OLEH: Saufy Jauhary
Pertemuan antara Tengku Long Hussein dan Stamford Raflles merupakan satu pertemuan yang bersejarah yang mana kemuncaknya pertemuan ini menghasilkan satu perjanjian dan perjanjian tersebut menjadikan Singapura sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi telah merakamkan detik pertemuan tersebut di dalam karya agungnya iaitu Hikayat Abdullah. Kami di pihak Revolusi Melayu Baru berpendapat perlunya disiarkan detik ini untuk diambil pengajaran oleh pembaca setia page kami dan khususnya orang-orang Melayu.
Abdullah Munsyi menceritakan:
“Syahadan maka berlayarlah sekalian itu. Maka sambil belayar itu, Tengku Long itu (Tengku Hussein ibni Sultan Mahmud Syah III) mengulang-ulang akan perkataan ia dipanggil oleh Tuan Raffles ke Selat, kerana ada juga syak dalam hatinya, seperti perkataan yang tersebut di atas tadi. Maka setelah keesokan harinya, sampan yang membawakan santapan-santapan itu pun bertemulah di Selat Lobam. Lalu belarlah. Dua hari lamanya di jalan, maka lalu masuklah ke Singapura, lalu ke pangkalan Tengku Temenggung (Temenggung Abdul Rahman Ibni Tun Ibrahim). Maka datanglah Temenggung serta Tuan Farquhar menyambut tangan Tengku itu. Serta naik ke dalam sekoci itu, maka kata Tuan Farquhar, “Tengku mari kita pergi menghadap Tuan Raffles di laut, ia tiada mahu turun ke darat sebelum Tengku datang.” Kemudian maka titah Tengku Long, “Baiklah.” Akan tetapi hatinya berdebar-debar, sebab sangkanya hendak ditangkap akan dia. Kemudian maka Tengku Long dan Tuan Farquhar pun naiklah bersama-sama ke dalam sekoci itu. Lalu berdayunglah ke laut serta ditarikkan bendera kuning.
Maka apabila dilihat dari kapal, maka bersedialah mereka itu hendak menyambut dia. Setelah sampailah ke kapal, maka Tuan Raffles pun datanglah sendiri menyambut tangan Tengku Long itu. Maka meriam pun berbunyilah dari kapal-kapal dan keci itu terlalu banyak. Maka Tuan Raffles pun mengunjukkan dengan sebaik-baik hormat dan takzim akan Tengku Long, dibawanya di kerusi keempat-empat mereka itu. Maka Encik Abu Putih duduk di belakang Tengku Long itu. Maka Raja Embong duduk jauh sedikit. Lalu bercakaplah Tuan Raffles pada masa itu dengan tersenyum-senyum simpul serta muka manis, dengan menunduk-nundukkan kepalanya. Manisnya seperti laut madu. Maka pada masa itu jangankan hati manusia, jikalau batu sekalipun pecah-pecahlah oleh sebab mendengarkan perkataannya itu, serta dengan lemah lembut suaranya seperti bunyi-bunyian yang amat merdu, akan menghilangkan percintaan dan syak yang ada tersembunyi dalam perbendaharaan hati manusia itu pun lenyaplah. Maka segala ombak was-was yang berpalu-paluan yang di atas karang wasangka itu pun teduhlah. Maka pokok angin yang amat kencang serta dengan segala gelap gelita itu pun seperti ribut yang besar akan turun, bahawa sekaliannya hilanglah, sehingga teranglah cuaca. Maka bertiuplah angin yang lemah lembut yang terbit dari dalam taman mahabbat. Maka sekonyong-konyong terbitlah bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang cahaya, sehingga kelihatanlah tulus ikhlas Tuan Raffles akan Tengku Long itu. Maka dengan seketika itu juga bertukarlah dukacitanya itu dengan sukacita. Maka berseri-serilah cahaya mukanya.
Maka setelah dikerling oleh Tuan Raffles warna mukanya, maka bangunlah Tuan Raffles dari kerusinya serta memegang tangan Tengku Long, dipimpinnya, lalu dibawanya masuk ke dalam biliknya, serta ditutupkannya pintu bilik itu. Maka bercakaplah mereka itu kedua di dalam bilik itu. Maka seorang pun tiada mengetahui akan rahsia mereka itu bercakap . Entah apakah yang dicakapkannya itu. Maka jikalau kiranya kuketahui akan rahsia cakapnya itu nescaya kutuliskan juga dalam hikayat ini. Melainkan Allah yang tahu. Adalah sejurus panjang lamanya maka keluarlah keduanya itu pun dengan berpegang-pegang tangan, lalu turunlah ke dalam sekoci. Maka Tuan Farquhar dan Temenggung itu serta segala orang-orang pun turunlah dalam sekoci serta alat dan perkakasnya dan senjatanya.
Maka setelah sampailah ke rumah Temenggung, maka Tengku Long itu pun memakailah pakaian kerajaan. Maka Tuan Raffles dan Tuan Farquhar serta orang-orang kapal dan orang Melaka semuanya pun telah hadirlah sudah menanti di tengah padang itu. Maka diaturlah meja dan kerusi kiri kanan. Maka baris kelasi-kelasi adalah sedia kiri kanan. Maka seketika datanglah Tengku Long dan Tengku Temenggung dan Raja Embong, serta segala orang-orang Melayu itu pun ramailah mengiringkan dia dengan berpayung kuning, lalu berjalanlah. Adapun ketika berjalan itu dengan kuasa Allah maka turunlah hujan panas. Maka dalam petua Melayu konon alamat kebajikan juga kesudahannya. Maka segeralah Tuan Raffles datang menyambut tangan Tengku Long itu, lalu berjalanlah masuk ke dalam khemah itu. Maka sungguhpun dalam hal yang demikian itu, maka ada juga lagi ketakutan Tengku Long, kerana pada sangkanya Tuan Raffles hendak menipu akan dia hendak ditangkapnya dibawanya ke Benggala. Adapun sambil berjalan itu, katanya kepada Encik Abu, “Engkau jangan bergerak dari belakangku.”
Setelah sampailah, maka didudukkan oleh Tuan Raffles akan dia di tengah-tengah. Maka berdirilah Tuan Raffles sebelah kanan, Tuan Farquhar berdiri di sebelah kiri. Maka segala orang-orang putih pun masing-masing membuka cepiaunya sambil berdiri memeluk tubuh serta memberi hormat kepada Yang Dipertuan (Tengku Hussein). Maka dalam hal yang demikian, datanglah seorang muda Inggeris dengan memakai cepiau lipat. Maka di atasnya ada berbulu burung cenderawasih dan bajunya seperti pakaian hulubalang, penuh dengan benang emas serta dengan tampannya. Maka masuklah ia di tengah-tengah di hadapan surat Inggeris dan satu gulung surat Melayu. Maka berdirilah ia serta memberi hormat ke bawah duli; lalu dibacanya itu, maka kemudian datanglah Encik Yahya pula membaca surat Melayunya itu demikian bunyinya:
“Bahawa ketahuilah oleh segala orang, maka Tuan Governor General yang di Benggala mengangkat Sultan akan Tengku Long, dan digelar dia Sultan Hussein Syah ibnul Marhum Sultan Mahmud Syah dalam negeri Singapura ini, serta daerah takluk jajahannya.”
Setelah itu maka segala orang putih pun memberi tabik hormat kepada Sultan. Kemudian ditembaklah dari kapal beberapa banyak. Kemudian Sultan dan Temenggung dan Tuan Raffles serta Tuan Farquhar pun kembalilah bersama-sama mengiringkan Sultan Hussein Syah ke rumah Tengku Temenggung. Setelah sampai, maka Tuan Raffles pun memberi tabik dan selamat, menggoncang-goncang tangan Sultan serta Temenggung, lalu kembali ke laut. Maka sepeninggal Tuan Raffles pergi itu, maka Yamtuan bertitah kepada Temenggung, titahnya, “Buatlah beta sebuah istana, kerana beta hendak menjemput isteri beta dari Riau serta segala isi Istana sekalian ke mari.”
Sebermula maka tersebutlah perkataan Tuan Raffles. Setelah keesokan harinya, maka diturunkannyalah segala perkakasnya ke darat. Maka dibuatkan orang sebuah rumah atap akan dia, ia itu tinggal bersama-sama dengan ipar yang bernama Captain Flint. Maka ia itu dijadikan Tuan Raffles syahbandar. Adapun bekas rumah Tuan Raffles itu di hujung Tanjung Singapura yang di tempat gedung Tuan Johnson sekarang ini. Maka Tuan Farquhar membuat rumah di padang di hadapan Court itu, iaitu di hadapan rumah makan Tranqua sekarang ini. Maka Tuan Farquhar membuat rumah atap juga, dindingnya kayu berapit. Maka pohon sena yang ada sekarang ini di padang itu tanamannyalah. Asalnya batang sena itu dibawa perahu Raja haji dari Melaka, diambilnya dari Tanjung Keling adanya. Syahadan maka kemudian daripada sudah diangkat akan Tengku Long itu menjadi Sultan, maka diberilah hadiah oleh Tuan Raffles akan dia wang seribu ringgit, serta kain sakhlat kuning sekayu, serta ditentukannya akan gaji Sultan itu pada sebulan empat ratus enam belas ringgit sesuku [1], dan gaji Temenggung separuhnya, iaitu dua ratus lapan ringgit setali [2]. Maka pada hari itulah juga diperbuat perjanjian antara kedua pihak, iaitu Kompeni Inggeris dan Sultan Hussein Syah. Maka adalah tersebut dalam perjanjian itu: “Adapun seperti orang Keling dan orang Benggali, kompeni Inggeris memerintahkan dia, maka orang Cina dan Melayu bersama-sama Sultan memerintahkan” dan lagi ada tersebut dalam perjanjian itu: “Jikalau dapat hasil negeri Singapura ini, jikalau barang berapa sekalipun, ia itu dibahagi dua, kompeni Inggeris separuh, dan Sultan Hussein Syah separuh adanya.”
[1] Suku, nama matawang Hindia Belanda, nilainya ½ rupiah, 50sen
[2] Tali, nama matawang Hindia Belanda, nilainya ¼ rupiah, 25 sen, kalau ringgit, matawang Hindia Belanda nilainya 2 ½ rupiah, 250 sen.
SUMBER: Hikayat Abdullah, halaman 156-159, terbitan Pustaka Antara, cetakan ketujuh 1997
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment