OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam
“Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511”
Selepas Portugis merompak harta benda orang Melaka yang dianggarkan bernilai lebih daripada lima puluh ribu “cruzados” (iaitu wang shyiling lama yang dibuat daripada emas dan perak) dan merampas sebanyak tiga ribu daripada kira-kira lapan ribu peralatan senjata yang menjadi milik orang Melaka, mereka juga merompak khazanah yang terdapat di dalam istana Sultan Melaka. Dari istana itu mereka memperoleh intan-berlian yang bernilai tidak kurang daripada 60,000 “cruzados”, empat buah balang emas berisi minyak wangi, setiap satunya bernilai 40,000 cruzados, dan bibit mutiara serta balang-balang yang diperbuat daripada emas, yang bernilai jika diberikan kepada setiap orang Portugis yang berperang akan bernilai 400,000 cruzados untuk seorang.
Setelah ramai daripada penduduknya yang lari kembali ke bandar Melaka, Dalboquerque pun megambil langkah menyusun pentadbiran Melaka. Utimutiraja diberikan tugas mentadbir orang Islam; manakala Nina Chatu diberikan tugas mentadbir masyarakat tempatan yang bukan Islam.
Dalam pada itu ketika perang masih lagi belum selesai, Dalboquerque dimaklumkan bahawa Sultan Mahmud telah pun berundur ke dusunnya di Bertam dan dari situ, lantaran merasakan tekanan Portugis yang lebih mencemaskan selepas Melaka alah, dan kota Melaka pun semakin dicabuli oleh Portugis, Sultan Melaka terakhir itu pun terpaksa kemudiannya melarikan diri lebih jauh lagi, dengan meninggalkan puteranya Alauddin (sic, Sultan Ahmad menurut “Sejarah Melayu”). Walau bagaimanapun, putera Sultan Mahmud itu segera berusaha mendirikan kubu berpancangkan kayu besar di sepanjang tebing sungai Melaka. Tetapi Dalboquerque cepat menghantar 700 orang soldadunya berserta hamba sahaya Utimutiraja dan 300 orang Pegu untuk memusnahkan kubu tersebut dengan cara membakarnya. Namun, setibanya mereka dikubu itu Alauddin [sic, Ahmad] telah pun meninggalkan tempat itu kerana hendak mencari bapanya, Sultan Mahmud yang telah lari mencari suaka di tebing sungai Muar bersama-sama dengan Bendahara Tepok atau Datuk Lubuk Batu serta dengan para pengikutnya yang hanya berjumlah tidak lebih daripada lima puluh orang lelaki dan seratus orang wanita.
Pada waktu itu juga tersebar berita bahawa Sultan dan anaknya telah bertelagah sesama sendiri. Tetapi pelariannya itu telah diambil kesempatan oleh beberapa orang pengikutnya untuk melarikan diri pula. Turut melarikan diri untuk kembali ke Melaka ialah empat orang saudagar kaya yang pada mulanya menjadi penyokong Sulan Mahmud.
Mlang bagi raja Melaka itu, ketika berada di Hulu Muar, Sultan Mahmud dan para pengikutnya telah menghadapi masalah kebuluran makanan. Keadaan bertambah sukar dan menjadi masalah apabila ramai pengikut Sultan telah melarikan diri. Maka justeru kerana itu selepas beberapa ketika berada di Muar Sultan Mahmud pun mengambil keputusan untuk meninggalkan Hulu Muar bersama-sama pengikutnya dengan berjalan kaki ke Pahang. Di sana puterinya yang beribukan permaisuri Kelantan itu telah dikahwinkan dengan raja Pahang, Sultan Mansur Syah.
Pada waktu Sultan Mahmud masih berada di Muar itu Dalboquerque sendiri sedang sibuk membangunkan sebuah kota di sebelah kiri tebing sungai Melaka, berhampiran dengan kawasan Masjid Raya. Sebagai langkah permulaan dinding kota itu dibuat daripada kayu. Tetapi Dalboquerque telah mengarahkan agar digali lubang besar di dalam kawasan berdinding itu untuk membina sebuah fondasi yang kedalamannya berukuran 8 kaki. Turut dicadangkan ialah fondasi itu akan dibina dengan batu dan kapur. Dinding kayu itu adalah bersifat sementara dan akan disiapkan sebelum terdirinya dinding batu dan kapur itu. Jenis batu yang digunakan ialah batu granit yang berasal daripada batu nisan yang diambil daripada kubur para bangsawan yang berdekatan dengan masjid, dan juga batu-batan daripada bangunan-bangunan lain. Batu-batan yang diambil itu memang telah siap dipotong secara blok, yang sebenarnya memudahkan kerja Portugis. Kebanyakan batu-batan itu juga terdiri daripada batu nisan kubur para Sultan Melaka yang terdahulu.
Kezaliman Raja Melaka
Watak Raja Melaka, iaitu Sultan Mahmud Syah, menunjukkan betapa lemah dan zalimnya seorang raja Melayu. Menurut sumber Portugis selepas Diogo Lopez de Sequeira berjaya melepaskan dirinya dari perairan Melaka, Sultan Mahmud Syah telah membunuh orang yang dipanggilnya ‘Pak Mutahir’, iaitu Bendahara Seri Maharaja, kerana termakan fitnah yang ditaburkan oleh Raja Mendeliar, Syahbandar masyarakat Keling, dan Kitul, peniaga yang ada hubungan keluarga dengan Naina Sura Dewana. Perasaan dendam Sultan Mahmud juga didorong oleh rasa hasadnya lantaran kecewa apabila Bendahara Seri Maharaja telah tidak memberikan anaknya Tun Fatimah untuk menjadi isteri Sultan, tetapi sebaliknya dikahwinkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Fitnah Raja Mendeliar, bahawa Bendahara ingin mengambil alih kuasa Sultan, yang disampaikan melalui Laksamana, juga berkesan sehingga menjadi alasan segera bagi Sultan Mahmud untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara Seri Maharaja bersama-sama dengan anaknya, Tun Hasan Temenggung dan menantunya, Tun Ali iaitu suami Tun Fatimah. Turut dibunuh ialah Seri Nara Diraja, bapa Tun Ali, yang juga merupakan saudara dan besan kepada Bendahara Seri Maharaja,. Yang diselamatkan hanyalah Tun Hamzah, adik Tun Fatimah; itu pun kerana Sultan Mahmud mahu meninggalkan ‘benih’ Bendahara Seri Maharaja.Sebagai seorang raja, Sultan Mahmud memang banyak melakukan kezaliman. Menurut sumber “Sejarah Melayu”, sejak baharu naik takhta lagi (1481) dia telah diajar membunuh. Ini berlaku apabila Temenggung Seri Maharaja menyuruhnya membunuh seorang yang bersalah terhadap baginda. Kali kedua dia membunuh ialah setelah dia mendapat tahu bahawa Seri Bija Diraja kononnya mempertikaikan amanat Sultan Alauddin bahawa dia, Raja Mamat [kemudiannya bergelar Sultan Mahmud], akan menggantikan almarhum bapanya. Oleh kerana perasaan dendamnya terhadap Seri Bija Diraja itulah maka disuruhnya bunuh. Dia pun pernah menyuruh orang membunuh saudaranya yang berlainan ibu, iaitu Raja Zainal Abidin, lantaran cemburukan saudaranya yang kacak dan diminati ramai wanita itu. Seorang lagi yang dibunuhnya ialah Tun Ali Sandang, suami Tun Dewi. Terakhirnya, puteranya sendiri, Raja Ahmad pun dibunuhnya lantaran tingkah laku Sultan Ahmad yang tidak disenanginya. Tetapi ini berlaku selepas Melaka alah di tangan Portugis dan Sultan Ahmad berbuat negeri di Kopak (“Sulalatu's-Salatin” naskhah Krusenstern, 1798: f. 188: 2 - f. 189). Menurut sumber Portugis kezaliman Sultan Mahmud bukan setakat itu sahaja; dia juga telah dalporkan membunuh salah seorang isterinya. Perkara ini, walau bagaimanpun, tidak dinyatakan oleh pengarang “Sejarah Melayu”.
Keburukan akhlak Raja
Budaya rasuah
Khianat
Terdapat juga rasa tidak puas hati di kalangan pedagang Cina yang menganggap Sultan telah mengeksploitasi mereka dan oleh kerana itu mereka dengan suka rela telah menyebelahi Portugis. Gelagat para pedagang Cina ini yang memberikan perahu dan bantingnya untuk kegunaan soldadu Portugis jelas telah menjejaskan pertahanan Melaka. Terdapatnya orang-orang yang berwatak ‘gunting dalam lipatan’ tetapi rapat dengan istana juga tidak diketahui oleh Raja. Watak Kitul, dan khususnya Nina Chatu yang berjasa kepada Rui de Araujo, ketara benar telah bertindak khianat terhadap Sultan dengan sikap berpura-pura yang ditunjukkan olehnya. Menurut sumber Portugis, Nina Chatu, seorang saudagar Hindu, secara senyap-senyap telah memberikan bantuan kepada Rui de Araujo dan rakan-rakannya. Melalui Nina Chatu jugalah Rui de Araujo telah dapat menyeludupkan maklumat kepada Dalboquerque mengenai kekuatan pertahanan kesultanan Melaka. Selepas Melaka jatuh ke tangan Dalboquerque Nina Chatu telah dilantik sebagai salah seorang telah dilantik sebagai salah seorang daripada empat orang “bendahara” (yakni semacam “penghulu” bandar Melaka). Tiga orang lagi ialah Naina Pam [sic], juga seorang Keling (Quelin), dan dua orang Jawa iaitu Regoraje [sic] dan Tuan Kulasakra.
Perbuatan khianat juga ditunjukkan oleh orang yang dipercayai Sultan iaitu Sri Utamaraja, seorang hartawan Jawa berusia antara tujuh puluh ke- lapan puluh tahun yang berpura-pura menentang Portugis tetapi dalam diam-diam telah meminta suaka daripada Afonso Dalboquerque apabila melihat kemungkinan angkatan perang Portugis berjaya menakluki Melaka. Demikian pula sikap khianat Tuan Colascar [Kulasakra], pembesar Jawa yang diamanahkan mempertahankan kawasan Hilir. Setelah Melaka ditakluki Portugis, saudagar Jawa ini telah dilantik sebagai penghulu orang Jawa sebagai membalas jasanya kerana berpaling tadah terhadap Raja Melaka. Sumber Portugis juga menyebutkan tentang adanya usaha dalam kalangan pembesar Melaka untuk memaksa Rui de Araujo dan rakan-rakannya yang ditawan agar masuk Islam. Apabila Alfonso berjaya membebaskan orang Portugis ini dia sama sekali tidak mempunyai kata-kata yang baik untuk Sultan dan pembesar Melaka.
Iktibar sejarah
Kedua, pemimpin tertinggi kerajaan Melaka iaitu Sultannya sendiri, ternyata seorang yang rendah akhlak dan zalim, yang telah mengakibatkan perpecahan di kalangan pemimpin dan rakyat. Pembunuhan Bendahara Seri Maharaja tidak lama sebelum Portugis sampai ke Melaka telah menjejaskan perpaduan rakyat.
Ketiga, perbuatan khianat terhadap Sultan dan kerajaannya telah menjadi faktor yang tidak kurang pentingnya dalam menyebabkan keruntuhan sebuah kerajaan yang hanya sempat wujud sekitar seratus tahun lebih sedikit. Keempat, perpecahan antara Sultan Mahmud dan puterannya, Tengku Alauddin (sic, Sultan Ahmad, menurut “Sejarah Melayu”) dan bakal menantunya, Raja Mansur, telah menyebabkan keluarga diraja Melaka tidak stabil.
Penutup
Sekian. Wallahu ‘alam.
Sumber Bacaan
Manuskrip
"Sulalatu's-Salatin yakni per[tu]turan segala raja-raja. Dialih aksara dan disunting dengan kritis serta diberi anotasi dan Pengenalan oleh Ahmat Adam" (berasaskan naskhah yang tersimpan di Muzium Anthropologi Peter the Great di kota St. Petersburg, Rusia).
Buku dan Makalah
1. Albuquerque Caesar Timur Teks-Teks Pilihan oleh Alfonso de Albuquerque dan anaknya, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1995.
2. Cortesāo, Amando, The Suma Oriental of Tomé Pires and The Book of Francisco Rodrigues, The Hakluyt Society, London, 1944.
3. De Gray Birch, Walter, The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, vol. 3, London: The Hakluyt Society, 1780.
4 De Jong, P. E. de Josselijn and H. L. A. van Wijk, “The Malacca Sultanate”, Journal of Southeast Asian History, vol. 1, Jan. 1960.
5. Typescript. Terjemahan Fr. Manauel Joaquim Pintado (t.t.), ‘Departure to Malacca and its conquest by Alfonso de Albuquerque in 1511’, berasaskan karya Joao de Barros, Asia de Joao de Barros, Second Decade, sixth edition, updated and annotated by Hernani Cidade; historical’s [sic] final notes by Manuel Mutias, Divisao de Publicacoes e Bibliteca Agencia Gerald as Colonias, Lisbon, MCMXLVI.
6. Typescript. Terjemahan Fr. Manuel Joaquim Pintado (t.t.) berasaskan karya Gaspar Correia, Lendas da India O. Cit. Livro Segundo Tomo II, Coimbra na imprensa da Universidade, 1923.
7. Pintado, M. J. (penterjemah & penganotasi), Portuguese Documents on Malacca Vol. 1 (1509 -1511), Aekib Negara, Kuala Lumpur, 1993.
7. Thomaz, Luis Filipe F. Reis, Nina Chatu and the Portuguese Trade in Malacca (translated from the Portuguese by FR. M. J. Pintado), Luso-Malaysian Books, Melaka, 1991.
8. Wilkinson, R. J., "The Capture of Malacca", Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, No. 61, June 1912
___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment