Pencemaran Era Pandemik (COVID-19 Waste)

 OLEH: Ilham Yusuf

Belum sempat kita menarik nafas lega tentang keberhasilan kerajaan Malaysia dalam mengawal penularan wabak Koronavirus, kini kita dihimpit lagi dengan satu permasalahan lain iaitu pencemaran sisa klinikal atau di era pandemik ini dikenali sebagai ‘Covid-19 Waste’. Sisa klinikal ini boleh ditakrifkan sebagai sebarang sisa yang dihasilkan daripada bidang perubatan atau amalan yang berkaitan rawatan, penyelidikan, pencegahan dan sebagainya. Contoh paling ketara ‘Covid-19 Waste’ ini ialah pelitup/topeng muka (Face Mask), sarung tangan (Glove) dan botol cecair pembasmi kuman (Hand Sanitizer).

Wabak Koronavirus telah pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019 dan ianya diisytiharkan sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Maka, dunia telah berkenalan dengan istilah ‘Normal Baharu’ ataupun New Normal yang memaksa masyarakat global untuk membiasakan diri dalam kebiasaan hidup yang baharu seperti sentiasa menjaga jarak sosial dan memakai alat pelindung diri (PPE) di kawasan awam. Kesedaran masyarakat dunia tentang bahaya wabak diakui ini cukup baik, namun kesedaran mereka terhadap alam sekitar masih berada di tahap yang sangat rendah. Buktinya, banyak topeng muka, sarung tangan dan lain-lain sisa klinikal ini dilupuskan dengan cara yang salah. Lebih buruk lagi ianya dibuang di merata tempat oleh segelintir kita yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab.



International Financial Corporation (IFC) mengeluarkan satu statistik bahawa dunia telah mencatatkan peningkatan sisa klinikal sejak pandemik ini sehingga 40 peratus dan keadaan ini dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya tidak ditangani dari awal. Semasa wabak COVID-19 ini menular di Hubei, China, negara itu telah mencatatkan penghasilan sisa klinikal sehingga 240 tan per hari berdasarkan laporan European Union Pacific Waste Management Programme (PacWastePlus) setakat April 2020. Lebih ironi lagi apabila tularnya berita daripada CNN dan The Guardian yang bertajuk ‘More Mask Than Jellyfish’ yang mengetengahkan isu topeng muka yang mencemarkan perut lautan. Keadaan ini semestinya akan memberi impak yang besar terutama terhadap hidupan marin di lautan. Dalam Journal Environment, Science & Tech disebutkan secara jelas bahawa setiap bulan sebanyak 129 bilion topeng muka dan 65 bilion sarung tangan digunakan pada era pandemik hari ini. 

Di Malaysia pula bagaimana? Umum mengetahui bahawa kerajaan telah mengisytiharkan kewajiban memakai topeng muka di kawasan awam tertentu bermula pada 1 Ogos baru-baru ini. Lantas, apakah kita sudah bersedia untuk melihat lebih banyak topeng muka berselerakan di jalan raya, kawasan perumahan, pusat rekreasi dan sebagainya sekiranya ianya tidak dibendung dari sekarang? UTHM News menyebutkan setakat permulaan Mac, sisa klinikal di Malaysia telah meningkat sebanyak 27 peratus berbanding hanya 17 peratus pada bulan sebelumnya. Peningkatan sebanyak 10 peratus telah dicatatkan setakat bulan tersebut, namun sekarang pula bagaimana? Dengan pengisytiharan kewajiban pemakaiannya tentulah kadar sisa klinikal ini akan terus meningkat. Perkara ini sewajarnya diberi perhatian yang sangat tegas oleh pihak yang berautoriti dalam melaksanakan kempen-kempen kesedaran atau penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan isu ini. Sekiranya kompaun boleh dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan kewajiban pemakaian topeng muka di kawasan awam, maka mengapa mereka yang membuang topeng muka merata di tempat ini tidak dikenakan tindakan yang sedemikian rupa?

Kita sudah berada di era Normal Baharu, namun cara pemikiran dan tindakan kita masih berada di tampuk yang lama. Sewajarnya, wabak yang melanda seluruh dunia ini mengajarkan kita erti kebersamaan. Apalah gunanya slogan ‘Kita Jaga Kita’ yang selalu didendangkan, sekiranya kita masih lagi mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil kisah dengan lingkungan kita sendiri. Alam sekitar sewajarnya dipelihara kerana ia adalah tempat kita berteduh. Isu ‘Covid-19 Waste’ ini justeru perlu kerap diwacanakan secara serius oleh pelbagai pihak untuk menjentik kesedaran dalam masyarakat kerana impaknya bukan sahaja terhadap alam sekitar,namun turut membahayakan kesihatan masyarakat yang lain. Jika tidak, dikhuatiri isu ini akan terus berlaku dan memberi kesan yang besar terhadap negara. Maka benarlah potongan Firman Tuhan di dalam Surah Ar-Rum ayat 41: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia.”


Rujukan:

1. European Union Pacific Waste Management Programme (PacWastePlus). (April, 2020). How To Manage COVID-19 Healthcare Waste. Diperoleh daripada: https://www.sprep.org/attachments/Publications/WMPC/PWP/covid-19-medical- waste-alert.pdf

2. International Finance Corporation (IFC). (2020). COVID-19’s on the Impact Waste Sector. Diperoleh daripada: https://www.ifc.org/wps/wcm/connect/dfbceda0-847d- 4c16-9772-15c6afdc8d85/202006-COVID-19-impact-on-waste- sector.pdf?MOD=AJPERES&CVID=na-eKpI

3. The Guardian. (8 Jun 2020) More Masks Than Jellyfish. Diperoleh daripada: https://www.theguardian.com/environment/2020/jun/08/more-masks-than-jellyfish- coronavirus-waste-ends-up-in-ocean

4. UTHM News. (April 2020). Diperoleh Daripada: https://news.uthm.edu.my/ms/2020/04/peningkatan-sisa-organik-dan-sisa-klinikal- ketika-penularan-wabak-covid-19/


___________________________
Ilham Yusuf

Comments