Sejarah Landasan Kereta Api Teluk Intan Ke Tapah Road

OLEH: Iskandar Zulqarnain


Terlalu banyak sejarah-sejarah menarik mengenai negeri Perak. Negeri Perak antara negeri terawal menerima teknologi di negara ini disebabkan kemajuan ekonomi hasil dari sumber bijih timah yang banyak di perut bumi negeri bertuah ini. Pada kali ini penulis ingin membawa pembaca semua untuk lebih mengetahui mengenai sejarah landasan kereta api diantara Tapah Road dengan Pekan Teluk Intan.

Sebelum sistem pengangkutan moden diperkenalkan, sungai adalah merupakan jalan perhubungan dan menjadi pengangkutan utama bagi penduduk di negeri Perak. Sungai juga penting untuk berbagai aktiviti seharian penduduk. Penempatan dan bandar-bandar juga bermula di tebing-tebing sungai. Selepas kedatangan Inggeris beberapa sistem pengangkutan moden telah diperkenalkan di Tanah Melayu, seperti keretapi, kereta kuda, kapal wap dan sebagainya.


Di Negeri Perak landasan keretapi yang pertama di bina pada 1885 iaitu menghubungkan Kuala Sepetang (Port Weld) ke Taiping. Perak State Railway telah memainkan peranannya dalam membina jalan-jalan keretapi di negeri Perak. Selepas jalan keretapi Kuala Sepetang Taiping beberapa jalan utama telah dibuka antaranya Taiping-Kamunting (1890), Kamunting-Ulu Sepetang (1892), Batu Gajah-Ipoh (1893), Kota Baharu-Batu Gajah (1894) dan sebagainya.

Sejarah landasan kereta api Tapah Road ke Teluk Intan bermula apabila Archibald Edward Harbord Anson yang merupakan Leftenan Gabenor Pulau Pinang membuat pelan untuk membina bandar terancang iaitu Pekan Teluk Anson pada tahun 1882. Turut berada dalam rancangan pembinaan ini ialah pembinaan landasan kereta api yang boleh menghubungkan pekan ini dengan Lembah Kinta dan juga sebuah pelabuhan yang boleh digunakan untuk mengangkut hasil bijih dari Lembah Kinta ke pasaran luar.

Landasan kereta api di antara Tapah Road dengan Teluk Intan bermula di Stesen Kereta Api Tapah Road dan berakhir di Stesen Wharf (Pelabuhan) Teluk Anson (sekarang Teluk Intan). Pada peringkat awal kontrak pembinaan landasan Tapah Road-Teluk Intan telah dibatalkan perancangan kerana halangan-halangan bentuk muka bumi di antara kedua-dua tempat berkenaan. Bagaimanapun dua orang jurutera Perak State Railway iaitu Spence Moss (Jurutera Penasihat Keretapi) dan Jurutera Tempatan Keretapi T. Scott Gardner telah mengambil anisiatif untuk meneruskan pembinaannya.


Kerja-kerja pembinaan landasan keretapi ini telah menghadapi banyak kesulitan kerana sebuah jambatan terpaksa dibina bagi merentasi Sungai Bidor. Akhirnya pada tahun 1893 jalan keretapi Tapah Road dan Teluk Intan telah berjaya disiapkan. Pada 6 September 1893 landasan kereta api ini siap untuk digunakan. Landasan keretapi Teluk Anson dan Tapah Road telah dibuka secara rasmi untuk laluan jentera tersebut pada 18 Mei 1893.

Upacara ini telah dirasmikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Cecil Clementi, Residen Perak, Sir Frank Swettenham, Penguasa Hilir Perak dan Pegawai Kanan Keretapi, pembesar-pembesar negeri serta para jemputan yang lain. Sempena dengan perasmian landasan keretapi diantara Teluk Anson dan Tapah Road ini, satu upacara khas memasang penghubung terakhir di jambatan Bidor diadakan sebagai tanda perasmiannya. Kemudian pada 18 Mei 1895 stesen keretapi telah dibuka iaitu Stesen Tapah Road. Stesen ini telah dirasmikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Cecil Clementi Smith. Satu acara yang gilang-gemilang telah diadakan sempena perasmian stesen berkenaan. Turut hadir di Majlis Perasmian itu ialah Sir Frank Swettenham, Residen Perak ketika itu.



Apabila landasan cawangan ini siap dan dibuka untuk trafik pada tahun 1893, ia menjadi sambungan kepada pembinaan sistem perhubungan keretapi. Kegiatan meluaskan lagi perkhidmatan keretapi ke tempat lain terus diperhebatkan kerana ia adalah pelaburan yang amat menguntungkan bagi pihak British. Pendapatan yang diperolehi dari perkhidmatan keretapi dapat menampung kekurangan perbelanjaan untuk menambah landasan keretapi yang baru. Kebanyakan tren yang dijalankan di cawangan ini adalah tren campur (sebuah lokomotif + dua gerak koc penumpang + gerabak barang). Perjalanan dari Tapah Road ke Waf Teluk Anson mengambil masa lebih kurang satu jam kecuali apabila berselisih. Tempat untuk tren berselisih (crossing) hanyalah di Stesen Sungai Tukang Sidin.



Panjang laluan kereta api untuk landasan Tapah Road ke Teluk Anson adalah sepanjang 29.1km. Berikut adalah serba sedikit catatan tentang stesen dan perhentian di landasan ini.


  • Stesen Tapah Road (0.0km). Merupakan stesen utama untuk menuju ke Ipoh mahupun Kuala Lumpur.
  • Perhentian Changkat Petai (5.5km). Hanyalah sebuah perhentian kecil.
  • Stesen Degong (10.4km). Sebuah Stesen Tanpa Kuncikait. Asalnya mempunyai sebuah platform sepanjang 424 kaki di sebelah kiri landasan dan mempunyai gegelung sepanjang 1371 kaki.
  • Stesen Chikus (13.0km). Merupakan sebuah stesen biasa (Non – block station).
  • Stesen Sungai Tukang Sidin (16.6km). Merupakan sebuah Stesen Blok (Stesen Tanpa Kuncikait). Mempunyai platform untuk tren naik sepanjang 300 kaki dan platform untuk tren turun juga sepanjang 300 kaki. Mempunyai gegelung sepanjang 1033 kaki yang dapat menampung 41 unit gerabak. Ada juga yang melaporkan panjang gegelung di stesen ini adalah 1320 kaki.
  • Perhentian Permatang (19.0km). Sebuah perhentian yang dilengkapi dengan tempat menjual tiket.
  • Stesen Sungai Kerawai (22.2km). Sebuah stesen biasa (Non – Block Station).
  • Stesen Bandar Teluk Anson (26.8km). Sebuah stesen yang dilengkapi dengan tempat menjual tiket. Mempunyai platform sepanjang 386 kaki di sebelah kanan landasan.
  • Stesen Waf (Perlabuhan) Teluk Anson (29.1km). Adalah sebuah Stesen Blok (Stesen Tanpa Kuncikait). Mempunyai platform untuk tren naik sepanjang 245 kaki dan platform untuk tren turun juga sepanjang 245 kaki. Mempunyai gegelung sepanjang 771 kaki yang dapat menampung 30 unit gerabak. Di waf ini pernah terdapat kemudahan untuk menyimpan lokomotif, sebuah turntable, tempat memeriksa gerabak dan koc serta tempat memunggah barang-barang pukal. Terdapat juga jambatan penimbang dengan kapasiti maksimum 20 tan.


Walaupun demikian, beberapa tinggalan perkhidmatan keretapi di Teluk Intan masih boleh dilihat dan dikekalkan. Kita dapat melihat beberapa tinggalan penting sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Antaranya ialah bangunan stesen keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan sekolah memandu.

Pintu pagar lintasan keretapi dengan jalan Changkat Jong menuju ke Bidor juga masih boleh dilihat. Namun demikian, kita tidak dapat meramal berapa lamakah tinggalan-tinggalan bersejarah ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan. Untuk makluman tambahan buat anda, laluan ini telah ditamatkan perkhidmatannya oleh KTMB pada tahun 1989.


___________________________
~ Iskandar Zulqarnain ~
Sahabat PENA
Telegram:  https://t.me/gerakanpenamy

Comments