OLEH: Saufy Jauhary
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), takrif ajaran sesat ialah “Sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah (iaitu hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”. Manakala takrif Ahli Sunnah Wal-Jamaah menurut JAKIM pula ialah “Golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W menerusi sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip aqidah, syariah dan akhlak.”
Dalam tahun 1806 hingga 1810 Masihi,pada zaman Empayar Johor-Riau-Lingga-Pahang yang diperintah oleh Sultan Mahmud Riayat Syah (Mahmud Syah III) terdapat ajaran sesat yang dikesan dibawa oleh seorang lelaki bernama Lebai Tamat. Lebai Tamat dikatakan dari suku Minangkabau yang berhijrah ke Pulau Lingga. Dia mengajar ilmu yang dikatakan sebagai ilmu hakikat, dan ajaran-ajarannya kelihatan pelik. Lama-kelamaan dia mengaku sebagai tuhan. Ramai orang yang terpengaruh dengan ajarannya dan ada yang menganggapnya mempunyai karomah.
Apabila Yang di-Pertuan Muda Raja Jaafar yang bersemayam di Pulau Lingga mengetahui hal Lebai Tamat ini, baginda menjadi murka lalu menghukum Lebai Tamat dan anak-anak muridnya dengan hukum takzir, kemudian digondolkan kepalanya dan diperintahkan untuk bertaubat. Lebai Tamat bersama-sama dengan anak-anak muridnya kemudian keluar dari Pulau Lingga lalu berpindah ke Lampung di Sumatera. Di sana Lebai Tamat mengaku pula sebagai al-Marhum Raja Haji Fi Sabilillah yang dihidupkan kembali. Tanpa disangka ramai pula yang terpengaruh dengan Lebai Tamat dan menyembahnya. Setelah memperolehi ramai pengikut, Lebai Tamat kembali berlayar ke Pulau Lingga. Namun ketika itu Yang di-Pertuan Muda Raja Jaafar telah berpindah ke Kepulauan Riau. Di Pulau Lingga, Lebai Tamat berjaya mempengaruhi seorang kerabat diraja Johor bernama Raja Idris untuk mengikuti ajaran sesatnya.
Dengan kehadiran Raja Idris di sisi Lebai Tamat, penduduk Pulau Lingga tidak berani mengapa-apakan Lebai Tamat hinggalah perihal Lebai Tamat tersebut sampai ke pengetahuan Sultan Mahmud. Hal tersebut menyebabkan baginda murka. Sultan Mahmud mencabar Lebai Tamat menukarkan wajahnya kepada wajah asli Raja Haji Fi Sabilillah sekiranya dia benar. Hal tersebut tidak dapat dilakukan oleh Lebai Tamat dan menyebabkan baginda bertambah murka terhadap Lebai Tamat. Lalu baginda menitahkan Lebai Tamat dihukum bunuh. Tetapi Lebai Tamat berjaya disembunyikan oleh Raja Idris dan Lebai Tamat melarikan diri pula ke Inderagiri.
Di Inderagiri, Lebai Tamat menyebarkan dakyahnya hingga penduduk Inderagiri menjadi huru-hara. Sesetengah penduduk Inderagiri percaya dengan dakwaan Lebai Tamat manakala setengah daripada mereka tidak mempercayainya. Apabila Sultan Mahmud mengetahui Lebai Tamat telah melarikan diri ke Inderagiri, baginda mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Muda Raja Jaafar di Kepulauan Riau dengan menitahkan Yang di-Pertuan Muda mencari helah untuk menangkap Lebai Tamat dan mengenakan hukum bunuh ke atasnya.
Setelah sampai warkah diraja dari Sultan Mahmud kepada Yang di-Pertuan Muda Raja Jaafar, baginda lalu memerintahkan putera baginda iaitu Raja Ismail berlayar ke Inderagiri untuk memperdaya Lebai Tamat. Apabila telah sampai di Inderagiri, Raja Ismail telah berpura-pura untuk mempercayai pengakuan Lebai Tamat bahawa dia adalah jelmaan Raja Haji Fi Sabilillah. Raja Ismail pun sedaya upaya memujuk Lebai Tamat untuk mengikutinya berlayar ke Kepulauan Riau kerana kononnya Yang di-Pertuan Muda Raja Jaafar ingin sekali untuk bertemu dengannya. Kemudian Lebai Tamat pun mempercayai tipu daya tersebut dan bersetuju untuk ke Kepulauan Riau. Sepanjang pelayaran, Lebai Tamat telah dipermuliakan oleh Raja Ismail hingga hilanglah syak wasangka terhadap Raja Ismail.
Setelah Lebai Tamat dan Raja Ismail tiba ke Kepulauan Riau, Yang di-Pertuan Muda telah memerintahkan untuk menyambut Lebai Tamat lengkap dengan adat menyambut seolah-olah Raja Tamat adalah seorang Raja yang penuh kebesaran. Yang di-Pertuan Muda kemudian memerintahkan sepuluh orang-orang untuk menangkap Lebai Tamat. Setelah sepuluh orang tua tersebut berjaya menangkap Lebai Tamat, lalu Lebai Tamat dihukum pancung dan kepalanya dihantarkan ke Sultan Mahmud di Pulau Lingga.
Berikut adalah teks sebenar di dalam Tuhfat al-Nafis yang ditulis oleh Raja Ali Haji:-
“Alkisah kata Sahibul Hikayat, adalah pada masa baginda Sultan Mahmud, kerajaan di dalam negeri Lingga dan Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar di negeri Riau, maka datang seorang lebai orang bangsa Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu-ilmu hakikat. Mengajarlah ia akan setengah orang-orang Lingga dan lebai-lebai Lingga akan ilmu hakikat konon, dinamakannya ilmunya itu Isa, konon. Dan banyaklah perkataan shathiyat, hingga akhir-akhir pekerjaannya jatuh seperti iktikad mulhid mengaku dirinya Allah Ta’ala. Maka banyaklah muridnya mengikut iktikad itu serta sehari-hari berkumpullah orang-orang kepadanya. Setengah orang mengatakan ia keramat. Ada pula ia mengajar-ngajar bicara istinjak dan bersuci yang datang burung dari syurga namanya s-r-a-h-n atau s-a-r-h-n, itulah yang menyucikan junub dan lainnya. Dan banyak lagi konon ajar-ajarannya yang mukhallif al-syar. Dan apabila ia berkayuh maka dikayuhkan oleh muridnya sampailah berzikir, “Habib al-Rahman Allahumma salla alaihi.” Syahdan jadi besarlah pekerjaannya itu.
Syahadan pada masa itu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar di dalam negeri Lingga, maka datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Maka murkalah Yang Dipertuan Muda itu. Maka lalulah lebai itu dengan segala muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga dengan beberapa muridnya pergi belayar ke Lampung. Maka apabila sampai ke Lampung maka mengakulah dirinya pula yang ia mengatakan dirinya Yang Dipertuan Muda al-Marhum Raja Haji al-Syahid fi Sabilillah hidup semula. Serta dikhabarkannyalah hal ehwalnya daripada masa al-Marhum Raja Haji dan kelakuannya dan perbuatannya dan orang-orang kenal-kenalannya, si anu-anu katanya dan anaknya si anu-anu. Maka dengan takdir Allah Taala banyaklah orang-orang percaya dan segala Bugis-bugis yang di Lampung pun banyaklah yang percaya, maka besarlah pekerjaannya itu. Maka dapatlah ia kuasa dua tiga buah perahu-perahu dan banyaklah orang yang bodoh-bodoh menyembah dia.
Maka di dalam tiada berapa antaranya belayarlah pula ia berbalik ke Lingga, kasadnya hendak menzahirkan pekerjaannya itu. Maka apabila ia masuk ke Lingga maka perahunya memakailah bendera kuning masuk ke dalam Lingga. Maka pada masa itu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar sudah berangkat balik ke Riau, maka saudaranya Raja Idris ada di dalam Lingga. Maka Lebai Tamat pun pergilah mendapatkan Raja Idris serta membawa hadiah beberapa orang budaknya. Maka dipanggilnya Raja Idris itu Si Idris sahaja. Maka Raja Idris pun menerimalah perkataannya itu, entahkan dengan muslihatkah atau entahkan percaya benar-benarkah, wallahu a’lam.
Maka di dalam hal itu besarlah pekerjaan itu sebab persandarannya kepada Raja Idris, maka kebanyakan orang-orang tiada berani mengusik-usik Lebai Tamat itu. Maka masyhurlah pekerjaannya itu hingga sampailah kepada Baginda Sultan Mahmud. Maka murkalah baginda akan Lebai Tamat itu. Maka didatangkannya hujah kepadanya, “Jikalau sungguh al-Marhum Raja Haji balik hidup semula, minta kembalikanlah rupanya yang lama.” Maka tiadalah hasil pekerjaan itu kharakul adat, maka murkalah Baginda Sultan Mahmud dengan murka yang maha sangat. Maka dititahkannya suruh bunuh Lebai Tamat itu, serta yang bersama-sama dengan dia itu daripada Bugis-bugis dan lain-lainnya. Maka dikerjakan orang seperti yang dititahkan baginda itu. Maka banyaklah Bugis-bugis itu mati dan muridnya pun bertaburan lari ke sana ke mari. Adapun Lebai Tamat itu disembunyikan oleh Raja Idris, lalu dilepaskannya. Maka larilah Lebai Tamat itu ke Inderagiri. Maka apabila sampai ia ke Inderagiri, maka huru-haralah Inderagiri itu. Setengah ada yang percaya, setengah ada yang tidak percaya, seperti akuan Lebai Tamat itu. Maka sampailah khabar itu kepada Baginda Sultan Mahmud, maka bertambahlah murkanya Baginda Sultan Mahmud akan Lebai Tamat itu serta orang-orang Inderagiri. Maka Baginda Sultan Mahmud pun memberi surat kepada paduka adinda baginda itu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta carikan juga akal dan helah supaya boleh dibunuh juga Lebai Tamat itu kerana, “Ia melumurkan harang di muka kita semua adik-beradik.”
Syahadan apabila sampailah surat itu kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, maka Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pun murkalah pula akan Lebai Tamat itu, maka lalulah Yang Dipertuan Muda menyuruhkan anakanda baginda Raja Ismail putera paduka kekanda baginda al-Marhum Raja Ali pergi ke Inderagiri menipu Lebai Tamat supaya beroleh dibawa ke Riau. Maka berlayarlah Raja Ismail itu ke Inderagiri. Maka apabila tiba ia ke Inderagiri , maka berjumpalah ia dengan Lebai Tamat itu serta ditipunya dengan pura-pura percaya ia akan akuan Lebai Tamat itu mengatakan dirinya al-Marhum Raja Haji itu. Maka Raja Ismail pun menyembahkanlah konon kepadanya mengatakan ia ini disuruh paduka anakanda Raja Jaafar “menyilakan tuanku ke Riau kerana sangatlah hasratnya hendak berjumpa dengan tuanku”, dan beberapa lagi perkataan memujuk-mujuk serta tipu dikatakannya kepada Lebai Tamat itu. Maka Lebai Tamat itu pun percayalah ia serta dengan sukanya. Maka jawabnya, “Baiklah aku pergilah ini bersama-sama dengan engkau ini.”
Syahadan berlayarlah Raja Ismail ke Riau membawa Lebai Tamat itu serta dipermuliakannya sepanjang-panjang laut itu. Maka apabila tiba ke Riau memberitahulah Raja Ismail kepada paduka ayahanda baginda Yang Dipertuan Muda. Maka Yang Dipertuan Muda pun menyuruhlah siapkan alat menyambutnya betapa adat menyambut raja yang besar-besar dengan diaturkan baris senapang dan lainnya. Kemudian bertitahlah Yang Dipertuan Muda kepada orang tua-tua dan orang baik-baiknya menyuruh ambil dengan sebuah kakap. Maka apabila sampai dekat dengan darat disuruhnya tangkap. Maka pergilah segala orang baik-baik itu mengerjakan titah baginda itu. Maka apabila sampai ke perahu Raja Ismail, maka naiklah orang tua-tua itu mengadap Lebai Tamat itu katanya, “Paduka anakanda menyilakan naik.” Maka sukalah Lebai Tamat itu jawabnya, “Baiklah.” Maka turunlah ia ke sampan orang yang mengambilnya itu. Maka berkayuhlah ke darat. Maka apabila hampir ke darat, maka ditangkaplah orang yang disuruh oleh Yang Dipertuan Muda itu lalulah ia diikat dan didepang tangannya. Kemudian lalu disuruhnya bunuh dikerat kepalanya, dikirimkan ke Lingga kepada Baginda Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisahnya Lebai Tamat itu. Intaha.”
Rujukan:
1) Tuhfat Al-Nafis, karangan Raja Ali Haji, terbitan Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan 1998.
2) Diskusi Isu Aqidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, cetakan kedua 2015.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment