Patokan Kalendar Islam

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Kalendar bertujuan untuk mengukur masa oleh manusia berpandukan benda-benda di langit.

Dalam dunia ini ada tiga jenis sistem penanggalan yang masih digunapakai, iaitu:

(1) Lunar - yang menjadikan sikurlasi bulan

(2) Solar - yang berpandukan sikurlasi surya

(3) Lunisolar - menggabungkan sikurlasi bulan dan surya

Dikatakan setelah turunnya ayat
189 surah Al Baqarah maka umat Islam hanya memakai kalendar yang berpandukan pada peredaran bulan secara mutlak.

Ketika para sahabat bertanyakan tentang hilal (bulan sabit) maka Allah menurunkan firman:

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah : "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji"". 
(Al Baqarah: 189)

Dalam menghurai ayat ini, Ibn Katsir membawakan sebuah hadis dari
Abdur Razzaq yang diriwayatkan dari Abdul Aziz Ibn Abu Rawwad, dari Nafi', dari Ibn Umar yang menceritakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

"Allah menjadikan bulan sabit sebagai tanda-tanda waktu bagi manusia, maka berpuasalah kalian kerana melihatnya dan berbukalah kalian kerana melihatnya. Maka apabila awan menutupi (pandangan) kalian, sempurnakanlah bilangan menjadi 30 hari".

**********

Catatan:
Hadis ini menjadi hujah sebahagian ulama yang menolak kaedah hisab dalam penentuan masuknya bulan Ramadhan untuk berpuasa, Syawal untuk berhari raya dan sebagainya.

Kaedah yang diperintahkan Nabi sangat jelas iaitu:

(1) Lihat anak bulan dengan biji mata

(2) JIKA tidak terlihat, BARULAH menghitung secara menggenapkannya kepada 30 hari

**********

Kisah ini menunjukkan bagaimana Nabi memberi pedoman kepada para sahabat tentang fungsi bulan iaitu sebagai petunjuk waktu, yang dalam bahasa mudahnya adalah kalendar.

Serta menjelaskan bahawa dalam sebulan, harinya tidak akan lebih dari 30.

Hal ini berbeza dengan kalendar surya yang mana ada beberapa bulan memiliki 31 hari.

Barangkali pandangan yang paling tepat dalam mengukur waktu adalah berpandukan pada sikurlasi bulan. Kerana ia telah dinyatakan secara terang oleh Tuhan pencipta.

Mungkin ia adalah lumrah yang diwarisi oleh anak keturunan Adam, yang berasal dari ilmu Tuhan, untuk menetapkan tempoh setahun itu memiliki 12 penggal, dan setiap penggal itu dihitung berdasarkan pergerakan bulan. Sehingga manusia menyebut "setahun itu memiliki 12 bulan".

Hal ini sangat jelas sebagaimana perkataan Allah kepada manusia yang diwahyukan kepada Utusan Terakhir:

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus..." (At Taubah : 36)

Dari firman ini ada 4 petunjuk yang perlu direnung:

(1) Allah menetapkan 12 bulan dalam setahun.

(2) Ketentuan ini telah dilakukan oleh-Nya sejak Dia menciptakan langit dan bumi. Bermakna, sebelum Allah jadikan matahari dan bulan, Dia telah tetapkan kelak hanya bulan yang layak menjadi pengukur waktu.

(3) Dalam setahun, Allah telah tetapkan ada empat bulan yang diharamkan serta perlu dihormati hukum yang telah Allah tetapkan (keharamannya) itu. Dan penentuan masuk serta berakhirnya bulan haram ini bergantung pada sikurlasi rembulan. Sekaligus menjadi hujah bahawa 12 penggal waktu yang ditetapkan oleh Tuhan adalah bersandar pada peredaran bulan.

(4) Mengikuti tiga hal diatas merupakan agama alias ajaran yang benar lagi lurus.

Mungkin akan ada tertanya-tanya, apakah ada bangsa yang memiliki kalendar yang bulannya melebihi 12?

Jawapannya ada!

Dalam kalendar lunisolar, terdapat bulan interkalasi (atau dikenal sebagai bulan lompat) yang dimasukkan dalam dua atau tiga tahun sekali.

Hal ini berlaku lantaran perbezaan kitaran bulan dan matahari yang tidak sama.

Bulan akan mengitar dengan hari yang tetap dan bundar. Contohnya dalam sikurlasi 30 tahun, terdapat 11 tahun yanh memiliki 355 hari dan 19 tahun mengalami 354 hari. Hal ini sentiasa tepat selama 2500 tahun.

Sebaliknya matahari mengitar dalam setahun sekitar 365.24 hari. Nampaknya ada hari yang menjadi separuh atau dalam bahasa lainnya 'tidak bundar'.

Hal ini menjadi masalah kerana takwim kalendar memerlukan hari yang lengkap atau 'hitungan bundar'. Lalu jalan penyelesaiannya adalah menokok hari dalam setahun. Maka dalam kalendar solar, tahun lompat wujud apabila hari di tokok.

Dalam mengimbangi pergabungan kedua-dua kitaran matahari dan bulan dalam setahun oleh sistem lunisolar, masalah ketidakbundaran hari, selalunya diselesaikan dengan mewujudkan bulan ke 13.

Antara kaum yang memiliki sistem kalendar semacam itu adalah Kalendar Ibrani milik umat Yahudi. Dalam sistem kalendar lunisolar mereka, pada tahun kabisat atau 'tahun lompat' yang berlaku dua atau tiga tahun sekali, Kalendar Ibrani akan memiliki bulan ke 13!




___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments