Arcabuzes - Senapangnya Peringgi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

'Arcabuzes' adalah sebutan di lidah kaum Peringgi bagi senapang. Ketika Peringgi sampai ke India, mereka membawa senapang bersama. Lalu orang India mencipta 'toradar' dengan berpandukan senapang Peringgi.

Kemudian Peringgi menakluk Melaka yang hebat itu dan mendapat senjata api yang sangat banyak, jumlahnya ribuan terutamanya istinggar dan bedil.

Dengan itu kekuatan mereka pun meningkat berkali ganda. Namun Peringgi masih gagal untuk menakluk seluruh dunia Melayu. Tanah jajahan mereka 'terkurung' di Melaka sahaja tanpa dapat mengambil tanah-tanah di sekitarnya.

Justeru Kota Afamosa terpaksa didirikan dalam waktu yang amat singkat, siang dan malam dikerjakan oleh orang suruhan/tawanan. Lantaran Peringgi gusar diserbu pasukan tentera Melayu.

Ketika di Lisbon lagi, beberapa tahun sebelum mereka belayar ke Timur, mereka telah impikan menjarah Melaka. Namun kekayaan yang mereka impikan tidak dapat digapai walaupun 'Venice Timur' berada dalam genggaman.

Oleh itu mereka cuba untuk menebarkan 'pengaruh' ke bahagian lain. Makanya mereka ke China dan Jepun. Bersamaan kehadiran mereka, senapang pun mula menyebar.

Di China, pada awalnya mereka berwatak durjana sehingga membuat kacau di perlabuhan. China tidak senang dengan kehadiran Peringgi terutamanya setelah mereka menakluk Melaka yang merupakan negara vassal China. Tome Pires, utusan Peringgi menerima nasib malang sehingga dihukum bunuh.

Qi Jiguang seorang Jendral Dinasti Ming menyatakan bahawa China menerima senapang dari orang Peringgi yang menumpang perahu lanun Jepun pada 1548. Mungkin yang dimaksudkan disini adalah senapang masuk ke dalam istana Ming secara rasmi. Manakala enam tahun sebelum itu, senapang terlebih dahulu masuk ke Jepun saat dibawa oleh orang Peringgi yang menumpang kapal lanun Cina (Firearms: A Global History to 1700).

Nampaknya orang Peringgi mempunyai hubungan yang akrab dengan lanun di Laut China Selatan. Ibarat kata pepatah "burung sejenis terbang seiringan".

Kerajaan Jepun pula menerima senapang dari Peringgi pada pertengahan kurun ke 16M - sekitar 1542 yang mana ia datang bersama orang Peringgi dari Melaka. Oleh orang Jepun, mereka memanggil 'tanegashima' bagi senapang.

Kaum Peringgi menghasilkan senapang di Melaka dan menjualnya ke Jepun dan China. Mungkin Peringgi hanya menjual senapang yang menggunakan teknologi mereka manakala ribuan laras senapang milik Kesultanan Melaka yang ditemukan dalam gudang senjata melaka saat negeri tersebut ditabrak hancur, disimpan dan diguna oleh mereka sendiri lantaran teknologinya lebih cangih dari teknologi mereka.

Penulis Barat yang kurang ilmu atau yang berniat jahat membuat kesimpulan yang jauh menyimpang: orang Melayu mengenal senapang setelah senjata api itu dibawa masuk oleh Peringgi dan kemudiannya Peringgi menghasilkan di sana.

Sebenarnya Peringgi itu adalah suku paling biadap dikalangan orang Barat dan rendah teknologinya. Namun mereka pemberani dan cekal. Ibarat kaum Turk - Monggol yang nomad dan gasar yang akhirnya berjaya menguasai sebahagian Asia. Mereka mengambil adab dan ilmu disetiap tanah jajahan mereka. Mulanya mereka mengambil ilmu dari Andalusia.

Gaspar Correa, sekretari Afonso de Albuquerque yang juga merangkap ahli sejarah Peringgi - dia ikut serta dalam pelayaran ke Timur pada tahun 1512 saat berusia muda - menulis tentang keberhasilan kapal Peringgi melepasi Tanjung Harapan di Afrika: "ketika itu tidak ada senapang (pada kaum Peringgi)" (Legends of India).

Lantas menurut Richard J. Garrett pula, ketika Peringgi sampai ke Goa pada 1524, mereka telah punya senapang (The Defences of Macau: Forts, Ships and Weapons over 450 years).

Maknanya mereka telah berhasil 'memungut' senapang ketika di Asia Barat dan mempelajari memakainya.

Ini kerana senapang memang sudah lazim di dunia Islam. Robert Elgood dalam "Firearms of the Islamic World: In the Tared Rajab Museum, Kuwait" mengatakan bahawa penyebaran senapang di dunia Islam pada masa dahulu dilakukan oleh Turki Uthmaniyah.

[Lalu ini masuk akal saat Melaka menghantar wakilnya ke Istambul bagi membeli bedil setelah Peringgi dikalahkan dalam perang yang pertama. Dan juga Acheh mendapatkan Meriam Lada Secupak dari Sultan Salim II]

Makanya kebanyakan negara-negara Islam telah menggunakan senapang sebagai senjata pertahanan.

Mungkin ada benarnya telahan Robert Elgood ini, kerana China dan Jepun yang telah lama berdagang dengan para pedagang Muslim malah sering singgah di Melaka namun mereka hanya mendapatkan senapang setelah dibawa oleh Peringgi - yang telah menawan negeri-negeri Islam sebelum itu.

Cuma yang agak musykil adalah tentang kemasukan senapang ke India, apakah ia dibawa oleh Peringgi? Padahal sebahagian besar negeri-negeri di India adalah negara Islam.


___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________



Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments