Memoir Hempher: Bukti Wahabi Boneka Inggeris

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

“Memoir Hempher : Perisik Inggeris Di Timur Tengah” - sebuah catatan peribadi seumpama diari ditemukan pada tahun 1888M dalam bahasa Turki. Gempar seketika dunia Arab lantaran tertulis pada catatan peribadi itu kisah seorang lelaki yang mencetuskan gerakan Wahabi. Dinyatakan bahawa empunya catatan itu adalah seorang perisik Inggeris bernama Hempher yang ditugaskan untuk menjatuhkan Kesultanan Uthmaniyah serta berperanan untuk menyesatkan ummah!


Perisik Terhebat

Pastilah Encik Hempher adalah perisik terulung dalam carta Perisik Dunia lantaran tidak ada satu pun catatan tentang dirinya mana-mana sumber termasuk rekod Inggeris. Apa yang menjadi bukti keberadaannya hanyalaah sebuah buku dengan nama penulis; Hempher atau nama samarannya Syeikh Muhammad Majmui. Betapa liciknya Syeikh Muhammad Majmui ini hingga kewujudannya pun tidak disedari oleh penduduk Basrah.

Hempher menyatakan dalam memoirnya bahawa dia ke Basrah pada tahun 1713 M lalu terlihat seorang pemuda yang fasih bertutur dalam Parsi, Turki dan Arab, mundar mandir di sebuah kedai. Lalu mereka berkenalan dan dari detik itulah pemuda yang bernama Muhammad Bin Abdul Wahhab (MBAW) menjadi muridnya. Diasuh dan dihasut sehingga MBAW mencetus ajaran sesat yang dipanggil Wahabi pada tahun 1743M.

Bila dicermati kisah yang terkandung dalam memoir ini, terdapat banyak perkara yang boleh diragukan. Kita cuba perhatikan peristiwa penting dalam kelahiran Wahabi iaitu pertemuan antara Hempher dengan MBAW yang dikatakan terjadi pada tahun 1713M. Walhal mengikut sejarawan Ibnu Ghonam dan Ibnu Bisyr, mereka menyatakan tahun kelahiran MBAW adalah pada 1703M lalu pada tahun 1713M, bererti MBAW belom menjadi pemuda sebaliknya kanak-kanak berusia 10 tahun.

Sejarah mencatatkan MBAW hanya keluar dari daerah tempat tinggalnya menuju ke Basrah apabila dewasa. Kemudian Hempher mengatakan bahawa MBAW mula mendakwahkan ‘ajaran sesatnya’ pada tahun 1743M sebaliknya ahli sejarah mencatatkan bahawa MBAW hanya menyebarkan dakwah setelah kewafatan ayahnya pada tahun 1753M.

Memoir Hempher memiliki beberapa ciri yang ‘menghairankan’ antaranya ialah hanya mencatatkan dua tarikh sahaja dalam bukunya iaitu 1710M dan 1730M, walhal telah lazim sebuah buku catatan diari atau memoir akan penuh diisi dengan tarikh. Selain itu, memoir ini banyak menyinddir kerajaan Inggeris dan menyalahkan serta merendahkan agama Nasrani. Perbuatan Hempher sangat pelik jika dia benar-benar seorang perisik kepada Inggeris.

Dengan wujudnya memoir ini, satu jalinan dipertunjukkan oleh pengarangnya yang ‘majhul’ (tidak diketahui) bahawa Wahabi adalah produk Inggeris. Tetapi pada 1806M berlaku satu perkara yang memberi tanda soal yang cukup besar kepada orang yang membenarkan memoir tersebut. Pemerintah Wahabi bersama kaum Qawashim telah menyerang pangkalan Inggeris sehingga mereka berjaya menguasai perairan Teluk (rujuk Dr Ali Muhammad ash Sholabi, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Khilafah)

Nampaknya permusuhan antara Wahabi dan Barat bukanlah seperti sendiwara Syiah dan Yahudi; di mana mereka telah berpuluh tahun berikrar akan menyerang antara satu sama lain namun sampai hari ini sebutir peluru tidak pernah dibidik, sedangkan Afghanistan, Iraq dan Libya dirempuh dengan tanpa banyak bicara.

Ketika Ibrahim Pasya yang merupakan anak kepada Gabenor Mesir berjaya menumpaskan Kerajaan Wahabi dan memenggal leher Abdullah Bin Su’ud maka Inggeris mengutus Kapten George Forester Sadleer untuk mengucapkan tahniah serta membuat pakatan bersama dalam memerangi kaum Qawashim yang merupakan pengikut Wahabi. Inggeris menawarkan armada lautnya untuk menghapuskan kaum Wahabi dan berharap Mesir akan menggempur melalui jalan darat (rujuk: , J.J. Lurimer , Dalil al-Khalij atTarikhi).



Wahabi Di India Dan Nusantara
Permusuhan yang sama wujud di India ketika bangkit gerakan Wahabi yang diterajui oleh Syaikh Ahmad Irfaan. Wahabi menentang Qadiyani, sebuah ajaran aqidah yang memang diciptakan oleh Inggeris melalui murid mereka; Mirza Ghulam Ahmad. Wahabi menetang penjajahan Kaum Kafir serta ulama’ ciptaan mereka. Hinggakan Inggeris tergugat dengan kehadiran Wahabi.

W.W. Hunter dalam bukunya yang berjudul “The Indian Musalmans” berkata tentang ketakutan Inggeris terhadap Wahabi:  “Tidak ada ketakutan bagi Inggeris di India melainkan terhadap kaum Wahabi, kerana merekalah yang menyebabkan meletusnya rusuhan dalam rangka menentang Inggeris dan membangkitkan semangat umat dengan atas nama jihad untuk memusnahkan penindasan akibat dari ketidaktundukan kepada Inggris dan kekuasaan mereka” (Lihat: W.W. Hunter, The Indian Musalmans).

Setelah kita melihat bagaimana sikap Barat terhadap Wahabi di Semenanjung Arab serta India, rupanya sikap yang serupa juga dizahirkan di Nusantara. Para Raja di Minangkabau yang mengikuti aliran Wahabi disebut sebagai Kaum Paderi seperti Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Nan Renceh, Tuanku Nan Gapuk telah menggempur Belanda dalam Perang Paderi yang berlangsung selama 37 tahun. Pada peringkat awal, ulama’ tradisional merupakan pasukan bersekutu dengan Belanda untuk menewaskan Kaum Paderi, tetapi akhirnya baharulah Kaum Tua menyesali kerana ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Dipanggilnya Belanda untuk menghapuskan Wahabi tetapi akhirnya mereka sendiri dijajah oleh Belanda! (rujuk: HAMKA, Dari Perbendaharaan Lama).

Melihat seluruh kawasan yang mana kaum Wahabi datang berdakwah, pasti akan ditentang oleh Barat yang kafir maka Prof Dr Hamka membuat sebuah kesimpulan: “Dan Wahabi pun ditakuti oleh bangsa-bangsa penjajah, kerana apabila ia masuk ke suatu negeri, ia akan mengembangkan mata penduduknya menentang penjajahan. Sebab faham Wahabi ialah meneguhkan kembali ajaran Tauhid yang murni, menghapuskan segala sesuatu yang akan membawa kepada syirik. Sebab itu timbullah perasaan tidak ada tempat takut melainkan Allah. Wahabi adalah menentang keras kepada Jumud, iaitu memahamkan agama dengan membeku. Orang harus kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Hadis” (rujuk: HAMKA, Dari Perbendaharaan Lama)

Berganjak dari Indonesia maka kita melihat negara sendiri. Ketika bangsa kita dijajah maka Kaum Wahabi berusaha untuk menerjah. Paling penting merdeka pada fikiran dan punya ilmu untuk bertindak. Lantas kaum Wahabi yang dikenal sebagai Kaum Muda menubuhkan pelbagai madrasah dan menerbitkan pelbagai akhbar dan majalah. Hari ini kita menyebut Kaum Muda sebagai pejuang dan reformis. Dengan mata dan kepala kita menyaksikan perubahan yang mereka bawa ke dalam bangsa kita, serta kita mengerti bahawa mereka menyeru bangsa kita bangkit menentang penjajah melalui genre sastera dan puisi. Tetapi pelik bila ada yang percaya Eahabi adalah pengganas dan terroris! Bukankah ini lagu dan irama dari seluring Inggeris?


Patung Lilin Barat Yang Sebenar
Berdasarkan kisah-kisah diatas, apakah mungkin masih ada manusia yang akan mengatakan bahawa Wahabi adalah ejen kepada Barat. Penafian ini lahir dari beberapa sebab; keyakinan Wahabi yang sangat membenci syirik dan kaum musyirik. Kedua adalah sikap kaum Wahabi kepada perbuatan syirik dan pelaku syirik.

Sesiapa yang menekuni kitab-kitab aliran Wahabi akan mengetahui bahawa ‘tauhid’ adalah nadi kepada gerakan Wahabi. Apabila membicarakan tauhid sekaligus akan menyinggung tentang syirik. Wahabi beriman bahawa wala’ wal bara’ (kecintaan dan berlepas diri) ditentukan oleh tauhid, dimana Allah menyatakan bahawa orang beriman sangat keras dengan orang kafir tetapi sangat berlemah lembut dengan kaum muslimin. Selanjutnya keimanan yang terpatri dalam hati kaum Wahabi ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Maka belakulah peperangan antara Penjajah Barat dengan Kaum Wahabi di mana sahaja.

Dalam masa yang sama, kaum penjajah menjalin hubungan dengan para musuh Wahabi. Lihat bagaimana Muhammad Ali Pasya yang menjadi Gabenor Mesir memuja pemikiran Barat lalu akhirnya menjadi ahli Freemanson. Beberapa sejarawan telah menyatakan hal ini antaranya al Jabaroti dalam Aja’ibil Atsaar. Inggeris telah mengikat persefahaman dengan Mesir untuk menumpaskan Wahabi.

Begitu juga Sharif Makkah telah bersubahat dengan Inggeris dalam melancarkan peperangan melawan Turki maka Inggeris mengutus pegawainya yang bernama Lawrance of Arabia menjadi penasihat Sharif Husein. Inggeris berjanji untuk menobatkan Sharif Hesien sebagai Khalifah tetapi akhirnya Inggeris menabalkan anaknya seorang sebagai Raja Iraq dan seorang sebagai Raja Transjordan yang hari ini memakai nama Jordan.

Ahmad Zaini Dahlan – mufti Makkah - telah menerima Syeikh Abdul Ghaffar a.k.a Snoche Hugronje sebagai murid dan dituliskan ‘tazkiyah’ (pengiktirafan) sebelum murid tercinta mudik ke Jawa dalam misi membasmi Wahabi, tetapi akhirnya gerakan pemurtadan orang Islam yang dilancarkan dan juga Acheh mengalami keruntuhan akibat perancangan Syeikh Abdul Ghaffar.

Sementara itu Kaum Adat telah menjemput Belanda untuk menentang Kaum Paderi (Wahabi) di Minangkabau. Perang berlanjutan dalam dua fasa yang akhirnya umat Islam dijajah Belanda.





___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________



Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments