Pembentukan Kesultanan Banjar Raya

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Ia bermula dari kaum Dayak (istilah Dayak dipakai untuk kaum asal pulau Kalimantan, terbahagi kepada Dayak Laut dan Dayak Darat) terutama suku Dayak Ma'anyan yang merupakan kaum peribumi di wilayah Kalimantan Selatan sehingga tertubuh negara suku bernama Nan Sarunai atau nama lainnya Kuripan, Tabalong atau Tanjungpuri yang berlangsung cukup lama.

Khabarnya kerajaan ini sudah ada ratusan tahun sebelum Masihi lagi dan dihapuskan pada 1358 ketika diserang oleh Majapahit. Dikatakan pemerintah terakhir Nan Sarunai adalah Ambah Jarang atau nama lainnya Raden Anyan (1349-1358) yang memakai gelar Datu Tatuyan Wulau Miharaja Papangkat Amas mati saat penyerangan ini.

Dalam sejarah lisan suku Ma'anyan Nansarunai usak Jawa (Nan Sarunai diserang Jawa), disebut keadaan runtuhnya kerajaan mereka dalam penyerangan ini:

"Air mata tak tertampung lagi banyaknya mengenang Nansarunai habis dilalap api dan manguntur telah ditumbuhi oleh rerumputan"

Pembesar yang dapat meloloskan diri antaranya adalah tujuh Pemimpin Adat (Uria Pitu) iaitu:

(1) Uria Dambung Napulangit menuju ke Telang-Siong (Paju Epat).

(2) Uria Rena (Uria Mapas) menuju ke daerah Paju Dime dan Paju Sapuluh

(3) Uria Rantau menuju ke daerah Paku Karau(Dusun Tengah)

(4) Uria Biring menuju ke daerah Dayu

(5) Uria Ponneh menuju ke daerah Barito (Dusun, Taboyan, dan Lawangan)

(6) Uria Pulanggiwa menuju ke daerah Kapuas dan Kahayan

(7) Uria Buman menuju ke Kalimantan Selatan (Tabalong, Rantau dan Kayutangi)


Ketika ketiadaan pemerinrah negara inilah Empu Jatmika hadis di Kalimantan Selatan yang akhurnya ditubuhkan Kerajaan Negara Dipa pada tahun 1387M.

Dayak Ma'anyan ini memiliki bahasa daerah yang sangat dekat dengan bahasa Jawa Kuno (Kawi) dan pakaian kebesaran juga mirip dengan pakaian Jawa.

Bermula dari kurun ke 9M masuklah orang Melayu Sriwijaya khususnya dari Palembang ke Nan Sarunai. Gelombang kedatangan mereka makin banyak pada kurun ke 11M.

Maka percantuman antara dua suku Austronesia ini melahirkan satu suku baharu. Nampaknya budaya Melayu lebih dominan dalam suku baharu ini Namun pada masa ini suku tersebut masih tidak punya gelar khusus.

Masa bergulir lagi hinggalah Nan Sarunai dikalahkan oleh satu adikuasa baharu di Nusantara, Kerajaan Majapahit dari Jawa. Pada 1387 iaitu selepas terjadinya peperangan antara Majapahit dengan Tanjungpuri dan Empu Jatmika diangkat menjadi wakil Majapahit.

Tentang Empu Jatmika ini diperselisihkan; ada yang berkata dia seorang saudagar dari Kerajaan Kalingga di India. Ada yang menyebutkan dia merupakan pegawai dari Majapahit. Malah ada juga yang mengatakan dia merupakan pelarian dari Jawa.

Dan pandangan yang mengatakan beliau dari Jawa - sama apa pelarian atau wakil Majapahit - inilah tepat lantaran kelak budaya Jawa diserap ke dalam amalan masyarakat Kalimantan Selatan terutamanya urusan istana.

Walaupun Empu Jatmika merupakan pentadbir negeri baru ini namun beliau tidak memakai gelar Raja tetapi sekadar 'Pemangku Raja' lantaran beliau bukanlah berdarah ningrat.

Nama kerajaan ini disandarkan kepada nama kawasan kediaman Empu Jatmika, lalu jadilah Kerajaan Negara Dipa.

Ketika Lambung Mangkurat menggantikan ayahnya - Empu Jatmika - maka dikisahkan beliau mengambil seorang anak angkat berupa gadis sakti yang muncul dari gumpalan buih di permukaan air. Lalu anak gadis yang rupawan itu dinamakan sebagai Puteri Junjung Buih.

Kemungkinan Puteri Junjung Buih ini adalah seorang anak gadis peribumi yang ditemukan oleh Lambung Mangkurat di daerah Ulu Banyu (Nagara), kerana mustahil untuk seorang manusia terwujud dari gumpalan buih.

Malah ada pendapat yang mengatakan bahawa Puteri Junjung Buih sebenarnya dari Majapahit, bernama Raden Galuh Ciptasari alias Puteri Ratna Janggala Kadiri.

Puteri Junjung Buih ini kemudiannya dijodohkan dengan putera Majapahit, Raden Putera alias Raden Aria Gegombak Janggala Rajasa yang nama gelarannya Raja Bulat Bulaling.

Raden Putera ini dijemput dengan perahu Siprabayaksa bersama hadiah 10 biji intan. Setelah berkahwin dengan Puteri Junjung Buih maka baginda memakai gelar Pangeran Suryanata.

Sesudah Maharaja Suryanata mangkat maka pemerintahan diteruskan oleh Aria Dewangsa, putera bongsu baginda. Aria Dewangsa ini berkahwin dengan anak Lambung Mangkurat, Puteri Mandusari. Dari mereka berdualah inilah terhasil zuriat para Raja Banjar.

Dalam zaman Negara Dipa inilah pengaruh Jawa sangat kuat menyebar dikalangan masyarakat terutamanya dalam kraton. Hal ini akhirnya mendapat bantahan dari rakyat jelata terutama dari para pembesar.

Semasa pemerintahan Maharaja Sari Kaburungan yang merupakan raja terakhir Negara Dipa, baginda telah memindahkan istana ke wilayah lain atas anggapan negara sudah tidak bertuah. Bersama dengan itu juga ditukar nama negeri menjadi Negara Daha.

Kerajaan Negara Daha ini tidak sempat berdiri lama. Ketika Maharaja Sukarama - anak Maharaja Sari Kaburungan - hampir wafat maka baginda mewariskan tahta kepada cucundanya, Raden Samudera yang masih kecil.

Setelah agak besar, cicit Maharaja Sari Kaburungan ini telah melarikan diri ke daerah Banjar Masih setelah dua orang bapa saudaranya mengancam kedudukannya lalu beliau mendirikan Kerajaan Banjar di hilir Sungai Barito atas dokongan Patih Banjar Masih.

Tidak lama kemudian baginda menganut Islam lalu menukar nama negaranya menjadi Kesultanan Banjar. Akhirnya Kesultanan Banjar ini berjaya menewaskan Kerajaan Daha.

Makanya kaum kerabat diraja Banjar adalah gabungan dari suku Melayu, suku Dayak Ma'anyan dan suku Jawa.

Setelah masa berlalu, tepatnya setelah Demak jatuh, wilayah Kesultanan Banjar semakin meluas sehingga mencakup Kalimantan Timur hingga Kalimantan Barat. Cumanya Kesultanan Banjar tidak pernah menuju ke bahagian utara.

Justeru pada waktu itu dapat dianggap terdapat dua buah kerajaan besar di Kalimantan, satu di utara dan satu di selatan. Lalu ada pihak yang memanggil kerajaan ini sebagai Kesultanan Banjar Raya.

Kerajaan Kuripan 
|
|
Kerajaan Negara Dipa
|
|
Kerajaan Negara Daha 
|
|
Kesultanan Banjar
|
|
Kesultanan Banjar Raya




___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments