Senibina Kuno Masjid Di Alam Melayu dan Gelar Banjar Darussalam

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Masjid Suriansyah dapat dianggap sebagai masjid tua di Indonesia dimana Masjid Agung Demak merupakan masjid yang paling tua yang masih berdiri di Indonesia, diikuti Masjid Agung Sang Cipta Rasa di Cirebon. Kemudian barulah Masjid Suriansyah di Banjarmasin.  

Masjid Suriansyah ini dibina sesudah setahun Sultan Banjar pertama mendirikan kerajaan itu pada 1525M. Maknanya masjid ini - yang juga dikenal sebagai Masjid Kuin - didirikan pada 1526M. 

Senibina masjid ini tergolong dalam jenis senibina masjid kuno alam Melayu. Antara yang paling jelas betapa masjid ini sangat tua dapat dilihat pada atapnya dan pada ragam hias yang terletak pada puncak atap.

Dari kejauhan dapat dilihat atap masjid berbentuk Bumbung Meru dengan sentuhan arsitektur Banjar. Nama lain Bumbung Meru adalah Tumpang Berundak, Atap Tumpang, Atap Bertingkat, Atap Rabung Pecah Empat dan Bumbung Berlapis.  

Sebenarnya Atap Meru ini merupakan pengaruh dari kebudayaan Hindu-Buddha yang bertapak di alam Melayu sebelum penyebaran Islam. 


Ketika zaman itu senibina kubah dan menara belum masuk ke Nusantara. Jadinya  masyarakat Nusantara mendirikan masjid dengan gaya yang tersendiri, sehingga masjid beratap Meru hanya ditemukan di Nusantara sahaja. 

Begitu juga pada puncak atap dipasang ragam hias yang sukar ditentukan pada masjid zaman sekarang. Kerana pada zaman dahulu, lambang bulan bintang belum masuk ke dalam  kamus senibina Masjid.

Senibina kubah dan lambang bulan bintang mula digunakan pada masjid di Nusantara pada kurun ke 18M yang dibawa oleh Kesultanan Uthmaniyyah yang pada waktu itu meletus perang antara Uthmaniyyah dan Rusia sehingga Uthmaniyyah melancarkan gerakan budaya di Asia Tenggara.

Kami telah berbicara tentang lambang bulan bintang yang disinonimkan dengan Islam lebih dari 10 tahun lalu. Dimana lambang bulan bintang pada asalnya merupakan senibina kaum Pagan yang kemudiannya diwarisi oleh kaum Nasrani Romawi. Lalu ketika Konstantinopel dibuka oleh Uthmaniyyah maka kaum Turki Uthmaniyah menggunakan lambang tersebut dengan diberi sedikit perubahan.

Jadinya senibina kubah dan lambang bulan bintang yang sering dilihat pada masjid sebenarnya baru sahaja diserapkan kedalam budaya Nusantara.

Masjid Suriansyah ini merupakan Kayu Belian atau Kayu Ulin pada lidah kaum Banjar. Kayu ini memang berasal dari Kalimantan. 

Terdapat banyak ukiran pada masjid ini dan yang hendak dibicarakan adalah ukiran di Lawang Agung (pintu utama)

Pada daun pintu utama (Lawang Agung) sebelah kanan terukir kata "Ba'da hijratun Nabi shalallahu 'alahihi wassalam sunnah 1159 pada Tahun Wawu ngaran Sultan Tamjidillah Kerajaan dalam Negeri Banjar dalam tanah tinggalan Yang mulia".

Manakala pada daun pintu kiri pula terukir kata "Kiai Damang Astungkara mendirikan wakaf Lawang Agung Masjid di Nagri Banjar Darussalam pada hari Isnain pada sapuluh hari bulan Sya'ban tatkala itu .... (tidak terbaca)".

Satu hal yang perlu diberi perhatian adalah gelar 'kiai' pada zaman Kesultanan Banjar itu merupakan salah satu gelar pentadbiran, bukannya gelar kepada seorang yang alim dalam agama Islam seperti zaman kini. Gelar ini juga telah dibahas dalam sebuah catatan ringkas beberapa tahun yang lalu.

Kembali kepada ukiran Lawang Agung, nampaknya dari inskripsi ini dapatlah diketahui bahawa daun pintu utama masjid ini disumbangkan oleh Kiai Damang Astungkara pada hari Isnin 10 Sya'ban 1149H ketika zaman pemerintahan Sultan Tamjidillah.

Dan dari inskripsi ini juga terdapat pertanyaan terhadap gelaran negeri Banjar: apakah negeri Banjar memakai gelar yang sama seperti Kerajaan Brunei? 

Catatan:

(1) Lambang bulan bintang mulanya ditulis dalam blog peribadi dan kemudian beberapa tahun kemudian disinggung pula dalam FB

https://www.facebook.com/772566099/posts/10155803331261100/

(2) Gelar Kiai - https://www.facebook.com/772566099/posts/10156724954866100/

(3) Gambar diambil dari internet.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments