Ziryab: Fenomena 'K-Pop' Zaman Andalus

OLEH: Halim Abdurrahman 



Namanya adalah Abul Hasan Ali Ibn Nafi atau dipanggil sebagai Ziryab, lahir 789M. Sebelum kemunculan Ziryab, rakyat di Kerajaan Islam Andalus dikatakan belum mengenali budaya muzik dan nyanyian. 

Ziryab pada awalnya merupakan penyanyi yang berasal dari Baghdad (Iraq), dan menjadi penghibur di istana-istana para khalifah dan pembesar di sana. Gurunya adalah Ibrahim Al-Mushily, seorang penyanyi dan pemuzik besar di Baghdad pada waktu itu. Masa semakin berlalu dengan populariti Ziryab makin menyinar di bumi Baghdad, ini menyebabkan Ibrahim Al-Mushily mula iri kepada beliau. Justeru Ibrahim mengatur langkah sampailah Ziryab berjaya dihalau keluar dari Baghdad. Ada riwayat menyatakan yang Ziryab ini telah diugut oleh Ibrahim sampai dirinya terpaksa keluar dari negeri tersebut.


BERHIJRAH KE ANDALUS 

Ziryab kemudiannya berhijrah ke Andalus, sebuah kerajaan Islam Bani Umayyah yang ketika itu diperintah oleh Abdurrahman Al-Ausath. Kedatangan Ziryab disambut baik oleh penduduk Andalus. Kemudian dalam beberapa ketika namanya mulai terkenal di sana setelah ia menemui para pemimpin dan masyarakat sekitar, lalu memperdengarkan nyanyiannya. 

Waktu itulah Ziryab mula membawa masuk budaya yang asalnya dari Baghdad iaitu muzik, nyanyian dan tarian lalu mengajarkan kepada penduduk Andalus. Ziryab bahkan tidak cukup sekadar mengajar nyanyian dan menyusun apa yang disebut sebagai 'not-not/nada-nada Andalusia', namun ia juga mulai mengajarkan seni mode, fesyen seperti pakaian musim panas, musim sejuk dan musim luruh. Serta memperkenalkan model pakaian khusus untuk setiap situasi yang bersifat khusus mahupun umum.

Sebelumnya masyarakat Andalus bukannya seperti itu, tetapi semenjak adanya Ziryab maka masyarakat Andalus mula menjadikan dia sebagai model ikutan dan mendengar serta mempelajari apa yang dibawakan oleh Ziryab. 

Tidak cukup sekadar penyanyi dan pemuzik, dia juga merupakan penglipur lara yang suka membawakan hikayat para khalifah, para bangsawan serta pelbagai dongeng lain supaya orang ramai sentiasa dekat kepadanya. Jumlah penyanyi juga semakin pesat tumbuh bak cendawan semenjak Ziryab memainkan peranan. Bahkan tarian juga ikut bermunculan semakin banyak yang pada awalnya ia hanya melibatkan penari lelaki, kemudian 'terjangkit' sampai muncul penari-penari wanita.

Sungguh pun fenomena Ziryab ini berlaku pada masa pemerintahan Abdurrahman Al-Ausath, seorang amir yang sangat cintakan ilmu, peradaban, pembangunan, ekonomi dan sebagainya. Tapi sayang sekali, dia membiarkan Ziryab melakukan semua hal tersebut dan mempengaruhi budaya rakyat umat Islam Andalus. Orang ramai juga mula terlalai daripada mendengar majlis-majlis Ilmu dan menjauhi majlis para ulama, meskipun era berkenaan ilmu amat berkembang pesat di Andalus. Mereka lebih tertarik dengan senandung serta qasidah, jauh daripada mahu mendengar dan membaca Al-Quran.

Kini walaupun sudah 1200 tahun Ziryab meninggal dunia, namanya tetap gah dan popular di Afrika Utara seperti di Tunisia, Morocco dan AlJazair (Algeria). Namanya juga muncul dalam buku-buku sejarah dan dianggap tokoh yang ditulis dengan tinta berharga, konon ia penyebab kebangkitan seni dan tokoh pencerahan yang membawa perubahan kepada masyarakat Islam. Sedangkan sejarah sebenar menukilkan bahawa budaya bawaan Ziryab inilah antara punca kejatuhan Kerajaan Islam Andalus.

.


Sumber; Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, karya Dr Raghib As-Sirjani. Hlm 202-205.

Lakaran: Ziryab dan budaya muzik/nyanyian pada era Andalus.

[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments