Adakah Naning Di Dalam Kerajaan Melaka?

OLEH: Taufiq Tuah

Perbincangan kali ini berkenaan Kerajaan Naning. Mungkin nama kerajaan ini tidaklah semasyhur nama kerajaan-kerajaan lainnya. Namun perlu dijelaskan apakah status kerajaan ini memandangkan konflik Naning ini begitu rancak dimainkan di zaman Datuk Naning ke-9.

Apakah status Datuk Naning sebenarnya? Di dalam artikel sebelum ini, penulis bertawaquf dalam isu kedudukan status 'Datuk Naning' dan isu samada Naning sebahagian dari Melaka atau tidak. Mengikut sejarahnya. Sultan Muzaffar Syah (Sultan Melaka) telah menghantar Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk memegang Hulu Melaka (Naning). Lalu ditabal akan beliau 'Penguasa Hulu'. Namun orang setempat selepas itu banyak memanggil jawatan tersebut sebagai 'Penghulu' atau 'Datuk Naning'. Adapun begitu, nama Datuk Naning lebih mesra dikalangan orang-orang adat perpatih.

Persoalannya, adakah Naning ialah jajahan kerajaan Melaka kerana menabalkan 'Penguasa Hulu' di sana? Jawapannya ringkasnya tidak. Walaupun Naning dikenali sebagai Hulu Melaka ketika itu, Naning tetap tidak dianggap tanah takluk atau jajahan Melaka. Hal ini tidak pelik kerana ada sahaja kerajaan lain yang ditabalkan oleh Melaka namun tidak terikat dengan perlembagaan Melaka. Antaranya Sultan Mudzaffar Shah I (Anak kepada Sultan Mahmud Melaka) telah menjadi Sultan Perak pertama. Kemudian, kakandanya Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan kerajaan Johor.

Juga, perlu diingatkan bahawa nama asal jawatan yang ingin diberikan kepada Datuk Perpatih ketika itu ialah 'Sultan'. Namun Datuk Perpatih enggan menerima istilah tersebut. Maka digelar akan baginda, Penguasa Hulu yang mana kedudukannya sama seperti Sultan.

Naning berdaulat terbukti apabila Naning tidak terikat dengan adat istiadat kerajaan Melaka. Malah, Naning bebas untuk menghidupkan adat mereka sendiri iaitu Adat Perpatih. Adat ini dibawa sendiri oleh pengasasnya (Datuk Perpatih Nan Sebatang) ke sana dan dikembangkan lagi oleh masyarakatnya.

Jika benar Naning di bawah Melaka, pastilah Naning terpaksa akur dengan adat-adat Melaka. Namun Naning akhirnya menjadi rujukan asas kepada Adat Perpatih di semenanjung Tanah Melayu. Hal ini sangat kontra dengan Melaka yang memegang Adat Temenggung.

Konflik hebat ini akhirnya diperdebatkan oleh British. British ingin mengambil ufti dari Naning dengan alasan Naning ialah sebahagian dari Melaka. Wal hal, Naning ialah kerajaan yang berdaulat dengan sendirinya. Maka Datuk Naning ketika itu, Datuk Abdul Said (Dol Said) telah membuat seruan jihad menentang British.

Dengan penjelasan di atas, maka terbuktilah bahawa Naning ialah kerajaan yang berdaulat sendirinya. Maka dakwaan British ialah dakwaan yang batil tanpa mengetahui adat-adat setempat Nusantara.

Namun, Naning pada hari ini ialah termasuk di dalam Melaka kerana British telah menukar dasar itu selepas menewaskan Dol Said. Melaka akhirnya digabungkan dengan Alor Gajah dan pusat British ketika itu juga ialah di Alor Gajah. Antara sebabnya ialah untuk membendung semangat jihad rakyat Muslim jika Datuk Naning ke-10 dilantik. Maka jadilah Naning moden pada hari ini sebahagian dari Melaka. Wallahualam.


Rujukan:
1. Sejarah Naning, Luqman Nulhakim Harzamar, Geroda Merah, 2018

___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________


Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments