Pensejarahan Malaysia Dewasa Ini: Tempatnya Dalam Proses Pembinaan Nasion (Bab 3)

OLEH: Prof Emeritus Ahmat Adam

Banci bangsa-bangsa di Malaya sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua
Sebelum masuknya penjajahan Jepun, bilangan penduduk Malaya menunjukkan bahawa pada tahun 1931 daripada sejumlah 3,787,758 orang jumlah orang Melayu adalah 1, 873, 872 atau  49.2 %  peratus; sedangkan orang Cina dan India mempunyai jumlah masing-masing pada kadar 1, 284, 888 atau 33.9  peratus dan 572, 613 orang atau 15.1 peratus. Menjelang tahun 1947 terdapat sejumlah 4, 908, 086 penduduk di seluruh Semenanjung . Daripada angka ini orang Melayu berjumlah 2, 427, 834 orang atau  49.5 peratus, Cina 1, 884, 534 orang atau 38.4 peratus, India 530, 638 orang atau 10.8 peratus, dan lain-lain 65, 080 orang atau 1.3 peratus. Pada tahun  1955 mengikut anggaran yang diberikan oleh Perangkaan Penduduk, anggaran jumlah penduduk Malaya ialah 6,058,300 orang. Walau bagaimanapun, tiada angka perincian diberikan untuk masing-masing kaum yang membentuk penduduk Malaya. Menjelang tahun 1957 angka-angka ini telah meningkat, menjadikan penduduk Malaya 6, 278, 758 yakni terdiri daripada 3,125, 474 (49.8 %),  Melayu, 2, 333, 756 Cina (37.2 %). dan 696, 186 India (11. 1 %); dan lain-lain bangsa pula berjumlah 123, 342 orang (2.0%).

Angka-angka di atas jelas memperlihatkan betapa populasi Melayu itu sebenarnya merupakan golongan yang minoriti katimbang (vis-a-vis) bangsa bukan Melayu  -- bukan sahaja pada tahun 1931 tetapi juga tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, iaitu antara tahun 1947 dan 1957. Dengan angka-angka ini tidaklah dapat dipertikaikan masyarakat di Tanah Melayu itu adalah masyarakat berbilang kaum, sekalipun dari segi kewarganegaraan orang Melayu lebih mudah dianggap sebagai warganegara jika dipakai kaedah kuat kuasa undang-undang.

Tidak juga boleh dipertikaikan bahawa nasion yang disebut “Malaya” pada masa Merdeka dalam tahun 1957 itu adalah sebuah nasion yang bersifat “multi-racial, multi-cultural dan multi-religious”. Tetapi ini tidak pula bererti bahawa proses pembinaan nasion itu boleh menafikan hakikat bahawa arus sejarah negara ini mempunyai permulaannya dan umat yang mendiami negara ini pun ada asal-usulnya. Justeru itu dalam pada kita mengakui hakikat “multi-racial” dan “multi-cultural”nya nasion ini, kita juga perlu memperkukuhkan upaya penyatuan dan peneguhannya. Dari segi ini sejarah boleh memberikan sumbangannya iaitu dengan menceriterakan masa silam itu berdasarkan penyelidikan -- demi kebenaran. Dan caranya ialah dengan memperlebarkan perspektif dan meluaskan tebaran jaring kajian para sejarawan.



Pembinaan sebuah nasion Malaysia yang berbilang kaum, berbilang bahasa, dan berbilang budaya serta agama.
Sebuah nasion moden seperti Malaysia sesungguhnya mempunyai memori yang melibatkan pengalaman yang beraneka ragam. Memang sudah ditakdirkan, pembinaan nasion yang menyaksikan kewujudan  Perlembagaan pada 31 Ogos 1957 tampaknya berlaku atas inisiatif pihak kolonial  British yang telah menjajah wilayah yang terangkum di dalam bumi yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia semenjak paruh kedua abad ke-18. Perlembagaan 1957 itu pun merupakan penggantian kepada suatu kerangka politik bikinan British ketika termeterainya Perjanjian Persekutuan 1948.   Kerangka perlembagaan yang disebut Perlembagaan “Federation of Malaya” inilah yang kemudiannya menjadi asas perundangan yang mengabsahkan kelahiran Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, yang dianggotai pada mulanya oleh Singapura, Sabah dan Sarawak. Sudah ditakdirkan juga bahawa negeri Singapura telah menjadi sebuah negara merdeka pada 9 Ogos 1965 apabila ia terkeluar daripada Persekutuan Malaysia. Maka dengan itu tinggallah Sabah dan Sarawak yang menganggotai Persekutuan Malaysia seperti sekarang ini.

Dewasa ini Malaysia adalah sebuah nasion yang masih dalam proses pengukuhannya. Dikatakan demikian, justeru kerana masih terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh negara ini untuk tampil sebagai sebuah nasion yang bersatu padu yang rakyatnya memperlihatkan kesepaduan dari segi identiti atau jati dirinya yang bersifat nasional.  Namun, kecemburuan kaum dan prasangka yang bersifat rasial masih dapat dilihat dalam perbahasan dan polemik mengenai politik kebangsaan sampai kini. Seyogia diingati nasion “Malaysia” (yang merangkumi kawasan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak) yag terdiri daripada bangsa-bangsa yang berbagai etnik, budaya dan sejarah asal usul itu masing-masing hanya baru digemblengkan -- yakni sekitar 45 tahun –demi menanamkan kesedaran bahawa mereka adalah satu kesatuan kebangsaan Malaysia.

Walaupun sasaran menjadikan masyarakat berbilang kaum sebagai satu “kesatuan kebangsaan” disedari oleh setengah-setengah negarawan yang kenal dan péka serta tahu akan sejarah nagara ini, khususnya periode selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, dan selepas British meninggalkan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan kemudiannya Sabah dan Sarawak,namun tidak ramai dari kalangan orang politik di negara ini memahami secara telus bahawa negara yang terwujud sekarang ini adalah kesinambungan daripada sebuah negara yang bersendikan Perlembagaan yang digubal oleh sebuah suruhanjaya lantikan British  atas permintaan Parti Perikatan ketika ia menuntut diadakan pilihanraya persekutuan antara  tahun 1953 dan 1954.

Selepas memenangi pilihanraya persekutuan yang diadakan pada bulan Julai 1955,  pemimpin Perikatan, Tunku Abdul Rahman Putera, telah mendesak Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British, Allan Lennox-Boyd, agar diadakan perbincangan mengenai kemerdekaan Malaya. Rentetan daripada perbincangan pihak kolonial British dan Parti Perikatan itu maka diadakanlah satu persidangan di London  pada bulan Januari 1956 di antara kerajaan British, Parti Perikatan dan wakil-wakil bagi sembilan orang Raja-Raja Melayu. Hasilnya, Persidangan London itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh beberapa orang pakar undang-undang dari negara-negara Komanwel bagi menggubal sebuah perlembagaan baharu dan pada masa yang sama menyatakan persetujuan untuk memberikan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.

Lord Reid, seorang Hakim Mahkamah Rayuan, telah dipilih untuk mengetuai suruhanjaya perlembagaan itu. Ahli-ahli yang lain terdiri daripada Sir Ivor Jennings, “Master” di Trinity Hall, dan bekas Naib-Canselor Universiti Cambridge, Sir William McKell, bekas gabenor-jeneral dari Australia, Hakim B. Malik, yang menjadi Ketua Hakim di Mahkamah Tinggi di Allahabad, India, dari Hakim Abdul Hamid dari Mahkamah Tinggi Pakistan Barat pada masa itu.

Suruhanjaya Reid itu memulakan tugasnya pada hujung Jun 1956 dan telah menerbitkan deraf perlembagaan pada 20 Februari 1957. Suruhanjaya itu telah menerima 131 memorandum daripada berbagai pertubuhan politik dan sosio-ekonomi dan telah pun mengadakan lebih daripada 100 “sesi mendengar” di seluruh Malaya antara bulan Jun dan November 1956.  Pada masa “sesi mendengar” itu cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh berbagai pertubuhan dan orang perseorangan, dan juga memorandum-memorandum kepada Suruhanjaya perlembagaan itu, Lord Reid dan rakan-rakannya pun mendapat kesan bahawa yang menjadi keprihatinan banyak orang dan pelbagai pihak ialah perkara-perkara yang menyentuh isu-isu kebebasan beragama, pendidikan dan penggunaan bahasa vernakular masing-masing kaum, serta hak sama rata kewarganegaraan (Fernando & Rajagopal, 2017: 6).

Di antara yang menyampaikan pandangan ialah Parti Progresif Rakyat, yang   mendesak Suruhanjaya Reid agar mencontohi Perlembagaan India dan Pakistan dalam hal-hal yang meyentuh Hak Asasi. Pertubuhan “Pan-Malayan Federation of Chinese Associations” pula mendesak agar perlindungan perlembagaan diberikan terhadap bahasa dan kebudayaan Cina. Parti Buruh pun menganggap hak-hak asasi sebagai isu yang maha penting dan mengusulkan semua rakyat Malaya wajar diberikan hak yang sama dan berkongsi tanggungjawab yang sama. Manakala “Straits Chinese British Association” di Pulau Pinang pun menuntut hak asasi yang sama. Pertubuhan-pertubuhan lain seperti “Eurasian Union of Malaya” mahukan agar kebebasan beragama dijamin di dalam Perlembagaan.  “Malayan Christian Council” juga mendesak agar kebebasan asasi dijamin dan menekankan betapa pentingnya wujud “kebebasan beragama sepenuhnya” (ibid: 7). Turut mengemukakan usul ialah Persatuan Melayu Semenanjung di Johor Bahru yang menuntut agar semua warganegara dianggap “sama di sisi undang-undang kebangsaan dan semua warganegara diberi jaminan kebebasan menganuti mana-mana agama” (ibid.).

Sekalipun tuntutan agar Islam dijadikan agama rasmi disuarakan oleh badan-badan seperti UMNO dan parti-parti Melayu yang lain, Suruhanjaya Reid cuba mengelak dengan memberikan dalih  bahawa Raja-Raja Melayu telah meminta agar hal-hal agama dikekalkan sebagai urusan Negeri (“State matter”) (Fernando, 2012: 129). Pihak Raja-Raja mengemukakan pandangan bahawa perbekalan mengenai agama rasmi akan hanya menjejaskan kedudukan Raja-Raja sebagai Ketua agama Islam di dalam negeri masing-masing. Secara peribadi, ahli-ahli Suruhanjaya Reid pun merasa berat hati dalam hal ini lantaran adanya kontradiksi antara deklarasi Parti Perikatan bahawa Malaya adalah sebuah negara sekular dengan tuntutan UMNO agar Islam dijadikan agama rasmi. (ibid). Ivor Jennings dari Cambridge pun dalam catatan peribadinya pada laporan Suruhanjaya itu juga menyatakan sangat keberatan dengan idea mana-mana “golongan minoriti” (merujuk kepada orang Melayu yang pada ketika itu berjumlah kurang daripada separuh bilangan penduduk Malaya) menuntut agama rasmi. Anggota Suruhanjaya dari Pakistan, Hakim Abdul Hamid, pun pada mulanya bersetuju untuk tidak memasukkan “agama rasmi” ke dalam Perlembagaan, tetapi kemudiannya bertukar fikiran; namun demikian, akhir-akhirnya dia pun gagal menyakinkan ahli-ahli lain bahawa masyarakat Islam di Malaya adalah bersifat “homogeneous” untuk memenuhi syarat bagi menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Tidak menghairankan, apabila laporan perlembagaan Reid itu dihebahkan ia jelas telah membangkitkan berbagai reaksi daripada penduduk Malaya, khasnya daripada pertubuhan-pertubuhan politik. Parti Negara, Parti Islam Se Tanah Melayu, dan Parti Ra’ayat adalah kelompok pembangkang Melayu yang menentang kuat laporan Suruhanjaya Reid itu. Bahkan Parti Ra’ayat bertindak memulaukannya dan menyatakan lebih baik Perlembagaan Tanah Melayu itu digubal oleh majlis perhimpunan perwakilan tempatan (Fernando 2002: 159 (nota 62)). Walaupun parti-parti pembangkang Melayu telah mengadakan Kongres Melayu kedua di Kuala Lumpur pada 4 Mei 1957 namun hasilnya tidak memberi kesan yang besar kerana isu-isu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu, tuntutan agar Islam dijadikan agama rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan  telah pun diluluskan sebagai usul oleh majlis perhimpunan agung UMNO.

Perbincangan pelbagai pihak terhadap kandungan Perlembagaan yang dicadangkan itu ternyata memberikan tumpuan utama mereka kepada soal-soal kaum. Tampak jelas bahawa reaksi yang timbul adalah terbahagi terutamanya kepada reaksi daripada bangsa Melayu dan bangsa-bangsa bukan-Melayu, terutamanya Cina dan India. Betapapun demikian, mengenai isu kewarganegaraan, perbekalan undang-undang yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan jelas berasaskan hampir semua cadangan yang dikemukakan oleh memorandum Parti Perikatan (J. M. Fernando, 2002: 124).

Sesudah terbentuknya Malaysia, kaedah memperoleh kewarganegaran telah diubahsuai atau diselaraskan tetapi masih berasaskan kaedah yang menggunakan prinsip kuat kuasa undang-undang, melalui pendaftaran, dan melalui naturalisasi. Pada masa laporan Suruhanjaya Reid dibentangkan tidak banyak ditimbulkan atau ditekankan oleh banyak pihak mengenai perkara-perkara mengenai struktur pemerintahan dan peranannya; ataupun mengenai kuasa eksekutif dan kebebasan badan kehakiman; ataupun mengenai peranan Persidangan Raja-Raja yang telah dihadkan, ataupun baik-buruknya konsep Persekutuan. Sebaliknya, masalah hubungan antara kaumlah yang diutamakan dalam perbahasan antara pemimpin-pemimpin Malaya dengan Suruhanjaya itu.

Penggubalan perlembagaan Reid itu pun telah dikaji semula oleh sebuah  jawatankuasa di Kuala Lumpur yang dipanggil “Working Party”. Badan ini dianggotai oleh Pesuruhjaya Tinggi British, wakil- wakil Parti Perikatan dan juga wakil Raja-Raja Melayu. Kajian semula (“review”) itu  dilakukan antara bulan Februari dan April 1957. Setelah selesai penyemakan perlembagaan itu maka ia pun dibahaskan pula oleh Parlimen British, dan juga di Majlis Perundangan Persekutuan di Malaya; dan kemudiannya barulah ia diterima pakai pada ketika kemerdekaan Malaya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

(Bersambung)





___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________

Comments