. Kelak kawasan itu menjadi Bandar Masih dan lama kelamaan bertukar menjadi Banjarmasin.

Ketika Pangeran Tumenggung - bapa saudaranya yang merampas kuasa dan menjadi Raja Negara Daha - ingin menyerang Bandar Masih bagi menamatkan riwayat Raden Samudera, maka Raden Samudera meminta bantuan dari Kesultanan Demak.

Kenapa Demak? Ini kerana sebahagian darah yang mengalir dalam jasad para bangsawan Banjar itu adalah darah Jawa. Dan ketika itu Pati Unus yang menjadi Sultan Demak sangat mahsyur dengan keadilan dan kehandalan.

Demak bersetuju untuk menghukurkan bantuan sebanyak 1000 perahu yang berisi 40,000 soldadu sekiranya Raden Samudera dan kerajaannya kelak menerima Islam.

Raden Samudera itu merupakan keturunan ke 6 dari Lambung Mangkurat, anak Ampu Jatmika. Juga keturunan dari Putera Majapahit yang dikahwinkan dengan puteri Negara Dipa lalu memakai gelar Maharaja Suryanata. Dia juga adalah keturunan Maharaja Sari Kaburungan (Raden Sekar Sungsang).

Kerajaan Banjar berdiri pada 1520 setelah pasukan Pangeran Tumenggung tewas dan dia mengembalikan tahta kepada Raden Samudera.

Pada 24 September 1526M bersamaan 6 Zulhijjah 932H, Pangeran Samudera memeluk Islam dan bergelar Sultan Suriansyah atau Suryanullah.

Surian itu maksudnya suria (matahari) dan syah itu adalah raja. Ini sebagai penghargaan kepada Raden Samudera yang membawa Islam menjadi agama rasmi kepada penduduk Kalimantan Selatan.

Banjarmasin terus menjadi tempat tinggal para sultan dalam jangka masa yang lama. Dan rakyat negara itu mula menamakan diri mereka sebagai 'Orang Banjar' sebagai pengenalan ketika keluar negeri, sama ada dalam merantau, berdagang atau berhaji.

Mungkin sebelum berdirinya Kesultanan Banjar, penduduk Kalimantan Selatan memanggil diri mereka sebagai Orang Kahuripan, kemudian Orang Dipa dan seterusnya Orang Daha.

___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments