Adat Temenggung Dan Adat Perpatih

OLEH: Taufiq Tuah

Adat Temenggung diperkenalkan oleh Datuk Ketemenggungan. Pada asalnya ia tidak dipanggil 'Adat Temenggung' kerana adat ini diguna pakai oleh hampir semua kesultanan Melayu.

Namun setelah wujudnya Adat Pepatih, maka dinamakan adat ini Adat Temenggung.

Adat Temenggung juga akan diselarikan dengan undang-undang Melayu setempat seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Johor dan sebagainya.

Kebiasaannya pemilihan Sultan mengikut Adat Temenggung ialah mengutamakan anak gahara sulung yang mempunyai waris dan yang hadir ke pengebumian kemangkatan sultan sebelumnya.

Berbeza di Perak kerana Kesultanan Perak telah menyusun hirakinya sendiri dalam menentukan Sultan seterusnya. Kebiasaan kesultanan Melayu hanya melantik "Putera Mahkota" yang mana lantikan itu ialah tanda bahawa anaknya itu sebagai Sultan seterusnya.

Di Perak, sebelum dilantik menjadi Sultan, mestilah melalui berberapa fasa jawatan. Bermula dengan Raja Kecil Bongsu, kemudian Raja Kecil Tengah, kemudian Raja Kecil Sulong, Kemudian Raja Kecil Besar, kemudian Raja Di-Hilir dan kemudian baru lah Raja Muda.



Kedudukan 'Raja Muda' di Perak ialah sama seperti kedudukan 'Putera Mahkota' di mana kedudukan ini ialah kedudukan waris sultan seterusnya. Malah di negeri lain juga memanggil Putera Mahkota sebagai Raja Muda. Hanya kebiasaan negeri lain ialah tiada hiraki seperti Perak.

Walaupun berbeza hiraki, Perak masih lagi termasuk di dalam Adat Temenggung.

Ciri-ciri utama Adat Temenggung ialah,
1. Hukuman bersifat pembalasan.
2. Pemerintahan bersifat autokratik.
3. Pewarisan harta lebih kepada nasab lelaki.
4. Perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak.


Adat Perpatih pula diperkenalkan oleh Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini dirangka dengan teliti dan teratur. Hirakinya berbeza dengan Adat Temenggung seperti yang akan dibincang di bawah.

Perut ialah komuniti kecil di dalam adat ini. Mereka ialah daripada keturunan yang sama (keturunan sebelah ibu yang sama) dan tinggal bersama.

Buapak ialah ketua yang dilantik oleh anggota-anggota Perut.

Lembaga pula ialah ketua suku. Setiap suku akan melantik 'Dato Lembaga'. Kedudukan ini persis ketua suku yang ada di dalam nasab keturunan Arab.

Undang ialah pentadbir wilayah atau dalam adat ini, wilayah akan disebut sebagai 'luak'. Undang akan dilantik oleh para Lembaga yang ada di dalam luak besar. Misalnya Negeri Sembilan yang mempunyai 4 Luak Berundang iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap Lembaga di dalam luak itu lah yang akan berbincang dan memilih Undang.

Penguhulu Luak pula ialah ketua kepada luak yang tidak termasuk Luak Berundang. Luak ini dinamakan 'Luak Tanah Mengandung' yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Terachi, Inas, Gunung Pasir dan Jempol. Penghulu Luak tidak terlibat di dalam mesyuarat pemilihan Yang  dipertuan Besar.

Yang Dipertuan Besar ialah pangkat yang setaraf dengan Raja atau Sultan di dalam Adat Temenggung. Bezanya, Yang Dipertuan Besar dilantik oleh mesyuarat 4 orang Undang.


Antara ciri-ciri utama Adat Perpatih ialah,
1. Keturunan dikira dari nasab ibu.
2. Lelaki yang berkahwin akan tinggal di kampung belah isteri.
3. Perempuan mewarisi harta, lelaki mewarisi Saka (Jawatan dalam adat).
4. Tidak boleh berkahwin sama suku. Jika masih berkahwin sama suku, maka perempuan tidak layak mewarisi harta dan lelaki tidak layak mewarisi saka.
5. Orang luar boleh menjadi ahli suku.

Kedua-dua adat ini lah yang diguna pakai di dalam Nusantara. Namun yang paling banyak dipraktikkan ialah Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini hampir hilang di Nusantara dan yang tinggal mengamalkannya ialah Malaysia dan Brunei Darussalam. Adapun begitu, adat sosio budaya Perpatih masih diaplikasikan juga oleh masyarakat di sebahagian tempat di Indonesia.

Wallahualam

Rujukan:
1. Sejarah Naning, Luqman Nulhakim Harzamar, Geroda Merah, 2018
___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________



Comments