OLEH: Saufy Jauhary
Sultan Hussein Syah adalah Sultan bagi Singapura dan Johor pada awal abad ke 19. Asalnya baginda adalah putera sulung Sultan Mahmud Syah III di kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang, namun hak baginda dinafikan apabila para pembesar dengan sokongan pihak Belanda menabalkan putera Sultan Mahmud yang lain iaitu Tengku Abdul Rahman menjadi sultan. Pergolakan ini telah diambil kesempatan oleh Inggeris untuk mendapatkan tapak semaian ekonomi mereka di bahagian selatan nusantara. Stamford Raffles telah memujuk Tengku Hussein untuk menjadi raja bagi Singapura dan Johor dengan menandatangani perjanjian bersama Temenggung Abdul Rahman bahawa baginda membenarkan Inggeris bertapak di Singapura.
Dalam perjanjian tersebut Inggeris berjanji akan membayar sebanyak $5,000 ringgit setiap tahun kepada Sultan Hussein manakala Temenggung Abdul Rahman pula mendapat $3,000 setahun. Selain itu separuh daripada hasil cukai perahu-perahu yang keluar masuk di Singapura akan diperolehi oleh Temenggung. Pada suatu hari, Sultan Hussein membuat aduan kepada Stamford Raffles bahawa wang sara hidupnya setiap bulan tidak mencukupi. Baginda meminta wang saranya ditambah lagi. Setelah berfikir panjang Raffles menyatakan idea supaya Sultan Hussein menjalankan urusniaga dengan sahabatnya bernama Palmer yang merupakan saudagar Inggeris yang kaya raya dari Benggala, India. Palmer merupakan seorang ketua kepada pedagang-pedagang Inggeris dan Raffles berharap Palmer akan menghantar dagangan-dagangan ke Singapura kepada Sultan Hussein. Dengan itu Sultan Hussein sebagai ejen jualan, bakal mendapat komisyen hasil jualan daripada barang-barang dagangan tersebut. tambahan lagi orang-orang Melayu lebih selesa untuk berurusniaga dengan Sultan Hussein berbanding dengan orang Inggeris, Cina mahupun India. Bukan itu sahaja, malahan Stamford Raffles sendiri sanggup mengeluarkan modal permulaan untuk Sultan Hussein.
Malangnya cadangan baik daripada Raffles itu ditolak mentah-mentah oleh Sultan Hussein. Bagi baginda seorang Sultan tidak boleh melakukan urusan perniagaan kerana ianya sesuatu perkara yang memalukan. Malah ianya melanggar adat Raja-raja Melayu. Raffles menjadi marah dengan bantahan tersebut, akhirnya pada 7 Jun 1823 termeterailah suatu perjanjian bahawa Sultan Hussein akan menerima gaji setiap bulan sebanyak $1,500 manakala Temenggung Abdul Rahman pula mendapat $800 setiap bulan sepanjang hayat. Namun demikian dibuat syarat bahawa Sultan dan Temenggung tidak boleh memungut cukai dan undang-undang British akan dikuatkuasakan di Singapura. Seterusnya semua tanah di Singapura, kecuali kepunyaan Sultan dan Temenggung akan diuruskan oleh British.
Stamford Raffles
Abdullah Munsyi menceritakan hal ini di dalam Hikayat Abdullah:
“Maka pada tatkala itu makinlah banyak orang-orang dagang, dan saudagar-saudagar orang putih pun makinlah bertambah-tambah. Maka termasyhurlah sampai ke mana-mana khabar negeri Singapura, mengatakan sungguhlah telah menjadi negeri. Maka orang-orang yang di negeri lain itu pun banyaklah berpindah ke Singapura, dan yang ada memberi wakil kepada orang-orang dalam Singapura. Ia berkirim dagangan dari negeri-negeri asing. Maka oleh sebab segala perkara-perkara yang tersebut itu menjadi ramailah negeri Singapura, penuh dengan berbagai-bagai bangsa dan jenis-jenis pekerjaan dan macam-macam tukang, semuanya berkampunglah ke Singapura. Maka dalam antara itu adalah orang yang miskin menjadi kaya dan ada pula orang yang membawa modal dari negerinya berpuluh-puluh ribu, sekalian itu habislah binasa menjadi fakir. Maka masing-masing dengan nasibnya. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam adanya.
Bermula adapun daripada Sultan Hussein Syah itu datang pula mengadukan halnya kepada Tuan Raffles dari hal pendapatannya itu tiada juga cukup. Maka adalah pada masa itu Tuan Raffles sedang duduk-duduk bersama-sama Tuan Farquhar. Maka Temenggung pun ada berserta dengan orang tua-tuanya dan panglima-panglimanya. Maka sekalian orang yang mengiringkan Sultan itu pun adalah. Maka apabila Tuan Raffles mendengar pengaduannya, lalu tafakkurlah ia sejurus sebab memikirkan hal itu. kemudian lalu dijawabnya, katanya, “Tuan Sultan dan Tengku Temenggung, ada kepada sahaya suatu ikhtiar yang boleh iaitu mendatangkan kebajikan kepada Tuan Sultan, dan lagi boleh termasyhur nama Tuan Sultan serta Temenggung sampai ke mana-mana. Maka ada seorang sahabat sahaya di Benggala yang terlalu kaya, ia itu kepala saudagar-saudagar Inggeris, namanya Tuan Palmer. Maka boleh sahaya berkirim surat kepadanya menyuruh hantar dagangan kepada Tuan Sultan berapa ratus ribu yang Tuan Sultan mahu, dan boleh dapat komisyennya. Dan lagi boleh Tuan Sultan buat sebuah rumah di mana suka buat kedai, seperti saudagar-saudagar Inggeris yang ada di sini. Kerana segala bangsa sebelah sini seperti Bugis, Melayu dan Brunei, dan sebagainya itu semuanya terlebih suka berniaga kepada Tuan Sultan daripada berniaga sama orang-orang putih atau Keling atau Cina. Maka belanja membuat rumah itu sahaya boleh kasi, dan lagi boleh sahaya buatkan acuan bagaimana bangun rumah itu.”
Maka apabila didengar oleh Sultan dan Temenggung akan perkataan Tuan Raffles itu, maka ia pun tertawa, serta katanya, “Itu bukannya adat raja-raja. Berniaga menjadi suatu aib kepada raja-raja yang lain.” Demi didengar Tuan Raffles demikian maka berubahlah warna mukanya, merah padam lakunya, sambil tersenyum-senyum, katanya, “Tuan Sultan, sahaya hairan mendengarkan adat bodoh ini. Bagaimana jahat berniaga itu menjadi aib, tetapi merompak itu tiada aib???” Maka jawab Sultan, “Merompak itu sudah pusakanya, sebab itu tiada menjadi aib. Tetapi yang merompak itu bukannya asal Melayu.” Kemudian kata Tuan Raffles, “Baiklah, kalau tak suka, sudahlah! Sekarang cubalah Tuan Sultan dan Temenggung fikir baik-baik, berapakah yang boleh cukup belanja pada sebulan, supaya jangan lagi bersusah-susah selalu tiada cukup.” Tiadalah dijawab oleh mereka itu, sambil dua kali ditanya oleh Tuan Raffles, kemudian maka dijawab oleh Encik Abu Putih: “Tuan, sahaya kira-kira tiga ribu ringgit bolehlah cukup, tuan.” Maka kata Tuan Raffles, “Sepuluh ribu pun tiada cukup jikalau dibelanjakan dengan tiada berketahuan!! Pergilah Tuan Sultan dan Temenggung cuba fikir betul-betul dalam sehari ini, berapa yang cukup pada sebulan.” Maka jawab Sultan serta Temenggung: “Baiklah, Tuan.” Syahadan pada tatkala Tuan Raffles datang dari Benggala itu, maka diberinya hadiah akan Sultan itu suatu kereta bogi dengan kuda besar, harganya di Benggala seribu dua ratus rupiah.
Kalakian setelah tiga hari, maka datanglah Sultan serta Temenggung diiringkan oleh segala orang-orang besarnya ke rumah Tuan Jonson. Maka Tuan Raffles dan Tuan Farquhar pun adalah bersama-sama di situ, serta Tuan Flint, ipar Tuan Raffles. Maka pada masa itulah ditentukan oleh Tuan Raffles serta tuan-tuan yang tersebut akan belanja Sultan pada sebulan seribu ringgit besar, dan Temenggung tujuh ratus ringgit (menurut Abdullah Zakaria Ghazali adalah sebanyak $1,500 dan $800 sebulan, lihat Istana Dan Politik Johor 1835 – 1885). Maka adapun gaji atau belanja yang tersebut itulah yang tinggal kekal sampai kepada zaman Tuan Crowford datang memerintahkan negeri Singapura adanya.”
Penolakan Sultan Hussein terhadap peluang keemasan yang ditawarkan kepadanya sangatlah merugikan diri dan keturunannya. Kerana jika baginda menyahut peluang yang ditawarkan oleh Raffles sudah tentulah baginda akan menjadi kaya raya, mempunyai pengaruh, namanya masyhur dikalangan pedagang dan baginda tidak perlu bergantung dengan gaji yang diberikan oleh British. Ini kerana kebergantungan kepada gaji tersebut akhirnya menjerat dirinya sendiri apabila baginda kehilangan semua haknya ke atas Singapura, dan setelah itu putera baginda iaitu Sultan Ali Iskandar Syah selepas kewafatan baginda kehilangan hak pula ke atas Johor. Pada Tahun 1824, John Crawford yang menjadi Residen baru di Singapura menggantikan William Farquhar dengan sengaja tidak membayar gaji kepada Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman selama tiga bulan. Hal tersebut menyebabkan Sultan Hussein kekurangan wang untuk menyara hidup hinggakan baginda terpaksa berhutang dan menggadai harta bendanya. Rupa-rupanya John Crawford sengaja melakukan hal tersebut kerana muslihat untuk menguasai Singapura sepenuhnya. Beliau menawarkan satu perjanjian kepada Sultan dan Temenggung iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris berjanji akan membayar kepada Sultan Hussein sebanyak $30,000 dan kepada Temenggung Abdul Rahman pula sebanyak $15,000. Selain itu Sultan Hussein akan menerima $1,300 sebulan sepanjang hayat manakala Temenggung pula mendapat $700 sebulan sepanjang hayat sebagai ganti rugi rumah dan tanah, jika mereka hendak meninggalkan Singapura dan menetap di Johor. Oleh kerana kesempitan hidup, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju dengan perjanjian tersebut dan mereka menandatangani pada 2 Ogos 1824. Setelah menandatangani perjanjian tersebut Sultan Hussein hanya dibayar sebanyak $20,000 kerana telah ditolak oleh John Crawford sebanyak $10,000 setelah beliau mengira hutang-hutang lama Sultan Hussein kepada Stamford Raffles. Oleh itu Sultan Hussein merasa menyesal dan tertipu. Dengan itu Singapura terjual selama-lamanya kepada Inggeris, terpisah dari Johor dan tidak dimiliki oleh orang Melayu hingga kini.
Kehidupan pewaris baginda iaitu Sultan Ali Iskandar Syah lebih malang lagi setelah kemangkatan Sultan Hussein. Jumlah pencen bulanan Sultan Hussein Syah $1,300 telah dibahagi-bahagikan bukan sahaja kepada Sultan Ali bahkan kepada balu-balu dan anak-anak Sultan Hussein yang lain. Sultan Ali mempunyai masalah untuk menyara hidup dengan pendapatan yang sedikit hingga baginda terpaksa berhutang dengan ceti sebanyak $5,250 dan baginda didakwa di Mahkamah kerana tidak membayar hutang. Hal ini menyebabkan British memandang rendah terhadap Sultan Ali. Sebagaimana ayahanda baginda, Sultan Ali juga tidak mengamalkan sebarang perniagaan walaupun baginda pada ketika itu masih mempunyai hak pegangan ke atas Johor.
Sultan Ali Iskandar Syah dan para pengikut baginda, akhir abad ke-19
Berbeza dengan pesaing baginda iaitu keluarga Temenggung. Memang semasa hidup Temenggung Abdul Rahman, beliau termasuk orang yang menandatangani perjanjian dengan Inggeris dan menolak tawaran Raffles untuk berniaga dan memajukan diri sebagaimana Sultan Hussein.Namun putera baginda iaitu Temenggung Ibrahim melanggar adat-adat Raja Melayu dengan menceburi bidang perniagaan dan memperoleh pendapatan dari hasil-hasil hutan. Temenggung Ibrahim telah menjalankan usaha membuka tanah-tanah baru di Johor dan menggalakkan orang Cina datang ke Johor untuk mengusahakan tanaman gambir dan lada hitam. Pembukaan ladang-ladang ini menyebabkan Temenggung menjadi kaya raya dan hasil tanamannya meningkat kepada $8,000 paun setahun. Selain itu Temenggung Ibrahim menjalin hubungan rapat dengan saudagar-saudagar asing dan tempatan di Singapura dan pegawai-pegawai tertinggi British. Temenggung Ibrahim juga menunjukkan keberanian dengan membantu membasmi lanun-lanun disekitar pantai Singapura hingga beliau dianugerahkan sebilah Pedang Kehormat oleh Ratu Victoria pada 1 September 1846 dalam satu adat istiadat yang gilang gemilang. Sememangnya personaliti dan pengaruh politik antara Sultan Ali dan Temenggung Ibrahim adalah faktor yang menentukan siapa sebenarnya pemerintah Johor pada ketika itu.
Pada tahun 1846, Sultan Ali didapati berhutang sebanyak $15,000 untuk menyara hidupnya. Manakala pada tahun 1860-an dilaporkan baginda berhutang pula sebanyak $150,000. Oleh kerana terlalu terdesak, akhirnya Sultan Ali menandatangani perjanjian pada 10 Mac 1855. Perjanjian tersebut menyatakan bahawa Temenggung Ibrahim sanggup membayar $500 kepada Sultan Ali setiap bulan sebagai pencen dan $5,000 sebagai tunggakan. Temenggung Ibrahim mengakui Sultan Ali sebagai Sultan namun dengan syarat Sultan Ali menyerahkan seluruh jajahan Johor kepada Temenggung. Namun Sultan Ali meminta supaya satu daerah iaitu daerah Muar-Kesang diberikan kepadanya. Temenggung Ibrahim pada awalnya menolak tetapi atas tekanan dari British akhirnya beliau terpaksa bersetuju.
Nasib cucu Sultan Hussein yang menjadi pewarisnya iaitu Tengku Alam Syah lebih buruk lagi. Bukan sahaja gagal untuk diiktiraf sebagai Sultan oleh British, malah telah hilang hak ke atas Muar-Kesang kerana tewas dalam persaingan dengan pesaingnya iaitu Temenggung Abu Bakar, anak kepada Temenggung Ibrahim. Temenggung Abu Bakar bukan sahaja pesaing yang hebat malah berjaya memakai gelaran Maharaja Abu Bakar. Gelaran tersebut ditabalkan daripada pegawai kerajaan Riau-Lingga iaitu Raja Ali Haji di dalam satu istiadat. Sebagaimana bapa baginda, Maharaja Abu Bakar turut menceburi bidang ekonomi. Baginda mempunyai buku bank, membeli saham-saham dan memegang insurans nyawa. Baginda memperkemas sistem pentadbiran di Johor dengan sistem yang moden dan menukar nama Tanjung Puteri kepada Johor Bahru. Baginda juga membuat hubungan diplomatik dengan membuat lawatan ke negara-negara luar seperti England, Austria, Perancis, Jerman, Switzerland, Turki, India, China dan Jepun. Pada abad ke-19 tidak ada mana-mana pemerintah Asia yang dapat menandingi baginda dengan menerima darjah-darjah kebesaran dari berbagai negara.
Pada zaman ini juga berlaku Perang Jementah iaitu perang saudara antara Tengku Alam dan Maharaja Abu Bakar yang meletus pada tahun 1879. Peperangan ini berlaku kerana Tengku Alam tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan pemerintah Muar pada tahun 1877. Dalam pemilihan itu penghulu-penghulu Muar telah sebulat kata mengangkat Maharaja Abu Bakar dilantik sebagai pemerintah Muar-Kesang. Tengku Alam yang tewas dalam peperangan Jementah akhirnya bersetuju menerima wang persaraan sebanyak $750 sebulan daripada British dan berjanji tidak akan menimbulkan kekacauan di Muar dan akan menghalang sesiapa yang ingin mencetuskan kekacauan. Maharaja Abu Bakar pula membayar wang tunggakan kepada Tengku Alam sebanyak $12,071.20. Oleh kerana Maharaja Abu Bakar sudah tidak dapat dicabar kewibawaan dan kekuasaannya di Johor oleh mana-mana pihak, baginda kemudian memohon gelaran Sultan dengan British pada tahun 1885. Pada 11 Disember 1885 baginda hadir di London dan menandatangani perjanjian dengan British yang mana dalam perjanjian tersebut baginda layak memakai gelaran Sultan dan boleh diwarisi oleh keturunan baginda. Apabila pulang ke Johor, Maharaja Abu Bakar digelarkan sebagai Sultan Johor dalam suatu Istiadat.
Artikel ini bukanlah bertujuan untuk memburuk-burukkan Sultan Hussein dan menyinggung perasaan keturunan-keturunan baginda tetapi kami menyajikan sejarah ini untuk dijadikan pengajaran kepada semua orang, iaitu apabila kita diberi peluang untuk memajukan diri maka janganlah kita cuba menolaknya sedangkan ianya adalah peluang keemasan untuk diri kita bahkan untuk keturunan kita. Wajar diberi pujian akan tindakan bijak Temenggung Johor dan keturunannya berdikari dan tidak bergantung kepada sesuatu pihak menyebabkan mereka dapat bergerak maju lebih dari pihak lain. Malah hingga ke hari ini Sultan Johor iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar al-Haj masih mengamalkan amalan berniaga dan tidak terikut dengan adat raja-raja Melayu zaman dahulukala yang memandang aib jika seorang raja berniaga. Dalam suatu wawancara, titah baginda:
"Biar saya berterus terang, kita (amalkan) raja berperlembagaan. Saya perlu menyara hidup, sama seperti orang lain. Saya tidak boleh bergantung kepada elaun RM27,000 sebulan sahaja. Saya mesti menyara hidup, seperti rakyat Malaysia biasa. Saya tidak pernah cuba menyembunyikan urusan perniagaan saya dengan menggunakan proksi, seperti dilakukan sesetengah orang. Saya terbuka dan telus. Saya pasti rakyat Johor tidak mahu melihat saya sebagai seseorang yang menjual darjah kebesaran untuk menyara hidup."
Sesungguhnya kita mempelajari sejarah adalah untuk kita mengambil ibrah pengajaran daripadanya, sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Yusuf ayat 111: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka (para Nabi dan umat mereka) itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal (yang baik).” Wallahu a’lam
Sumber rujukan:
1) Hikayat Abdullah, terbitan Pustaka Antara, cetakan ketujuh 1997
2) Istana dan Politik Johor 1835 – 1885, terbitan Yayasan Penataran, cetakan 1997
3) Sejarah Johor Moden 1885 – 1940,terbitan Muzium Negara, cetakan 1978
4) Sultan Johor: Elaun RM27,000 tak memadai. https://www.malaysiakini.com/news/292393
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment