OLEH: Taufiq Tuah
Sangat masyhur serangkap pepatah Melayu iaitu "biar mati anak, jangan mati adat". Makna peribahasa tersebut sebagaimana yang kita pelajari di sekola dan seperti yang difahami orang ramai ialah, adat yang tidak boleh dilanggar.
Saya juga sempat membuat beberapa semakan buku latihan lama saya dan juga laman blogger dan wordpress cikgu-cikgu sekolah yang ada di internet tentang maksud pepatah ini. Ternyata, semua bahan semakan itu memberikan jawapan yang sama atau semakna. Malah contoh ayat di dalam blog dan buku itu juga seperti "Pakcik masih mengamalkan budaya Melayu lama di kampung kerana baginya, biar mati anak, jangan mati adat".
Jelas, orang ramai memahami makna pepatah ini secara literal. Lalu mengaitkan pepatah ini dengan hal-hal seperti budaya, tradisi dan warisan.
Secara peribadi, saya tidak mengatakan pemahaman mereka tentang pepatah ini salah. Malah saya rasa pemahaman ini sesuai dengan konteks hari ini yang mana istilah adat sememangnya akan merujuk kepada budaya, tradisi dan warisan.
Namun jika benar itulah maksud pepatah ini, maka saya secara peribadi menolak sekeras-kerasnya pepatah ini untuk diamalkan. Mana mungkin saya bersetuju untuk membiarkan anak saya mati, hanya kerana mempertahankan adat. Malah mati lah adat jika mati waris (anak saya) untuk menyambung adat-adat itu.
Lalu bagaimana kita memahami maksud pepatah ini? Saya difahamkan pepatah ini juga digunakan di dalam Sulalatus Salatin yang dipercayai tarikh asalnya ialah pada tahun 1356. Menunjukkan bahawa pepatah ini mungkin sahaja wujud lebih awal dari tahun 1356.
Namun tarikh permulaan kegunaan pepatah ini tidakpun menggusarkan saya. Namun persoalan yang lebih saya ingin tanyakan ialah, di mana pepatah ini diaplikasikan di zaman dahulu kala? Oleh itu, saya telah meneliti beberapa peradaban lama di dalam Melayu.
Antara yang menarik untuk saya kongsikan ialah, penggunaan pepatah ini di dalam Tambo Minang. Tambo ialah himpunan cerita atau riwayat atau kata-kata yang diwarisi secara lisan (yang kemudiannya bertulis) oleh masyarakat Minangkabau.
Secara ringkasnya, pepatah yang semakna dengan pepatah yang dibincangkan memang turut ada di dalam budaya Minangkabau sekaligus telah sinonim dengan budaya di Negeri Sembilan.
Namun perlu kita telusuri apa maksud pepatah ini ketika diguna pakai oleh orang Minangkabau. Apa yang saya cuba tekankan di sini ialah istilah 'adaik' atau 'adat' di dalam pepatah tersebut.
Istilah adat pada waktu itu sebenarnya merujuk kepada 'aturan' atau 'undang-undang'. Jika kita lihat kembali istilah 'adat' di dalam peradaban Melayu sebenarnya memang merujuk kepada makna undang-undang. Contoh mudahnya ialah Adat Temenggong (Undang-undang Temenggong) dan Adat Pepatih (Undang-undang Pepatih).
Maka jika ditafsirkan secara literalnya akan membawa erti,
"Biar mati anak, jangan mati undang-undang".
Dari sini barulah kita dapat simpulkan makna sebenar pepatah ini iaitu hukuman undang-undang tetap perlu dilaksanakan walaupun hukuman itu melibatkan hukuman mati terhadap anak kita sendiri.
Makna yang seperti ini jelas selari dengan sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam yang bermaksud,
"Demi Allah, sungguh jika Fatimah binti Muhammad (anak Rasulullah sendiri) mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya (hukuman hudud)"
(HR. Bukhari no. 6788 dan Muslim no. 1688)
Jika pepatah ini diungkapkan pada waktu dahulu, maka saya tidak teragak-agak untuk bersetuju dengan pepatah ini. Kerana undang-undang dahulu sememangnya berteraskan undang-undang Islam. Terutamanya undang-undang Minangkabau yang sememangnya hukuman jenayahnya diambil dari hukum hudud. Sehingga orang Minangkabau sendiri di dalam tambo mereka telah tertera "Adaik (undang-undang) basandi syarak, syarak basandi kitabullah".
Namun untuk undang-undang konvensional pada hari ini, saya secara peribadi akan teragak-agak untuk redha dan setuju dengan hukuman menarik nyawa terhadap anak sendiri atas apa jua alasannya. Apatah lagi undang-undang manusia itu menghukum bunuh dengan tali gantung.
Comments
Post a Comment