Sejarah Kezaliman Terhadap Keluarga Saud Dan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Siapa Sebenarnya Pembunuh?

OLEH: Halim Abdurrahman



Pembunuhan Ulama dan Umara' Serta Pemusnahan Dar'iyyah Sebagai Usaha Penghancuran Dakwah Salafiyyah Sehingga Ke Akar Umbinya.



Sesungguhnya Sultan Mahmud II merasakan hasratnya sudah tercapai apabila dapat menundukkan semula Hijaz dalam pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Sedangkan serangan dan pemusnahan terhadap Dar'iyyah sebagai pusat awal kepada Dakwah Salafiyyah yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad Ibn 'Abdul Wahhab, bukanlah suatu tuntutan ketenteraan atau strategik yang mendesak.[1] Walaubagaimanapun, inilah yang telah dilakukan pada tahun 1818 oleh angkatan Mesir di bawah pimpinan Ibrahim Pasya, anak kepada Muhammad Ali Pasya sendiri.


Potret Sultan Mahmud II

Demikianlah dahsyatnya konspirasi antara syaitan jin dan syaitan manusia bagi memadamkan cahaya Tawhid dan Sunnah di bumi Allah. Malah, sekiranya mereka itu berjaya, gunung-gunung yang gagah perkasa pun dapat diruntuhkan. Maka, bagaimana pula dengan kejayaan konspirasi yang sama dalam membinasakan manusia yang serba lemah? Hanya Allah sajalah yang menjadi pelindung mereka yang beriman daripada kejahatan konspirasi seumpama itu, sebagaimana firman-Nya:

"Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedangkan di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-gunung sekalipun." (Ibrahim:46)

Agenda tersembunyi ekspedisi ketenteraan ini untuk memusnahkan dakwah salafiyyah juga semakin terserlah apabila berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap para penyokong Dakwah Salafiyyah. Bahkan, golongan ulama' Salafi turut menjadi sasaran utama dalam pembunuhan tersebut.


Potret wajah Ibrahim Pasha

Sebagai contoh Syeikh Sulaiman Ibn 'Abdullah, telah dibunuh dengan kejam lagi menyeksakan oleh pasukan Ibrahim Pasya ketika penggempuran Dar'iyyah. Beliau telah ditangkap dan dibawa kepada Ibrahim Pasya pada tahun 1818. Pasukan Ibrahim Pasya juga menghinanya sedemikian rupa, dengan memakaikan pelbagai alat-alat kemungkaran kepadanya, sehingga semua itu menutupi seluruh badan beliau. Kemudian, Syeikh Sulayman Ibn Abdullah dibawa ke tanah perkuburan. Di sana, Ibrahim Pasya memerintahkan tenteranya menghujani Syeikh Abdullah dengan rejaman tombak. Hasilnya, wafatlah beliau dengan puluhan tombak menembusi serta mencincang lumat badannya [2]. Innalillahi wa Inna Ilayhi Raji'un.

Nasib Amir Abdullah Ibn Sa'ud yang ditawan juga tidak kurang buruknya. Dari Dar'iyyah, beliau dibawa ke Kaherah dahulu, sebelum dihantar ke Istanbul untuk dihukum. Di kotaraya Istanbul, amir ini telah diarak di jalan-jalan raya sekitar kota raya itu dengan penuh kehinaan. Selepas itu, diperintahkan agar amir ini dihukum pancung. [3]. Mayat beliau pula digantung di pintu pagar Istana Topkapi untuk beberapa lama, agar dapat dipamerkan kepada orang ramai. [4]



Istana Topkapi


Sesungguhnya, amir Kerajaan Muwahhidun ini telah mengambil inisiatif untuk berdamai dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah dan juga pasukan Mesir. Menerusi suratnya kepada Tusun Pasya yang diutus melalui Syeikh Ahmad al-Hanbali, beliau telah menjelaskan bahawa kerajaan Muwahhidun sememangnya mengiktiraf pemerintahan Turki Uthmaniyyah dan tidak pernah memberontak kepada kerajaan tersebut.

Potret Tusun Pasya

Walau bagaimanapun, kelicikan tipu-muslihat politik Muhammad Muhammad Ali Pasya telah berjaya menampilkan kepada sebahagian besar orang-orang awam bahawa kezaliman yang mereka lakukan terhadap Muwahhidun adalah sebagai justifikasi ketaatan mereka kepada sultan Turki Uthmaniyyah selaku Khalifah dunia Islam.[5]


Potret Muhammad Ali Pasya





Catatan Nota Kaki:



(1). Al-Syalabi, Ali Muhammad, Dr. (2003). al-Dawlah al-'Uthmaniyyah: 'Awamil al-Nuhudh wa Asbab al-Suqut. (Edisi terjemahan oleh Samson Rahman dengan judul Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah). Jakarta: pustaka al-Kautsar. Halaman 477.

(2). Beliau adalah seorang ulama Salafi yang mahir dalam bidang hadith, tafsir dan fiqh, serta senantiasa menegakkan yang ma'ruf dan melarang daripada yang mungkar. Syeikh Sulayman telah mengarang kitab Taysir al-'Aziz al-Hamid iaitu syarah kepada Kitab al-Tawhid oleh Syeikh Muhammad Ibn 'Abdul Wahhab. Bahkan, beliau sendiri merupakan cucu kepada Syaik Muhammad bin Abdul Wahhab. Lihatlah Uthman Ibn Bisyr. (tanpa tahun). 'Unwan al-Majd fi Tarikh Najd. Jilid 1. Halaman 210, sebagaimana yang dinukil dalam muqaddimah kepada al al-Syaikh, 'Abd al-Rahman Ibn Hasan (2002). Fath al-Majid Syarh Kitab al-Tawhid. Ta'liq 'Abd al-'Aziz Ibn Bazz. (Edisi terjemahan oleh Ibtida'in Hamzah et.al dengan judul Fathul Majid Penjelasan Kitab Tawhid.). Jakarta: Pustaka Azzam. Halaman 4.

Tentang pembuhuhannya, lihat juga Ahmad Ibn Zayni Dahlan. (2003). al-Durar al-Saniyyah fi Radd 'ala al-Wahhabiyyah. (edisi terjemahan oleh Drs.H. Aan Najib Musthafa dengan judul Mutiara Bercahaya Dalam menolak Paham Wahabi). Cetakan keempat. Pasuruan: PT Garoeda Buana Indah. Halaman 123, serta Huseyn Hilmi Isik. (1991). Advice For The Wahhabi. Cetakan Ketiga. Istambul: Hakikat Kitabevi. hal 4.

(3). Yagha, Isma'il Ahmad, Dr. (1997), Al-A'lam al-Arabi fi al-Tarikh wa al-Hadarah. Maktabah al-Ubaykan. Halaman 174, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syalabi, Ali Muhammad, Dr. (2003). al-Dawlah al-Uthmaniyyah: 'Awamil al-Nuhudh wa' Asbab al-Suqut. (Edisi terjemahan oleh Samson Rahman dengan judul Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah). Jakarta: Pustaka Al-Kautsar. Halaman 480.

(4). Huseyn Hilmi Isik. (1991). Advice For The Wahhabi. Cetakan Ketiga. Istambul: Hakikat Kitabevi. Halaman 202.

(5). Jamal Abdul Hadi, Dr et.al. (1994). al-Dawlah al-'Uthmaniyyah: Akhta' Yajibu an Tusahhah fi al-Tarikh. Darul Wafa'. Halaman 96, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syalabi, Ali Muhammad, Dr.(2003). al-Dawlah al-Uthmaniyyah: 'Awamil al-Nuhudh wa Asbab al-Suqut. (Esdisi terjemahan olah Samson Rahman dengan judul Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah). Jakarta: Pustaka Al-Kautsar. Halaman 480.



.....................................



Gambaran Bagaimana Ketika Ibn Saud, Keluarganya dan Keluarga Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Dibunuh Dengan Kejam


Di dalam buku tulisan Syaikh Mas'ud al-Nadwi yang berjudul 'Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Tokoh Yang dizalimi' m/s 158-159, beliau menulis:

Setelah dua hari menyerah diri, Ibrahim Basha memerintahkan 'Abd. Allah bin Saud di bawa ke Mesir dengan ditemani 4 orang di kalangan pembantunya. Rombongan ini tiba pada Muharram 1234H/November 1818M dengan menerima ejekan serta cemuhan penduduknya. Setelah menemui Muhammad Ali pada 19 Muharram, 'Abd. Allah di hantar ke Istambul dimana maut menantinya. Beliau serta pembantunya disalib pada 18 Safar 1234H/18 Disember 1818M di lapangan Hagia Sophia dalam keadaan kepalanya kebawah.

Dengan kematian 'Abd. Allah bin Saud maka terhenti salasilah penguasa Najd yang mendapat pendidikan dari al-Syeikh al-Imam. 'Abd. Al-'Aziz bin Muhammad bin Saud serta Saud bin 'Abd. al-'Aziz merupakan murid kepada al-Syeikh al-Imam secara langsung. 'Abd. Allah bin Saud tidak dianggap sebagai murid secara hakiki kerana masih kecil ketika al-Syeikh meninggal dunia.

Abd. Allah (Abdullah) tidak berpeluang memerintah dalam suasana aman namun beliau mengikuti langkah yang dilaksanakan ayah serta datuknya dalam lapangan ilmu, dakwah dan pentadbiran.

Senarai nama syuhada' di kalangan keluarga Saud:

Bilangan yang terlibat ialah 21 orang, iaitu Faisal bin Saud, Ibrahim bin Saud, Fahd bin 'Abd. Allah bin 'Abd. al-'Aziz, Fadh bin Turki bin 'Abd. Allah bin Muhammad bin Saud, Muhammad bin Hassan bin Masyari bin Saud, Ibrahim bin Hassan bin Masyari, 'Abd. al-Rahman bin Hassan bin Masyari, Ibrahim bin 'Abd. Allah bin Farhan, 'Abd. Allah bin Ibrahim bin Hassan bin Masyari, 'Abd. Allah bin Nasir bin Masyari, Muhammad bin 'Abd. Allah bin Muhammad bin Saud dan Muhammad bin Saud bin 'Abd. Allah bin Muhammad bin Saud.

Senarai nama syuhada' di kalangan keluarga al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab:

Sulaiman bin 'Abd. Allah bin al-Syeikh, Ali bin 'Abd. Allah bin Al-Syeikh dan Muhammad bin 'Abd. al-Rahman bin Hassan bin al-Syeikh. Suatu yang menyedihkan perlakuan tentera Mesir terhadap jenazah al-Syeikh Sulaiman bin 'Abd. Allah yang dipotong serta dikoyakkan satu persatu.

[Lihat: 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm. 210]

Selain keluarga Saud serta al-Syeikh al-Imam termasuk yang terkorban ialah ulama' serta pembesar Najd. Antaranya ialah Ali bin Muhammad bin Rasyid al-'Arini kadi daerah Kharaj, Salih bin Rasyid al-Harbi, 'Abd. Allah bin Muhammad bin 'Abd. Allah bin Sulaim, Hamad bin Isa bin Sulain dan Muhammad bin Ibrahim bin Sadhan.

[Lihat: 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm. 210]

Selain yang terkorban, wujud kalangan ulama yang diperlakukan Ibrahim Basha seperti binatang buas. Sebagai contoh apa yang berlaku kepada al-Syeikh Al-Qadi Ahmad bin Rasyid al-Hanbali. Beliau merupakan ulama' terkemuka Madinah yang menyertai al-Syeikh al-Imam (Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab). Tuan Syeikh ini di pukul serta ditikam mulutnya sehingga berjatuhan giginya satu persatu.

[Lihat: 'Unwan al-Majd, Jil. 1, hlm. 210]

Al-Qadi Ahmad bin Rasyid berasal dari al-Ahsa'. Terkenal dengan keluasan ilmu dalam mazhab Hanbali sehingga digelar sebagai 'al-Hanbali'. Pada peringkat permulaan beliau menentang dakwah al-Syeikh al-Imam namun menyokongnya apabila mengetahui kedudukan sebenar. Beliau menetap serta meninggal dunia di Madinah ketika lanjut usia (meninggal pada 1249H).

al-Syeikh 'Abd. al-'Aziz al-Husein al-Nasiri (m.1237H) turut diperlakukan secara yang tidak sepatutnya. Beliau menetap di al-Syaqra' ketika bandar itu ditawan tentera Mesir. Ibrahim Basha memanggil beliau menemuinya dengan dipimpin pengikutnya disebabkan beliau sakit sehingga tidak berupaya berjalan.

..................................................

Ulasan saya (Abdul Halim):



Ini adalah rentetan peperangan yang berlaku di antara Kerajaan Saud dan Mesir di bawa pimpinan Ibrahim Basha (pasya) pada 1818. Perang ini asalnya bermula dari 'tiupan' fitnah golongan sufi/syiah dan seangkatan dengan mereka dalam memburukkan kerajaan Saud dan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Kesempatan ini digunakan oleh Ibrahim Basha serta segala kroni mereka di Mesir bagi mengangkat nama mereka di hadapan Sultan Turki Uthmaniyyah yang akhirnya mereka dan penerus generasi pasya ini menjadi dalang jatuhnya Empayar Turkir Uthmaniyyah.

Hakikatnya, Siapa Yang Fitnah Siapa? Siapa yang Bunuh Siapa?

..................................


Rujukan Sumber:

- Lihat; Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab: Tokoh Yang Dizalimi. Karya Syeikh Mas'ud Al-Nadwi

- Lihat; Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisis Ke Atas Peranan Gerakan 'Wahhabiyyah'. Karya Ibnu Ahmadain al-Barlisi.



___________________________
~ Halim Abdurrahman ~
Sahabat PENA

Comments