OLEH: M.A Fitri
1.0 PENDAHULUAN
Dawlah Fatimiyyah merupakan sebuah kerajaan Syiah yang berjaya menandingi dua buah kerajaan Sunni yang ada ketika itu iaitu Dawlah cAbbasiyyah di kota Baghdad dan Dawlah Umawiyyah di kota Cordova. Ketika tercetusnya Perang Salib Pertama pada tahun 1095M (Hillenbrand 2007), dunia Islam di timur tengah dan afrika boleh dibahagikan kepada tiga kuasa utama iaitu Kekhalifahan Abbasiyyah yang berpusat di kota Baghdad (759-1258M), Kekhalifahan Fatimiyyah yang berpusat di kota Kaherah (909-1171M) dan juga beberapa buah kerajaan serpihan Seljuk di Anatolia, Iraq dan Syam selepas melemahnya Kesultanan Seljuk Besar (1037-1092M) selepas kemangkatan pemimpin hebatnya, Sultan Malik Shah I pada tahun 1092M.
Menurut Alwi (2015), dunia Islam ketika itu berada dalam keadaan kacau bilau iaitu melibatkan keadaan politik dan keagamaan yang tidak stabil seperti sebelum ini. Khalifah Abbasiyyah yang menjadi pemimpin dunia Islam telah lama berpecah belah sehingga wujudnya kesultanan dan dinasti kecil yang memerintah di serata wilayah Islam. Manakala, perpecahan bertambah rumit apabila munculnya dinasti Fatimiyyah yang mendakwa mereka juga sebagai sebuah institusi kekhalifahan. Dinasti ini berfahaman Syiah Ismailiyyah berbeza dengan Kekhalifahan Abbasiyyah yang bermazhab Sunni. Ketika itu juga, muncul juga sebuah dinasti yang dinamakan sebagai Kesultanan Seljuk. Mereka berhasil mengembalikan kekuasaan khalifah kepada para khalifah di Baghdad.
Hal ini dikuatkan lagi oleh kenyataan Ghanim (2007) yang menyatakan bahawa wilayah dunia Islam ketika sebelum Perang Salib sangat lemah dan terpecah-pecah. Hal ini disebabkan oleh pembahagian wilayah yang dilakukan oleh pemerintah Islam itu sendiri, konflik yang berlaku antara Kekhalifahan Abbasiyyah di kota Baghdad dan Kekhalifahan Fatimiyyah di kota Kaherah. Inilah merupakan penyebab yang membawa kepada kelemahan kekuasaan Islam sehingga menyebabkan kejayaan terhadap ekspedisi Perang Salib Pertama.
Kajian ini menjadikan dua kajian yang lain sebagai rujukan utama. Pertama; kajian yang telah dilakukan oleh cAsim (2013) menerusi tajuk Al-Fatimiyyun wa al-Ghazwu al-Salibi yang telah diterbitkan di dalam Majallah Kulliyyah al-Tarbiyyah al-Asasiyyah, Universiti Babylon, Iraq. Manakala kajian kedua ialah kajian yang dilakukan oleh Amjad Hafiz Husain Ta’ah yang merupakan satu tesis sarjana yang berjudul Al-cAlaqat al-Siyasiyyah wa al-Askariyyah baina al-Fatimiyyin wa al-Salibiyyin fi Misr wa Bilad al-Syam (1098-1173M / 491-570H). Kedua-dua kajian ini menjadikan isu penglibatan Dawlah Fatimiyyyah dalam Perang Salib I sebagai isu utamanya.
2.0 DAWLAH FATIMIYYAH DI MESIR
Menurut al-Suyuthi (2013) dalam kitabnya yang masyhur iaitu Tarikh al-Khulafa’, dalam menulis karyanya itu beliau mengambil pendirian untuk tidak memasukkan biografi para khalifah Fatimiyyah atau juga dikenali sebagai Ubaidiyyah adalah sebagai tanda beliau tidak mengiktiraf kelompok ini. Hal ini dapat diketahui melalui ungkapannya yang berbunyi:
Adapun Amjad (2012) menyatakan samada sahnya nasab para khalifah Fatimiyyah kepada Saidina cAli bin Abi Talib r.a dan isterinya Saidatina Fatimah al-Zahra’ r.a atau itu hanyalah dakwaan semata-mata, maka itulah doktrin yang dibawah oleh mereka sehingga berjaya mendirikan sebuah kerajaan di al-Maghrib kemudian menguasai Mesir dan Syam setelah itu. Dengan melemahnya kekuasaan Khilafah cAbbasiyyah di kota Baghdad, maka cUbaidullah al-Mahdi di bai’ah sebagai khalifah pertama Fatimiyyah di kota Raqqadah (berhampiran Qairawan) pada hari Jumaat 21 Rabi’ al-Akhir tahun 297H bersamaan 8 Januari tahun 910M.
Dari kota Raqqadah, Ubaidullah al-Mahdi kemudiannya memindahkan pusat pemerintahannya ke kota yang baru iaitu ke sebuah kota baru bernama al-Mahdiyyah. Ia dinamakan bersempena dengan namanya sendiri pada sekitar tahun 920M (Hitti 2008). Memandangkan Mesir merupakan wilayah yang menjadi pintu masuk untuk mereka menguasai Syam, Yaman dan al-Haramain, maka para khalifah bermula dari Khalifah al-Mahdi telah menlancarkan tiga siri ekspedisi untuk menguasai Mesir baik melalui darat mahupun laut. Ketiga-tiga ekspedisi tersebut ialah bermula pada tahun 913M, 919M dan 936M. Namun, ketiga-tiga ekspedisi tersebut gagal menguasai Mesir memandangkan ia ketika itu berupaya untuk mematahkan serangan-serangan tersebut (Amjad 2012)
Menurut al-Salabi (2006), era pemerintahan khalifah yang keempat iaitu Khalifah al-Mu’iz menyaksikan sempadan wilayah kekuasaan Dawlah Fatimiyyah sudah melebar sehingga ke sempadan Mesir. Hal ini menjadikan beliau berupaya untuk mengetahui hal ehwal politik yang berlaku di sana. Pada tahun 968M, Kafur al-Ikhsyidi iaitu pemerintah keempat Dawlah Ikhsyidiyyah telah meninggal dunia dan menyebabkan berlaku ketidakstabilan politk di Mesir apabila penggantinya iaitu Ahmad bin cAli pula baru berusia 11 tahun. Lalu, Khalifah al-Mu’iz menggunakan kesempatan ini untuk mengumpulkan tentera yang berjumlah 100, 000 orang di bawah pimpinan panglimanya, Jawhar al-Shaquli.
Melalui pasukan tentera yang dipimpin oleh Jawhar al-Shaquli telah berjaya menawan kota Fustat pada tahun 969M dan kemudiannya membina sebuah kota yang baru bernama Qahirah. Setelah itu, pada tahun 972M, beliau telah membina Masjid al-Azhar (Hitti 2008). Adapun Masjid al-Azhar yang dibina ketika itu menurut al-Sirjani (2013) adalah bertujuan untuk menyebarkan fahaman mereka yang menyeleweng itu. Maka sejak itu, Mesir telah menjadi sebuah negara yang mengamalkan fahaman Syiah sehingga para muazzin diperintahkan untuk menambahkan seruan (حي على خير العمل) dalam seruan azan mereka bahkan mereka menghukum bunuh sesiapa sahaja yang menunjukkan kecintaan mereka kepada Saidina Abu Bakar atau Saidina Umar dan memotong lidah-lidah mereka yang mengungkapkan seruan (حي على الفلاح).
Setelah Jawhar al-Shaquli merasakan bahawa kekuasaan Fatimiyyah sudah kukuh di Mesir, beliau kemudiannya mengutuskan surat kepada Khalifah al-Mu’iz bagi menjemputnya datang ke kota Qahirah dan menetap di situ sekaligus memindahkan pusat pemerintahan mereka dari kota al-Mansuriyyah. Pada 9 Jun 973M, khalifah pun tiba ke kota Qahirah dan bermulalah Mesir menjadi pusat kekhalifahan setelah sebelum ini hanya sebagai sebuah wilayah naungannya di al-Maghrib (Amjad 2012).
3.0 KEJATUHAN JERUSALEM DAN REAKSI DAWLAH FATIMIYYAH
Sebagaimana menurut cAsim (2013), kemaraan tentera Salib mengepung dan menawan kota Jerusalem adalah rentetan daripada kejatuhan kota Antaqiyyah pada tahun 1098M. Adapun bagi pihak Dawlah Fatimiyyah pula, kejatuhan kota Antaqiyyah telah memberikan satu kejutan yang dahsyat buat mereka memandangkan sebelum ini mereka tidak mengetahui apakah tujuan kedangan tentera-tentera Salib tersebut. Al-Afdal bin Badr al-Jamali (1094-1121M) merupakan wazir yang berkuasa ketika itu sendiri menyangka bahawa kedatangan tentera Salib ke Syam adalah atas nama Empayar Byzantine. Tujuannya untuk mengalahkan Dawlah Saljuqiyyah yang berkuasa di Syam dan dalam masa yang sama turut menjadi musuh bagi Dawlah Fatimiyyah. Adapun Khalifah al-Musta’li (1094–1101M) ketika itu hanyalah menjadi boneka memandangkan urusan pentadbiran negara diuruskan oleh wazirnya, al-Afdal.
Namun, cAsim (2013) menjelaskan lagi bahawa tawaran daripada Fatimiyyah itu ditolak mentah-mentah oleh pasukan tentera Salib. Mereka bahkan menyatakan hasrat mereka untuk menakluk semua kota Jerusalem dari tangan umat Islam. Bukan itu sahaja, bahkan mereka memerintahkan utusan Fatimiyyah tersebut agar tidak memberitahu khalifah tentang kedatangan mereka ke Jerusalem dengan segala kelengkapan perang. Akibatnya, hal ini telah mencetuskan konflik bersenjata yang pertama antara tentera Salib dengan Dawlah Fatimiyyah memandangkan di pihak Fatimiyyah sendiri tidak menyangka bahawa sasaran tentera Salib adalah Jerusalem.
Adapun, Hillenbrand (2007) menyatakan faktor kekecewaan Dawlah Fatimiyyah itu adalah disebabkan oleh tentera Salib bukan hanya sekadar menakluk wilayah-wilayah daripada kuasa Turki Saljuk bahkan juga mengancam wilayah kekuasan mereka iaitu di selatan meliputi Palestin. Akhirnya, pasukan tentera Salib meninggalkan kota Ramalah pada 6 Julai 1099M dan tiba di benteng kota Jerusalem pada 7 julai 1099M. Mereka akhirnya tiba di penghujung ekspedisi sebagaimana yang telah diserukan oleh Pope Urban II di Clermont,Perancis lebih kurang tiga tahun lalu. Tentera Salib tidak membuang masa lalu melakukan kepungan terhadap kota Jerusalem menggunakan semua peralatan perang mereka. Adapun penduduk kota sebaliknya hanya mampu mempertahankan kota sekadar yang mereka mampu sahaja (al-Sirjani 2013).
Setelah 38 hari berada di dalam kepungan tentera Salib, akhirnya pada 15 Julai 1099M kota Jerusalem berjaya ditawan oleh mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka berjaya menguasai sebehagian daripada tembok kota melalui menara kepungan yang digunakan ketika peperangan (Amjad 2012). Sejurus daripada kejatuhan kota Jerusalem, cAsim (2013) mengungkapkan:
Kejatuhan Jerusalem ke tangan tentera Salib tidak bermakna mereka semua sudah pun selamat dan selesa di sebabkan umat Islam sudah pun reda terhadapnya. Bahkan, Dawlah Fatimiyyah sendiri telah mengangkat panji-panji jihad untuk memerangi mereka terutamanya kawasan yang ditakluki tersebut adalah merupakan wilayah kekuasaan Fatimiyyah.
Adapun mengenai tindak balas Dawlah Fatimiyyah sejurus selepas kejatuhan kota Jerusalem, ya mereka memangnya bertindak dengan menghantar pasukan tentera untuk berhadapan dengan tentera Salib. Di sebabkan keterbatasan ruang, pengkaji hanya menyatakan siri pertempuran bersenjata yang melibatkan kedua-dua pihak ini di era penguasaan wazir al-Afdhal bin Badr al-Jamali sahaja. Menurut cAsim (2013), terdapat empat pertempuran utama yang dilancarkan oleh al-Afdhal iaitu:
a) Peperangan Askolan.
Perang Askolan |
Pasukan tentera Fatimiyyah masih tidak bersedia untuk berperang ketika kedatangan pasukan tentera Salib. Menurut France (1997) peperangan berakhir dengan tentera Fatimiyyah diasak teruk dalam peperangan sehingga menyebabkan pasukan tentera Al-Afdal menjadi kucar kacir dan beliau sendiri meninggalkan kem dan segala hartanya. Adapun Al-Afdal selepas itu terus kembali pulang ke kota Kaherah dengan menaiki kapal. Setelah selepas merampas harta yang tinggalkan pasukan Fatimiyyah, pada 13 Ogos pasukan Salib kembali pimpinan Godfrey dan Raymond pulang ke Jerusalem. Sungguhpun begitu, kota Askolan masih lagi dikuasai oleh Fatimiyyah dan menjadi pusat kepada serangan-serangan berikutnya ke atas tentera Salib di Jerusalem.
b) Peperangan al-Ramlah I.
Setelah kekalahan di Askolan pada tahun 1099M, al-Afdal tidak lagi memimpin sendiri pasukan tenteranya untuk menyerang kerajaan Salib di Jerusalem. Sungguhpun begitu, beliau hanya menghantar pasukan tentera yang dipimpin oleh panglima perangnya sahaja iaitu sebanyak tiga pasukan secara berperingkat. Pasukan yang pertama yang dihantar adalah di bawah pimpinan Sa’d al-Dawlah yang merupakan bekas gabenor kota Beirut (cAsim 2013). Peperangan ini berlaku pada 7 September 1101M di barat kota al-Ramlah yang terletak di laluan Jerusalem dan Askolan di mana pasukan Salib pimpin oleh Raja Baldwin I, raja Jerusalem (Stevenson 1907).
Menurut Nicolle (2003), selepas kejayaan pasukan Salib mengalahkan tentera Fatimiyyah dalam Peperangan Askolan, kebanyakan tentera yang menyertai kempen Perang Salib beransur-ansur pulang ke tanah air mereka. Mereka yang tinggal di di Jerusalem hanyalah sekitar beberapa ratus orang tentera yang kebanyakannya menetap di sekitar Gereja Holy Sepulchre manakala kaum Yahudi dan umat Islam semuanya telah dibunuh.
Adapun tujuan utama penghantaran tentera kali ini adalah bagi menggunakan peluang ketiadaan Raja Baldwin I di Jerusalem untuk menawan kembali kota tersebut. Namun, sebaik sahaja Raja Baldwin I menegtahui penghantaran tentera tersebut, maka beliau kemudiannya kembali dengan segera bagi menghadapi tentera Fatimiyyah dengan menuju ke Ramlah. Namun sebaik sahaja Sa’d al-Dawlah mengetahui kemaraan tentera Salib, beliau bersama bala tenteranya berlindung di kota Askolan sambil menunggu bantuan tiba (cAsim 2013). Pada permulaan pertempuan, pasukan Fatimiyyah sudah berjaya menguasai medan perang. Namun pasukan sokongan yang diketuai oleh Tancred yang merupakan raja di kota Antaqiyyah telah dihantar oleh isteri kepada Baldwin I bagi membantu menghadapi tentera Fatimiyyah. Akibatnya, tentera Baldwin I berjaya mengalahkan pasukan Fatimiyyah sehingga berjaya membunuh ramai tenteranya termasuklah Sa’d al-Dawlah (Amjad 2012).
Adapun menurut cAsim (2013),punca utama kekalahan pasukan Fatimiyyah dalam Peperangan al-Ramlah I ini adalah disebabkan oleh ketika pasukan mereka sudah hampir memenangi peperangan, pasukannya mula berpecah kerana masing-masing sibuk mahu mengambil harta ghanimah. Maka ketika itulah pasukan Baldwin menyerang sehingga mereka tidak bersedia untuk menghadapinya dan akhirnya kalah. Selepas perang, Baldwin bersama tenteranya pulang ke Jerusalem untuk membahagikan harta rampasan perang mereka.
• Peperanan al-Ramlah II.
Disebabkan kekalahan di tangan pasukan Salib dalam Peperangan al-Ramlah I pada tahun sebelumnya (1101M), al-Afdal kemudiannya menghantar pasukan tentera yang kedua untuk menyerang tentera Salib di Jerusalem. Kali ini peperangan berlaku pada 17 Mei 1102 yang dikenali sebagai Peperangan al-Ramlah II (Pringle 1993). Namun begitu, Baldwin I yang ketika itu berada di kota Jaffa hanya menganggap bahawa pasukan Fatimiyyah yang sedang mara itu hanyalah sepasukan tentera yang kecil sahaja. Pasukan Fatimiyyah yang dihantar oleh al-Afdal kali ini diketuai oleh anak lelakinya sendiri iaitu Syarf al-Ma’ali (Asbridge 2012). Mengetahui hal ini, Baldwin I lalu keluar bersama angkatan tenteranya menuju ke al-Ramlah dan menghadapi tentera Fatimiyyah di satu kawasan yang bernama Yazur yang terletak berhampiran dengan Ramalah (cAsim 2013).
Menurut Asbridge (2012), dalam pertempuran kali ini, tentera Fatimiyyah berjaya memberikan asakan yang lebih kuat kepada pasukan Salib pimpinan Baldwin I. Hal ini telah menyebabkan pasukan Salib terpaksa melarikan diri dan berlindung di sebuah kota kecil di al-Ramlah. Akibat daripada kepungan yang ketat terhadap kota tersebut, tentera Salib akhirnya berjaya dikalahkan dan seramai 400 tentera Salib berjaya dibunuh manakala 300 yang lain berjaya ditawan oleh tentera Fatimiyyah. Adapun, Raja Baldwin I sendiri telah berjaya menyelamatkan diri daripada serangan tersebut lalu melarikan diri ke kota Jaffa meninggalkan tenteranya yang kalah itu (Amjad 2012).
Akhirnya, Peperangan al-Ramlah II ini berjaya dimenangi oleh pasukan Fatimiyyah setelah berjaya menghancurkan pasukan Salib. Malangnya, telah berlaku perselisihan antara pimpinan tentera Fatimiyyah tentang langkah mereka yang seterusnya. Ada yang berpendapat terus mara ke Jerusalem dan yang lain pula sebaliknya berpendapat untuk ke kota Jaffa. Dan akhirnya mereka menuju ke kota Jaffa untuk menakluknya. Namun, tindakan ini sebaliknya memakan diri apabila tentera Salib ketika itu mendapat bantuan. Ketika itu para jemaah Kristian tiba ke situ untuk ke Jerusalem sekaligus memberikan semangat yang baru untuk menghadapi kepungan Fatimiyyah. Dengan bantuan ketenteraan Baldwin I dari Jerusalem berjaya mengalahkan semula tentera Fatimiyyah lalu kepungan terhadap kota Jaffa pun berakhir (Asbridge 2012).
• Peperangan al-Ramlah III.
Kekalahan demi kekalahan yang menimpa pasukan Fatimiyyah tidak menghalang al-Adfal untuk menghantar pasukan tentera yang baru untuk menawan semula kota Jerusalem dan kota-kota di Syam yang jatuh ke tangan tentera Salib. Akhirnya beliau dapat mengumpulkan satu pasukan yang besar pada tahun 1104M dan kepimpinan pasukan pula diberikan kepada anaknya Sina’ al-Mulk. Peperangan kali ini turut disertai oleh tentera Seljuk Damsyik yang dipimpin oleh Zahir al-Din Atabek Tughtekin. Beliau mejadi pemimpin selepas Syams al-Muluk Daqaq yang sebelum ini enggan bekerjasama dengan pasukan Fatimiyyah (cAsim 2013).
Sebaik sahaja berhimpun tentera Fatimiyyah di kota Askolan, Sina’ al-Mulk kemudiannya mengarahkan tenteranya untuk bergerak. Terdapat juga pasukan tentera laut yang ditugaskan bergerak menuju ke kota Yaffa untuk mengepungnya melalui laut. Dalam masa yang sama, tentera darat juga menuju ke kota Yaffa juga dan satu pasukan darat yang lain pula menuju ke al-Ramlah bagi menghalang Baldwin daripada menghantar sebarang bantuan dari sana ke kota Yaffa (Amjad 2012). Namun, pasukan tentera yang menuju ke al-Ramlah telah menghadapi pasukan Baldwin I dalam pertempuran pada 27 Ogos 1105M. Pertempuran ini telah berjaya dimenangi oleh pasukan Baldwin I (cAsim 2013).
Setelah itu, Baldwin I menuju ke kota Jaffa untuk membahagikan hasil rampasan perang di al-Ramlah. Namun, beliau mendapati bahawa pasukan tentera laut Fatimiyyah masih lagi mengepung kota tersebut. Lalu, Beliau mengutus salah seorang pelautnya untuk menemui gabenor kota Askolan, Jamal al-Mulk untuk menberitahu berita kekalahan tentera Fatimiyyah di al-Ramlah. Akibarnya, moral tentera laut Fatimiyyah melemah dan kemudiannya mereka menamatkan pengepungan kota Jaffa (Amjad 2012). Kedua-dua pasukan darat dan laut akhirnya pulang menuju ke Mesir. Namun, pasukan laut Fatimiyyah ketika pulang telah dilanda ribut sehingga menyebabkan mereka semua tersadai di pelabuhan tentera Salib. Lalu mereka semua ditawan (cAsim 2013).
Amjad (2012) dalam kajiannya bahkan mengulas tentang peperangan al-Ramlah III ini dengan katanya:
Peperangan al-Ramlah III ini merupakan cubaan terakhir yang terbesar dilakukan oleh Dawlah Fatimiyyah menentang pasukan tentera Salib ketika itu. Usaha-usaha tersebut adalah bertujuan untuk mengembalikan semula kota Bait al-Maqdis dan kota-kota Syam yang lain yang ketika itu sudah jatuh ke tangan tentera Salib.
Amjad (2012) juga menyatakan bahawa terdapat banyak punca yang membawa kepada kegagalan usaha pembebasan yang dilakukan oleh Dawlah Fatimiyyah. Antaranya ialah:
• Kelemahan kepimpinan.
• Perancangan yang tidak baik.
• Tidak mengerahkan pasukan Mesir secara besar-besaran untuk memerangi pasukan Salib.
• Berlaku banyak perselisihan antara para pemimpin Dawlah Fatimiyyah.
• Kelemahan pasukan tentera laut Fatimiyyah.
• Ketidakupayaan untuk menghalang bantuan-bantuan luar yang datang untuk membantu tentera Salib.
4.0 KESIMPULAN
Berdasarkan keterangan yang telah dinyatakan sebelum ini, dapatlah disimpulkan bahawa narasi daripada sejarawan Islam bermazhab Sunni memberikan gambaran negatif kepada Dawlah Fatimiyyah di Mesir. Kejatuhan kota Jerusalem atau Bait al-Maqdis dikaitkan dengan kesepakatan yang berlaku antara mereka dengan tentera Salib. Namun, hakikatnya kesepakatan tersebut bukanlah untuk memberikan wilayah Palestin kepada tentera Salib bahkan hanya sekadar memberikan wilayah-wilayah Syam di utara sahaja kepada mereka. Memandangkan wilayah-wilayah tersebut sebelum ini dikuasai oleh para gabenor Seljuk yang merupakan musuh politik Fatimiyyah, maka kesepakatan tersebut bertujuan untuk menghapuskan dominasi Seljuk dengan menggantikannya dengan penguasaan tentera Salib. Malangnya kesepakatan itu terbatal apabila niat utama tentera Salib ketika itu adalah untuk menguasai Jerusalem baru sahaja diketahui oleh Fatimiyyah walhal kota tersebut berada di bawah penguasaan mereka. Maka berlakulah beberapa siri peperangan antara Fatimiyyah dan tentera Salib sebagai mana yang telah dijelaskan sebahagiannya dalam kajian ini. Sungguhpun begitu, usaha pembebasan Jerusalem yang dilancarkan oleh Dawlah Fatimiyyah ini hanyalah bermotifkan politik semata-mata dan bukannya atas dorongan agama. Hal ini disebabkan oleh fahaman Syiah Ismailiyyah yang dianuti oleh Dawlah Fatimiyyah tidak diterima oleh sebahagian besar umat Islam yang menganut fahaman Sunni.
1. al-Taiyyar, Haifa’ cAshim Muhammad. 2013. Al-Fatimiyyun wa al-Ghazwu al-Salibi. Majallah Kulliyyah al-Tarbiyyah al-Asasiyyah 14: 126-181.
2. Amjad Hafiz Husain Ta’ah. 2012. Al-cAlaqat al-Siyasiyyah wa al-cAskariyyah baina al-Fatimiyyin wa al-Salibiyyin fi Misr wa Bilad al-Syam (1098-1173M / 491-570H). Tesis Sarjana, Jabatan Sejarah dan Arkeologi, Universiti Islam Gaza.
3. Carole Hillenbrand. 2007. Perang Salib; Sudut Pandang Islam. Terj. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta.
4. David Nicolle. 2003. The First Crusade; Conquest of the Holy Land. Oxford: Osprey Publishing.
5. Denys Pringle. 1993. The Churches of the Crusader Kingdom of Jerusalem: A Corpus. Cambridge: Cambridge University Press.
6. Hamid Ghanim Abu Sa’id. 2007. Al-Jabhah al-Islamiyyah fi Muwajahah al-Makhattatat al-Shalllibiyyah. Kaherah: Dar al-Salam li al-Thiba’ah waa al-Nasyr wa al-Tawzi’ wa al-Tarjamah.
John France. 1997. Victory in the East: A Military History of the First Crusade. Cambridge University Press.
7. Syed Alwi Alatas. 2015. Biografi Agung Nuruddin Zanki; Perintis Gerakan Jihad Menentang Tentera Salib. Shah Alam: Karya Bestari.
8. Thomas Asbridge. 2012. The Crusades: The War for the Holy Land. London: Simon & Schuster.
9. W. Stevenson. 1907. The Crusaders In The East: A Brief History of The Wars of Islam With the Latins In Syria During The Twelfth And Thirteenth Centuries. Cambridge University Press.
___________________________
~ M.A Fitri ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment