Asal Usul Nama Selangor

OLEH: Saufy Jauhary





Sebelum kedatangan Sultan Selangor yang pertama iaitu Raja lumu atau gelaran baginda Sultan Salehuddin Syah ibni Yamtuan Muda Riau, Upu Daeng Chelak pada tahun 1743 Masihi, nama Selangor telah pun wujud. Nama Selangor bermula dari Kuala Selangor, sebuah pekan (dahulu kota) yang terletak di pinggir Sungai Selangor. Timbulnya nama Selangor adalah sempena dari nama sungainya. Kuala sungai ini dinamakan Kuala Selangor.

Pada zaman dahulu memang telah menjadi kebiasaan orang menamakan sesuatu tempat itu dari nama sungai yang menjadi laluan perhubungan ketika itu. Misalnya negeri Perlis  adalah berasal dari Sungai Pelit (Perlite dalam bahasa Perancis membawa erti batu, yakni sungai batu). Demikian juga nama Selangor. Dianggarkan nama Selangor (Kuala Selangor) ini juga telah wujud lebih awal dari kurun ke-16, kerana sebelum Melaka ditewaskan oleh Portugis pada tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluki oleh Melaka.

Peta sekitar tahun 1640 - 1679 yang dilakar oleh pelukis belanda bernama Visscher, Nicolaes Jansz jelas menunjukkan nama negeri Selangor yang ditulis dengan 'Solongor'. Imej dari Old Maps Online.



Peta lakaran pelukis Perancis iaitu Guillaume Delisle pada tahun 1705. Juga membuktikan wujudnya nama negeri Selangor sebelum kedatangan Raja Lumu 1743. Imej dari Old Maps Online.


Sebelum Upu Daeng Chelak, anak Raja Bugis lima bersaudara datang ke Selangor, di Kuala Selangor telahpun didiami oleh sekelompok orang bugis yang diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari suku Bugis iaitu bernama Upu Cendera Burung [1]. Beliau dikatakan mempunyai sifat kasih dan penyayang serta pandai mengambil hati anak buahnya.

Makam Upu Cendera Burung yang terletak di Bukit Hospital, Kuala Selangor. Imej dari arinte.blogspot



Sifat seorang pemerintah yang bertimbangrasa inilah yang mempengaruhi hati penduduk Melayu di situ, hingga mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis, Faktor ini menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan. Apabila meninggalnya ketua mereka iaitu Upu Cendera Burung, lalu dikebumikan mayatnya di atas sebuah bukit yang sekarang ini dinamakan Bukit Hospital (kerana pernah wujud hospital di atas bukit ini sekitar 1920-an).

Ketiadaan ketua di Kuala Selangor ini membawa keinginan orang Perak dan orang Kedah untuk menjadi penghulu di situ. Namun tidak seorangpun daripada mereka yang datang itu diterima oleh penduduk tempatan. Keadaan ini sangat berbeza dengan kedatangan Raja Lumu yang telah disambut baik dan diiktiraf menjadi Yang Dipertuan Selangor pertama.

Berbalik kepada nama sungai Selangor yang dijadikan asas kepada nama Kuala Selangor dan seterusnya dijadikan sebagai nama negeri Selangor, terdapat beberapa cerita lisan yang didapati dari orang-orang lama di dalam daerah Kuala Selangor.

1) Daripada serangga bernama Langau.

Terdapat cerita yang menyatakan nama Selangor  datang dari sebutan nama seekor Langau, sejenis serangga yang menyerupai lalat tetapi berwarna hijau dan lebih besar. Kisahnya bermula apabila seorang pahlawan datang dari selatan, dalam perjalanannya ke utara. Pahlawan itu datang dari Melaka yang ketika itu talah ditewaskan oleh Portugis. Beliau keletihan dan cuba berehat di bawah sebatang pokok. Belumpun sempat melelapkan mata datang seekor langau terbang mengelilingi kepalanya.

Kemudian langau itu hinggap di hidungnya, pahlawan itu cuba menamparnya tetapi langau itu lepas terbang. Begitulah keadaannya beberapa kali. Dengan suatu tekad, pahlawan tadi membuat keputusan sekiranya keadaan itu berlaku lagi dia akan menampar langau tersebut sekuat-kuat hatinya. Tatkala langau tersebut menghinggap lagi ke batang hidungnya, pahlawan itupun menampar seberapa kuat yang boleh, malangnya langau terus berlalu hanya tinggal sakitnya sahaja di batang hidung.


Dari keadaan inilah setiap kali beliau memegang hidungnya setiap itulah pula beliau teringatkan kisah seekor langau. Terbitlah difikirannya bahawa beliau tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana panglima atau pahlawan, tetapi ditewaskan pula oleh seekor langau sahaja. Mungkin ini alamat baik pada fikirannya.


Kejadian ini telah menimbulkan keinginannya untuk meneroka tempat tersebut dan membatalkan sahaja rancangannya hendak mengembara lebih jauh lagi. Tempat itu dinamakan se-langau, iaitu seekor langau. Sebutan tersebut lama kelamaan menjadi Selangor. [2]


2) Daripada nama pokok Mentangau yang banyak

Versi lain asal usul nama Selangor adalah dari pokok Mentangau. Pokok ini banyak terdapat di pinggir sungai Selangor hingga kini. Pokok-pokok kayu Mentangau ini selain banyak tumbuhnya, ia juga sejenis pokok yang agak tinggi [3] dan boleh kelihatan dari arah laut, sehinggakan setengah-setengah pedagang mengatakan, "Aku nak singgah di kuala sungai Mentangau." Akhirnya disebut Kuala Selangor kerana kepelatan lidah Melayu. [4]



Dikatakan inilah rupa pokok Mentangau. Imej dari sgrul.wordpress

3) Pokok Mentangau yang digunakan menghalang bahtera angkatan Kedah


Diceritakan bahawa terdapat sebuah bahtera dari Kedah datang ke Selangor kerana nakhodanya ingin menjadi Penghulu di situ. Berita ini telah tersebar dan terlebih dahulu diketahui oleh orang-orang Kuala Selangor. Oleh kerana itu mereka membuat ikhtiar agar rombongan tersebut tidak dapat mudik ke kuala sungai.


Bahtera tersebut akhirnya tidak dapat mudik ke kuala sungai kerana tersekat dan tidak dapat bergerak lagi. Beberapa ikhtiar telah dicuba namun semuanya tidak berjaya. Nakhodanyapun memerintahkan supaya salah seorang dari anak buahnya turun ke dasar sungai melihat apakah yang menyebabkan bahteranya tersekat, tidak dapat bergerak.

Setelah ditinjau, didapati beratus-ratus batang kayu Mentangau yang beruncing hujungnya disusun berselang seli di perut sungai tersebut. Dikatakan batang kayu Mentangau tersebut adalah usaha dari penduduk Kuala Selangor untuk menghalang kemaraan angkatan Kedah ke tempat tersebut. Dari itulah datangnya perkataan Sungai Mentangau yang kemudiannya menjadi Sungai Selangor. [5]

4) Daripada perkataan 'Salang' dan 'Jemur'

Terdapat pendapat menyatakan bahawa nama Selangor adalah berasal dari perkataan salang dan jemur. Hal ini berpandukan kepada suatu tempat di pinggir sungai Selangor yang dahulunya pernah dijadikan tempat menghukum penderhaka dengan hukuman salang[6] dan kemudiannya dijemur. Gabungan dari perkataan salang dan jemur ini terbitlah perkataan Selangor. [7]

5) Pongkah Kayu pokok Mentangau di tengah sungai

Satu lagi versi menyebutkan nama Selangor sememangnya berasal dari perkataan Mentangau, namun bentuk ceritanya agak berbeza. Menurut ceritanya zaman dahulu ada seorang panglima diraja yang tidak diketahui dari mana datangnya telah mudik ke sungai selangor bersama-sama keluarganya. Tiba-tiba pada kira-kira dua batu dari kuala sungai tersebut terdapat kawasan yang mana keadaan air di situ berolak dan berpusing.

Walaupun keadaan air begitu, panglima diraja tersebut tetap meneruskan pelayarannya hingga bertemu dengan sebatang pongkah [8] kayu dari pohon Mentangau di tengah-tengah sungai tersebut. Rupa-rupanya pongkah Mentangau itulah yang menyebabkan arus air sungai berolak. Sekiranya dilintasi juga nescaya karamlah perahunya.

Setelah berbincang dengan ahli keluarganya, panglima tersebutpun mematikan hasratnya untuk meneruskan pelayaran dan merekapun meneroka tempat tersebut. Beberapa lama kemudian anak perempuannya telah menjadi gadis. Beberapa orang jejaka berhampiran kampungnya telah datang untuk meminang tetapi semuanya ditolak.

Anak gadis itu masih juga berterusan dipinang orang, menyebabkan panglima itu menjadi serba salah. Untuk mengelakkan pertelingkahan di antara jejaka yang meminang, panglima tersebut mengadakan satu majlis pertandingan. Barangsiapa yang dapat menghantar hadiah atau persembahan pinangan hingga dapat memenuhi keluasan pongkah kayu Mentangau di tengah sungai itu, dialah yang bakal menjadi menantunya.

Di antara jejaka yang ramai itu seorang daripadanya telah berjaya membawa persembahan sebanyak 44 dulang hantaran memenuhi pongkah kayu tersebut. Dari hal kejadian itulah menjadi adat di Selangor pada zaman dahulu sesiapa yang mahu meminang anak gadis hendaklah menghantaran 44 barangan sebagai emas kuning atau $44.00. [9]

Kesimpulannya, tidak dapat dipastikan yang mana satukah benar tentang asal usul nama Selangor. Namun dari berbagai versi ini kebanyakannya menyatakan berasal dari pokok Mentangau, iaitu Kuala Mentangau dan lama kelamaan menjadi Kuala Selangor. Bahkan telah menjadi kebiasaan orang-orang zaman dahulu menamakan nama sesuatu tempat berpandukan nama tumbuh-tumbuhan. Beberapa buah kampung di dalam daerah Kuala Selangor sendiri, terdapat nama-nama yang diambil sempena nama tumbuhan seperti Kampung Assam Jawa, Sungai Buluh, Bukit Rotan, Bukit Belimbing, Sungai Sireh dan lain-lain.
____________________________

Tandaan:

[1]     Diceritakan oleh Raja Endut bin Raja Asfa yang berusia 83 tahun ketika ditemubual oleh Allahyarham Datuk Dr. Yusoff Hassan sekitar tahun 1996. Raja Asfa ialah adik Bongsu Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ke-4.
[2]     Diceritakan oleh Allahyarham Encik Ali bin Idris, ketika itu berusia 78 tahun, tinggal di Teluk Piai. Juga diceritakan oleh Allahyarhamah Alang binti Alai ketika itu berusia 102 tahun, tinggal di Bukit Minyak, Sungai Tinggi. Hasil temubual oleh Datuk Dr. Yusoff Hassan sekitar tahun 1996.
[3]     Pokok Mentangau adalah sejenis pokok kayu laut, hidup di air masin. Tingginya kira-kira 14 hingga 20 kaki. Kayu jenis ini sangat tahan terendam di air. Biasanya kayu ini diambil untuk dijadikan Cerucuk atau pagar ambai.


Contoh  Tiang Cerucuk. Imej dari http://solusiindustri.com

[4]     Diceritakan oleh Allahyarham Datuk Hj. Ibrahim bin Datuk Ismail, Penggawa Paduka Mahabijaya Permatang yang berusia 60 tahun pada ketika itu. Menetap di Tanjong Karang. Penerangan ini dipersetujui oleh Encik Ahmad bin Abdul Rani, ketika itu berusia 56 tahun, beliau menetap di Teluk Piai. Hasil temubual oleh Datuk Dr. Yusoff Hassan sekitar tahun 1996.
[5]     Diceritakan oleh Encik Nordin bin Lakik berusia 77 tahun ketika ditemubual oleh Datuk Dr. Yusoff Hassan pada tahun sekitar 1996. Beliau adalah seorang Bugis Jati. Datuknya adalah Panglima Selangor. Salahsilahnya: Nordin bin Lakik bin Haji Ahmad bin Darasim bin Panglima Gampur (Panglima Selangor) bin Aki bin Daeng Jembuk dari negeri Bugis.
[6]     Salang bererti menikam orang dengan keris panjang dari belikat hingga ke jantung.


Contoh hukuman salang. Imej dari fiem Tun Fatimah 1962

[7]     Diceritakan oleh Encik Hassan bin Saad, berusia 80 tahun ketika ditemubual oleh Datuk Dr. Yusoff Hassan pada tahun 1996. Beliau menetap di Kampung Assam Jawa.
[8]     Pongkah adalah pangkal atau perdu pokok setelah ditebang.

Contoh Pongkah kayu. Imej dari MyCITES

[9]     Diceritakan oleh Encik Abdul Hamid bin Durasim, berusia 78 tahun pada ketika itu. Menetap di Kampung Bharu, Assam Jawa. Turut membenarkan cerita ini ialah Encik Ismail bin Yusuf ketika itu berusia 48 tahun, menetap di Kampung Kuantan. Hasil temubual oleh Datuk Dr. Yusoff Hassan sekitar tahun 1996.


SUMBER: Sejarah Kuala Selangor, Yusoff Hassan, terbitan ST Media Resources, Cetakan kedua Jun 2012


___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments