Menelusuri Pantai Zaman: Kejatuhan Melaka (Siri 2)

OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam


“Menelusuri Pantai Zaman:  Melaka Tahun 1511” 


Portugis bertindak
Oleh yang demikian, dalam perbincangannya dengan para panglimanya, Afonso Dalboquerque pun mengambil keputusan untuk melancarkan dasar bumi hangus seperti yang telah dilakukannya semasa di India -- iaitu membakar seberapa banyak rumah dan  harta orang Melaka. Dasar seperti ini pernah dilakukannya di Goa pada awal 1510 apabila ramai orang Islam dibakar hidup-hidup bersama-sama dengan harta benda mereka.
 Pada suatu malam, pada hari dan ketika yang sesuai, Afonso Dalboquerque pun mengarahkan beberapa orang panglimanya untuk melayarkan ghali (kapal perang bertiang tiga) dan fustanya agar berlabuh betul-betul berhadapan dengan bandar Melaka. Ketika menjelang fajar, pembakaran kapal-kapal, dan perahu-perahu di pelabuhan Melaka pun dilaksanakan, termasuk juga tiga buah jong besar saudagar Islam Gujerati yang menyokong Raja Melaka, serta rumah-rumah bangsawan Melayu yang di atas air di sepanjang pantai. Seiring dengan tindakan membakar itu asykar Portugis juga melepaskan bedilan meriamnya beberapa kali dari ghalinya atau “caravelles” (kapal perang) dan fustanya yang jelas membawa kerosakan dan kemusnahan, termasuk meragut nyawa mereka yang terkena sasarannya. Seperti yang digambarkan di dalam Sejarah Melayu:

“Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka. Maka dibedilnya dari kapal, seperti hujan datangnya, dan bunyi seperti guruh di langit. Rupa kilat apinya seperti kilat di udara; bunyi setinggar [sic, istinggar] seperti kacang direndang. Maka segala orang Melaka tiada boleh berdiri di pantai, daripada kesangatan bedil Feringgi itu. Ghali dan fusta dilanggarkannya ke pantai ... (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern, 1798: 186:2)”

Tindakan Portugis itu amatlah berkesan. Melihat betapa ganasnya tentera Portugis itu melakukan tindakan bumi hangusnya, Sultan Mahmud telah memerintahkan Rui de Araujo, (Ketua orang Portugis di dalam tahanan, yang bersahabat dengan Nina Chatu, seorang saudagar Keling), bersama-sama dengan rakan-rakannya agar segera dihantar dengan pencalang ke “nau” (kapal) Kapten-Jeneral Portugis yang bernama “Flor de la Mar” itu.

Tetapi penyerahan orang-orang Portugis oleh Raja Melaka itu tidak bermakna  Dalboquerque berpuas hati. Bahkan juga percubaan Sultan Melaka untuk meyakinkan Portugis bahawa kerajaan Melaka hanya mahukan perdamaian tidak dipedulikan.  Atas desakan dan hasutan Rui de Araujo, yang membesar-besarkan cerita betapa kekayaan Melaka itu melimpah ruah, Afonso Dalboquerque dan para panglimanya pun merancang untuk mengambil Melaka dan betekad hendak menghapuskan orang Islam (Portugis: mouro). Kehadiran Rui de Araujo kini sangat membantu Dalboquerque kerana segala yang diketahuinya tentang Melaka, terutamanya mengenai kedudukan pertahanannya, persenjataannya, dan gudang-gudang di mana harta kekayaan Melaka tersimpan merupakan maklumat penting bagi Dallboquerque.


Portugis hendak membina loji
Kegigihan Portugis hendak menakluki Melaka menyebabkan Raja Melaka mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk berdamai dengan Portugis. Hal ini disampaikan oleh utusan Sultan iaitu Tuān Bandāo [sic, Tun Bandan]; tetapi permintaan itu dicemuh sahaja oleh Dalboquerque. Walau bagaimanapun, sebelum utusan diraja itu berundur, Afonso Dalboquerque sempat berpesan kepada Sultan Melaka, bahawa jika Melaka mahukan perdamaian maka hendaklah sebuah loji besar yang teguh dibina untuknya dan orang-orang Portugis dizinkan tinggal di dalamnya untuk menjalankan perdagangan. Tambahnya lagi, loji itu hendaklah dibina sebelum Dalboquerque belayar kembali ke India. Dia juga menuntut ganti rugi bagi harta Diogo Lopez de Sequeira yang dirampas, dan mahu pampasan diberikan atas kesusahan yang dialami oleh Dalboquerque sendiri; semuanya dihitung dan dianggarkan sebanyak tiga ratus ribu “cruzados”. Selain itu, Sultan Melaka juga dituntut agar sanggup mengirim sembah kepada Raja Portugal dan mengakui tunduk kepadanya. Tidak menghairankan, tuntutan ini pastinya sukar diberi layanan oleh Sultan Melaka.

Amat disayangi, dari kitab “Sejarah Melayu”  tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi mengenai tawar-menawar Raja Melaka dengan Afonso Dalboquerque. Tetapi laporan sezaman Portugis menyatakan bahawa para pedagang Melaka yang terdiri daripada orang Gujerati telah tidak bersetuju membenarkan pembinaan sebuah loji Portugis di bumi Melaka. Pandangan mereka ini mungkin berasaskan kepada apa yang telah mereka dengar dan ketahui mengenai sikap bermusuh Portugis terhadap agama Islam dan perbuatan zalim mereka terhadap orang Islam terutamanya para pedagang, seperti yang telah berlaku kepada kerajaan Goa pada bulan Mac 1510.

Melaka bersiap untuk perang
Apabila tuntutan-tuntutan Portugis itu disampaikan kepada Sultan Mahmud Syah dan pembesar-pembesar istana, sumber Portugis mengatakan bahawa Tengku Alauddin [“Sejarah Melayu”: Sultan Ahmad], putera Sultan Mahmud Syah, bersama-sama dengan bakal iparnya, Raja Pahang dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada mana-mana bahagian pertahanan yang memerlukannya. Kedua-dua mereka itu dibekalkan pasukan bala tentera dan pasukan gajah diraja masing-masing.

Portugis merancang
Sementara itu, ketika suasana perang sedang membahang, Afonso Dalboquerque telah didatangi oleh enam orang kapitan Cina yang, justeru kerana menginsafi di mana letak kepentingannya, telah menyebelahi Portugis. Mereka ini meminta izin untuk kembali ke negeri mereka setelah berjaya melepaskan diri daripada pembesar-pembesar Sultan. Mereka mengadu telah ditahan oleh Raja Melaka yang mahukan anak-anak kapal dan senjata yang ada dalam kapal mereka, agar dapat digunakan untuk pertahanan Melaka. Kepada Dalboquerque kapitan-kapitan Cina itu telah berjanji bahawa mereka akan kembali dengan barang-barang dagangan mereka setelah Portugis menakluki Melaka. Mereka juga telah melaporkan tentang kekuatan pertahanan Melaka yang dianggarkan sebanyak dua puluh ribu orang, lengkap dengan senjata yang berbagai, termasuk lapan ribu buah istinggar, panah beracun dan tombak seligi.

Daripada orang Cina itu Dalboquerque telah memperoleh bantuan untuk menggunakan tongkang mereka bagi mengangkut soldadu Portugis ketika melancarkan serangan. Ketika mengatur serangannya, Dalboquerque pun mengira-ngira bahawa kubu pertahanan orang Melaka yang paling kuat adalah di sebelah jambatan besar sungai Melaka. Jambatan itu diperbuat daripada kayu jati dan di kedua-dua belahnya (hujung ke hujung) pertahananannya amat kukuh; terutama di sebelah kanan sungai (daerah Upih) di mana terdapat kampung-kampung orang Melayu dan juga petempatan orang asing. Kedudukan bandar Melaka adalah di sebelah kiri tebing sungai Melaka (iaitu jalan di kaki bukit Saint Paul yang menghala ke Bandar Hilir sekarang ini). Oleh kerana itu pada firasat Afonso Dallboquerque, jika serangan mahu dibuat ia mestilah ditumpukan lebih kepada kawasan jambatan besar itu. Dalam perbincangan dengan para panglimanya keputusan pun dicapai agar pasukan tentera Portugis memberikan tumpuan kepada serangan yang akan dilakukan terhadap kawasan jambatan besar kota Melaka itu.


Menyerang kawasan jambatan Melaka
 Seperti yang telah dirancangnya, Afonso Dalboquerque sendiri akan mengetuai pasukannya ketika membuat penyerbuan ke atas kubu Melayu dekat jambatan. Menurut Dalboquerque, seperti yang ditaklimatkannya, sebelas orang panglima handalannya akan bersama-sama dengannya berserta pasukan soldadu masing-masing dan akan mendarat di bahagian sebelah bandar; sementara sebuah angkatan tentera Portugis yang terdiri daripada “fidalgo” (kesatria) dan soldadu kapal yang dikepalai oleh D. Jao de Lima akan mendarat di bahagian sebelah masjid. Sebaik sahaja pasukan Portugis berjaya memasuki kubu Melayu itu, mereka akan menyerbu ke arah bahagian tengah jambatan itu sehinggalah mereka dapat menganggarkan kekuatan pertahanan orang Melayu. Setelah memberitahu rancangannya itu Dalboquerque pun menyuraikan para kaptennya agar bersedia untuk melancarkan serangan pada keesokan harinya.

Pada besok harinya, dua jam sebelum waktu fajar, terompet pun ditiupkan dan berikutya bergegaslah tentera Portugis bersiap untuk maju ke kuala sungai Melaka dan lantas membuat serbuan ke atas jambatan besar Melaka. Serbuan Portugis itu disambut dengan tembakan istinggar besar oleh orang Melayu. Beberapa orang Portugis pun menderita luka-luka. Dalboquergue membalasnya dengan mengarahkan agar ditiup terompet perang dan ini diiringi dengan laungan “Sanctiago” (yakni “Saint James”). Kesemua Portugis itu pun menyerbu ke kubu orang Melayu di jambatan itu. Maka serbuan Portugis pun disambut oleh panglima-panglima Melayu itu dengan menghujani Portugis dengan panah dan lembing, dan mereka menggunakan perisai sambil meniupkan tetuang daripada tanduk dan terompet buatan sendiri. Laporan Portugis menyatakan mereka berjuang dengan gagah berani buat beberapa waktu untuk mempertahankan kubu mereka, tetapi pasukan tentera Portugis yang telah mendarat di sebelahan masjid dengan kekuatan senjatanya yang cukup lumayan telah berjaya menyerbu masuk ke dalam barisan pertahanan orang Melaka. Sumber Portugis juga menyebut, “Pada saat itu Raja Melaka datang dengan menaiki seekor gajah, bersama-sama puteranya di atas gajah yang lain dengan didampingi hulubalang mereka beserta dengan beberapa ekor gajah yang dilengkapi di belakangnya dengan kepungan kayu yang seperti rumah berisi senjata”. Pasukan Raja Melaka dan anaknya itu pun mengarahkan orang Melayu yang berundur agar kembali mempertahankan kubu di jambatan itu. 

Dalam pada itu D. Jao de Lima dan rakan-rakannya telah naik semangat apabila melihat Raja Melaka di atas gajah itu. Mereka pun, menurut sumber Portugis, telah bersungguh-sungguh menyerang para perajurit Melaka. Kegigihan mereka itu ternyata berhasil kerana tidak lama selepas itu kawasan Masjid Raya Melaka pun jatuh ke tangan Portugis. Sementara itu Afonso Dalboquerque yang berada di bahagian yang tidak dari bandar terus mengasak pertahanan orang Melayu di jambatan itu.  Bagi Dalboquerque, penaklukan jambatan besar sungai Melaka itu adalah strategi yang paling penting untuk memenangi peperangan itu. Pada perkiraan Dalboquerque dengan tertakluknya jambatan besar itu, semua jalan dan lorong yang menuju ke jambatan itu akan tertutup kerana pasukan Portugis akan memastikan lalu lintas perajurit Melayu dari semua jalan penting dapat disekat sepenuhnya.
Oleh yang demikian, Dalboqurque pun mendapatkan bantuan susulan daripada panglima-panglimanya yang ditugaskan menyerbu kawasan Masjid Raya dan istana. Dengan strateginya itu Dalboquerque telah dapat memecahkan benteng pertahanan di sekitar jambatan besar sehingga memaksa sebahagian hulubalang Melayu berundur ke seberang iaitu ke daerah Upih.  Kekalahan orang Melaka pun semakin terserlah.
Seperti yang dilakarkan di dalam “Sejarah Melayu”,

“Setelah hari siang maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun naik gajah -- Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala, Tun Ali Hati di buntut. Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulubalang. Maka berperanglah orang Melaka dengan Feringgi. Maka daripada sangat tempuh hulubalang Melaka maka Feringgi pun undur. Maka tampil Afongso Dhalberkarki dengan seribu soldadu beristinggar, menempuh pada segala orang Melaka; bunyinya peluru istinggar seperti kacang jatuh ke bidai. Demikianlah, daripada sangat tempuh anak Feringgi, pecahlah perang orang Melaka, lalu undur.” (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern, 1798: 187:2).

Bersambung....





___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments