OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Kerajaan Hasyimiah Jordan (Al Mamlaka Al Urduniyya Al Hasyimiya) adalah sebuah negara beraja yang dikuasai oleh sebuah keluarga sahaja. Dari namanya sahaja sudah jelas dua perkara iaitu sebuah negara beraja dan dikuasai oleh keturunan Bani Hasyim. Nama penuh negara Jordan sama bentuknya dengan jiran, Al Mamlaka Al Arabiyya As Su'udiyah.
Populasi Jordan pada 2017 dianggarkan sebanyak 9.7 juta orang. Kaum Sunni merupakan majoriti besar dengan pecahannya seperti berikut:
- Sunni : 92%
- Syiah : 1%
- Nasrani : 6%
- Lain-lain : 1%
[Dewan Rakyat & Dewan Negara]
Dewan Rakyat (Majlis Al Nuwaab) ditubuhkan pada 1 Jan 1952. Terdapat 130 kerusi perwakilan dalam Dewan Rakyat Jordan dengan diperuntukkan 15 kerusi untuk wakil wanita, 9 kerusi untuk Nasrani dan 3 untuk Chechen dan Kaukasia.
Keputusan pilihanraya terakhir yang berlangsung pada 20 September 2016 menunjukkan pihak Bebas memperoleh 100 kerusi manakala 30 kerusi lagi dimenangi oleh pelbagai parti dan terbanyak adalah Jabhat Al Amal Al Islami sebanyak 10 kerusi.
Jabhat Al Amal Al Islami ini adalah parti yang membawa manhaj Ikhwanul Muslimin.
Manakala Ahli Senat yang membentuk Dewan Negara (Majlis Al Aayan) - yang diwujudkan pada tarikh yang sama - pula keseluruhannya dilantik oleh Raja. Jumlah mereka adalah sebanyak 65 orang.
[Proses Penggubalan Undang-Undang]
Kedua-dua Dewan (Dewan Rakwat dan Dewan Negara) memulakan perbahasan dan mengundi undang-undang. Cadangan dibacakan oleh Perdana Menteri kepada Dewan Rakyat di mana mereka diterima, dipinda atau ditolak. Kemudian setiap cadangan dirujuk kepada Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk dipertimbangkan.
Sekiranya ia diluluskan maka ia dirujuk kepada kerajaan untuk membuat draf dalam bentuk rang undang-undang dan mengemukakannya kepada Dewan Rakyat sekali lagi.
Sekiranya diluluskan oleh Dewan Rakyat ini, ia akan diserahkan kepada Senat bagi perbahasan dan pengundian.
Jika Senat memberikan persetujuannya maka Raja boleh memberi persetujuan atau menolak. Jika ditolak oleh Raja maka rang undang-undang dikembalikan kepada Dewan Perwakilan di mana proses semakan dan pengundian diulang.
Jika kedua-dua Dewan meluluskan rang undang-undang dengan majoriti dua pertiga, maka ia menjadi Akta Parlimen yang mengatasi kuasa Raja.
Dari sini menunjukkan bahawa parti politik di Jordan tidak memberi pengaruh kepada pentadbiran negara.
Malah di Jordan, sistem yang dipakai adalah 'Sistem Senarai Terbuka'. Kerana itulah banyak wakil bebas yang mencalonkan diri dalam pilihanraya serta menang.
Raja Jordan memiliki kuasa yang sangat kuat dalam bidang perundangan dan pentadbiran. Baginda akan memilih Perdana Menteri (PM) lalu PM akan memilih kabinetnya.
Dari 63 orang PM Jordan, hanya Sulaiman An Nablusi (1956 - 1957) dari Parti Sosialis. Manakala yang lainnya merupakan calon bebas.
Raja Jordan mengepalai kerajaan. Perlembagaan Jordan mendukung kekuasaan Raja. Lalu Raja dapat menandatangani, meluluskan dan mencabut semua undang-undang. Raja juga dapat menangguhkan atau membubarkan parlimen, dan mempersingkat atau memperpanjang waktu bersidang.
Raja juga memiliki veto dan suatu veto hanya dapat dikesampingkan oleh 2/3 suara dari kedua-dua Majlis Dewan.
Raja juga dapat melantik dan memecat pegawai kerajaan dengan keputusan dikrit diraja tanpa memerlukan sebarang proses pencalonan oleh kerajaan atau pengesahan Majlis Menteri.
Kabinet yang dipimpin oleh PM selalunya ditunjuk oleh Raja dan kabinet bertanggung-jawab kepada Dewan Rakyat mengenai masalah-masalah Polisi Umum.
B: PERSEKUTUAN MALAYSIA
Persekutuan Malaysia dianggarkan memiliki rakyat sebanyak 31.19 juta orang dimana sekitar 56.6% adalah umat Islam.
Dari namanya sahaja sudah menunjukkan yang negara ini berupa gabungan beberapa negara kecil - iaitu 13 negeri dengan 9 daripadanya memiliki raja. Kemudian 3 buah wilayah persekutuan diwujudkan sesudah pembentukan Malaysia.
9 orang Raja Melayu inilah akan bergilir-gilir menjadi Agong, pemerintah tertinggi Malaysia. Negeri yang tidak punya raja kemudiannya melantik seorang Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri (TYT) sebagai ketua negeri masing-masing.
Para Raja (Sultan) dan TYT inilah akan menganggotai Majlis Raja-Raja. PM akan menjadi penasihat kepada Agong manakala Menteri Besar / Ketua Menteri menjadi penasihat kepada para Sultan dan TYT masing-masing.
Kuasa Agong sangat terhad iaitu:
(1) Melantik seorang Perdana Menteri.
(2) Menolak permintaan Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen.
(3) Memanggil Majlis Raja-raja supaya bersidang untuk membicarakan hal-hal raja-raja Melayu.
Selain tiga perkara ini, Agong mestilah mengikut nasihat jemaah menteri atau Perdana Menteri, itupun jika Agong mahu melaksanakan pemerintahan sendiri.
Contohnya PM memberi nasihat agar Agong melakukan A lantas Agong perlu melaksanakan hal A tersebut.
Andai Agong tidak berkenan kepada usul A lalu tanggungjawab PM untuk mencadangkan pilihan lain, contoh nya perkara B. Kemudian Agong perlu melaksanakan hal B tersebut.
Ini menunjukkan apa sahaja keputusan Agong mesti dari nasihat PM dan nasihat PM perlu didengar oleh Agong.
Inilah yang dinamakan sebagai Raja Berperlembagaan iaitu raja yang mempunya kuasa yang terhad, bukan kuasa mutlak.
Hal ini boleh dirujuk dalam Prinsip Perlembagaan Dan Pemerintahan Di Malaysia tulisan Tun Mohd. Salleh Abas, terbitan DBP, Perkara 39, 40 (1), 40 (2).
Para Raja di Malaysia memiliki kuasa yang sangat terhad setelah pindaan perlembagaan yang berlaku hampir 2 dekad lalu yang menghapuskan kuasa raja memveto undang-undang dan kekebalan undang-undang mereka.
Para Sultan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal politik sebab kedudukan mereka lain daripada rakyat biasa dan mereka hanya sekadar boleh memberi teguran.
[SISTEM POLITIK MALAYSIA]
Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia dan akan merasmikan pembukaan sidang parlimen yang terdiri dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dari 65 - 70 ahli Dewan Negara, Agong melantik 40 - 44 orang atas nasihat PM. Sementara yang selebihnya dipilih oleh Dewan Undangan Negeri.
Manakala ahli Dewan Rakyat dipilih dari pilihanraya. Di Malaysia, kaedah yang dipakai berupa 'Senarai Tertutup' dimana para calon dicadangkan oleh parti lalu rakyat akan memilih calon berdasarkan parti. Ini berbeza di Jordan yang memakai sistem 'Senarai Terbuka' kerana itu banyak ahli bebas yang menduduki Dewan Rakyat.
Di peringkat negeri pula hal yang hampir sama berlaku dimana para Sultan dan TYT akan merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri.
Nampaknya sistem demokrasi di Jordan sangat berbeza dari sistem demokrasi di Malaysia walaupun Jordan mengamalkan Demokrasi Beraja sama seperti Malaysia.
Namun Malaysia mengamalkan sistem yang unik yang dipanggil Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Oleh itu, jangan menganggap setiap sistem demokrasi memiliki wajah dan bentuk yang sama. Jangan pergi jauh-jauh. Lihat sahaja sistem politik di negara jiran kita seperti Thailand dan Kemboja walau kedua-dua negara ini menjalankan Demokrasi Beraja.
Lihat pula sistem Singapura dan Indonesia. Kan setiap negara memiliki corak tersendiri walaupun namanya demokrasi!
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .
Comments
Post a Comment