Buah Kepayang - Kasih Sayang dan Racun Sianida (Merungkai Maksud 'Mabuk Kepayang')

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Orang Melayu banyak memiliki pantun seputar buah kepayang yang kebanyakannya menceritakan tentang kasih sayang.

Perasaan kasih sayang yang disinggung dalam khazanah pantun Melayu itu sangat meluas, bukan sekadar sepasang kekasih semata-mata tetapi lebih dari itu. Malah ada juga yang berjenis pantun jenaka.

Contoh pantun kasih sayang yang menarik adalah pantun Melayu Riau dan Melayu Sarawak di bawah ini:

(i) Pantun Melayu Riau

Buah kedarah buah kepayang,
Buah kelat julat berjulat;
Pada saudara hendaklah sayang,
Pada sahabat hendaklah taat.

(ii) Pantun Melayu Sarawak

Buah saga buah berangan,
Buah mengkudu buah kepayang;
Segalanya hilang dari pandangan,
Aku rindu ibuku sayang.

Disebalik buah kepayang yang dikaitakan dengan kasih sayang, sebenarnya buah ini memabukkan malah boleh membawa kematian kerana hadirnya sebatian hidrogen sianida yang sangat beracun. Kesan yang paling ringan adalah mabuk, dan kesan inilah yang selalu disebut dalam pantun.

Zaman bukan sebarang zaman,
Zaman orang mabuk kepayang;
Makan bukan sebarang makan,
Makan kenyang mabuk seorang.
(Pantun Melayu Riau)

Mabuk kepayang yang dimaksudkan itu ada dua makna, yang pertama adalah mabuk lantaran makan isi biji kepayang yang diproses secara tidak benar atau tidak sempurna. Dan yang kedua adalah hilang ingatan atau lupa akan dirinya kerana jatuh cinta dan lain-lain.

Yang dimakan itu bukanlah isi buah kepayang sebaliknya isi bijinya. Pokok kepayang, payang, keluak atau pangi hanya tumbuh di Nusantara. Buahnya besar berbentuk seperti bola ragbi. Kerana itu orang Barat memanggilnya 'Buah Bola Ragbi'.

Selain dari bangsa Nusantara yang memakannya adalah kaum Baba Nyonya. Ini dapat difahami kerana kehadiran kaum Baba Nyonya ke alam Melayu bermula dari zaman Kesultanan Melaka lagi. Malah mereka banyak menyerap budaya Melayu. Salah satunya adalah mereka memiliki resepi masakan yang menggunakan isi biji kepayang.

Soalnya bagaimana isi biji buah yang sangat beracun ini dapat dimakan?

Nampaknya leluhur kita mempunyai cara untuk menghilang racun sianida yang ada dalam biji kepayang tersebut. Bagaimana cara leluhur kita menemukan cara tersebut? Apakah melalui kaedah 'cuba jaya' hingga telah banyak korban terjadi atau bagaimana? Wallahu'alam,

Khabarnya ada beberapa cara yang selalu dipakai. Antara adalah seperti berikut:

(1) Biji kepayang direbus selama 1 jam kemudian isinya diambil dan dimasukkan dalam sebuah karung lalu direndam ke dalam air yang mengalir selama sehari.

(2) Biji kepayang direbus terlebih dahulu dan kemudian dikambus dengan abu selama 40 hari.

(3) Biji kepayang direbus terlebih dahulu dan kemudian ditanam ke dalam tanah selama 40 hari.

(4) Biji kepayang direndam dalam air selama seminggu dimana air tersebut perlu disalin setiap hari, kemudian direbus atau dibakar.

(5) Biji kepayang direbus terlebih dahulu kemudian disimpan selama 7 hari. Setelah itu dikambus dalam abu selama 60 hari.

Agak menarik apa yang ada dalam sebuah pantun Sarawak di bawah ini dimana ia ada menyinggung sedikit cara penyediaan buah kepayang:

Pagi mengambil buah kepayang,
Kepayang direndam dalam telaga;
Berapa panjang Sungai Rajang,
Hati bercinta direnang juga.

Sebagai perhatian, air rebusan biji kepayang itu hendaklah dibuang pada tempat yang selamat dan jauh dari kanak-kanak, kerana dikatakan air rebusan itu beracun.

Kembali kepada banyaknya cara membuang racun biji kepayang diatas, dapatlah diketahui bahawa cara memproses biji kepayang itu dilakukan oleh banyak suku atau orang sehingga lahir banyak kaedah. Dan mungkin rasanya yang sangat menarik atau sedap sehingga banyaklah orang cuba untuk memproses biji tersebut.

Jika di darat ada buah kepayang maka di laut pula ada ikan buntal. Kedua-duanya boleh mematikan dan kedua-dua dikatan sedap.

Adapun kami belum pernah mencuba masakan yang ada biji kepayang dan ikan buntal hingga tidaklah tahu bagaimana rasanya.

___________________________
Abu Amru Radzi Othman

Comments