Istilah 'Buntut' di Alam Melayu

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Minggu lepas merupakan kali kedua ke Bera yang kedua-duanya atas urusan kerja. Tapi kali ini melalui jalan lain.

Sudah jadi tabiat kami berdua - iaitu bersama arwah - untuk membaca nama-nama kampung atau jalan (mungkin tabiat ini juga dilakukan oleh kebanyakan orang) ketika melalui satu kawasan baharu. Dan selalunya kami akan membahas ketika menemukan nama yang unik - dengan meneka-neka sebenarnya sebabnya kami tidak bertanyakan kepada orang kampung tersebut atau ahli sejarah - tentang nama unik tersebut.

Ketika di Miri dahulu kami pernah ceritakan perihal keadaan pantai yang berlubang-lubang di Pantai Tanjong Lubang. Ketika itu yang disinggung adalah kaitan nama dengan keadaan manusia atau tempat, lantaran nama adalah sebuah doa sehingga telah ada banyak hadis yang menceritakan hal ini.

Kali ini ketika menuju ke Bera menggunakan jalan Temerloh yang berada di tepi Sungai Pahang, ternampak papan tanda 'Kampung Buntut Pulau'.

Sambil tersenyum terus di lihat pada Google Map yang memang sedang digunakan sebagai pemandu arah. Ternyata ada sebuah pulau ditengah-tengah Sungai Pahang berhadapan dengan kampung itu berada.

Jadinya nama kampung ini dapat dimengertikan. Cuma yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana masyarakat di Sungai Pahang pada zaman dahulu menetapkan 'buntut' dan 'muka' pulau yang tidak berpenghuni?

Apakah kawasan hulu akan ditetapkan sebagai muka dan hilir sebagai buntut, atau sebaliknya? Atau berdasarkan bentuk pulau tersebut, iaitu yang runcing atau kecil ditetapkan sebagai buntut?

Oleh sebab kita ini bukan ahli geografi atau orang yang arif tentang bangsa Melayu, maka dibiarkan sahaja persoalan itu berlalu pergi.

Adapun tentang kata buntut itu rasanya telah lama kami bahas tentang perkataan kasar atau lucah.

Sebenarnya kata buntut itu tidak pernah mengandungi konotasi dan emosi yang negatif. Bangsa kita telah memakai kata ini dalam pelbagai keadaan malah dijadikan peribahasa.

Antara kata terbitan atau kata khusus atau peribahasa yang datang dari 'buntut' adalah:

- berbuntut-buntut
- membuntut
- buntut kapal
- buntut baung (sejenis tumbuhan)
- buntut kuning (sejenis tumbuhan)

Buntut juga bermaksud bahagian bawah sebelah luar periuk, kuali, dan lain-lain yang menyentuh permukaan lain seperti buntut cawan. Serta makna buntut yang lain adalah lanjutan sesuatu perkara atau akibatnya. Contoh ayat "perkara itu belum habis lagi, ada buntutnya".

Antara peribahasa yang menggunakan kata buntut adalah 'siput memuji buntut', membawa maksud seseorang yang memuji diri sendiri. Begitu juga 'seperti lebah, mulut membawa madu, buntut membawa sengat'.

Hanya sahaja bila kata buntut ini diguna sebagai sumpah seranah atau caci maki, baharulah ia membawa maksud yang buruk alias kasar.

Sama halnya dengan 'mangkuk' yang pada asalnya ia adalah sebuah kata yang sangat lazim diguna terutama ketika di dapur atau tempat makan. Namun ketika kata 'mangkuk' diguna sebagai simbol kebebalan maka jadilah ia sebuah konotasi yang negatif.

___________________________
 Abu Amru Radzi Othman

Comments