Kisah Dan Asal Usul Nama Gunung Ledang Di Johor

OLEH: Freddie Aziz Jasbindar


Gunung Ledang juga turut dikenali sebagai Mount Ophir dan ia adalah merupakan sebuah gunung yang terdapat di dalam kawasan Tangkak, Johor. Gunung Ledang ini mempunyai ketinggian setinggi 1,276 meter dan ia adalah merupakan gunung yang paling tinggi di selatan semenanjung Malaysia.

Terdapat beberapa kisah penceritaan yang ada dikaitkan dengan Gunung Ledang ini antara yang cukup popular adalah kisah Puteri Gunung Ledang. Kisah Puteri Gunung Ledang ada diceritakan dalam dua buku lama iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).



Penceritaan yang selalu didendangkan adalah dengan menggambarkan bahawa Puteri Gunung Ledang ini amat cantik paras rupanya sehinggakan Sultan Melaka ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Lalu diutuskan Laksamana Hang Tuah oleh Sultan Melaka untuk pergi meminang Puteri Gunung Ledang.

Oleh kerana dikatakan Hang Tuah pada waktu itu tidak dapat pergi kerana usianya yang sudah lanjut, Tun Mamat pula yang ditugaskan untuk pergi meminang Puteri Gunung Ledang. Lalu, pergilah satu rombongan dari negeri Melaka yang diketuai Tun Mamat ke puncak Gunung Ledang untuk meminang seorang puteri yang amat cantik paras rupanya.


Imej dari sejarah.my


Apabila Tun Mamat sampai ke puncak Gunung Ledang, beliau telah bertemu seorang nenek tua. Nenek tua itu sebenar adalah Puteri Gunung Ledang yang sedang menyamar untuk menyelidik apakah gerangan satu rombongan ke kawasannya. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Melaka secara halus dengan mengenakan tujuh syarat yang tidak masuk akal. Ianya adalah seperti yang tertera dibawah:

1. Sebuah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.
2. Sebuah jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
3. Tujuh dulang hati nyamuk.
4. Tujuh dulang hati hama.
5. Tujuh tempayan air mata anak dara.
6. Tujuh tempayan air pinang muda.
7. Semangkuk darah putera kepada Sultan Melaka.

Walaupun syarat-syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang untuk memperisterikan dirinya ini tidak masuk akal namun Sultan Melaka boleh bersetuju dan sanggup untuk laksanakan kecuali syarat yang terakhir iaitu semangkuk darah putera kepada Sultan Melaka.

Berbalik kepada perbicaraan tentang topik asal-usul dan bagaimana Gunung Ledang ini dinamakan. Terdapat beberapa pendapat dan teori yang punyai kaitan dan masuk akal untuk dipelajari. Menurut satu pendapat ada mengatakan bahawa Gunung Ledang adalah tempat yang mengandungi banyak emas.

Oleh kerana terlalu banyak emas yang tersimpan di Gunung Ledang, ia telah menarik perhatian ramai pedagang yang datang dari jauh seperti dari Greece dan China. Para pedagang dari China sering berulang-alik di Selat Melaka turut memanggil Gunung Ledang itu tersebut sebagai Kim Sua yang bermaksud Gunung Emas.

Imej dari sejarah.my

Dalam penceritaan lain pula yang menyatakan bahawa orang Jawa lah yang menamakan Gunung Ledang sewaktu menjadi pemerintahan di empayar Majapahit. Mereka ini yang mula-mula menggelarkan gunung tersebut sebagai Gunung Ledang yang membawa maksud gunung dari jauh atau gunung paling jauh.

Tentang nama lain buat Gunung Ledang iaitu Mount Ophir pula adalah dipercayai berasal daripada tiga bahasa iaitu bahasa Ibrani iaitu dari perkataan Owphir, bahasa Yunani iaitu dari perkataan Ofis yang membawa maksud ular merujuk kepada larangan masyarakat tempatan untuk berjalan atau mendirikan perkhemahan diatas sesuatu tapak yang dilindungi yang dikatakan dijaga oleh sekumpulan ular berbisa yang bergerak-gerak dan yang terakhir dari bahasa Yunani dengan perkataan auferre yang membawa maksud untuk dilucutkan, barangkali juga berkaitan dengan pantang larang.


___________________________
~ Freddie Aziz Jasbindar ~
Sahabat PENA
Telegram:  https://t.me/gerakanpenamy

Comments