Kesultanan Deli, Permata Sumatera Timur Yang Hilang

OLEH: Haziq Azhar


Kesultanan Deli mungkin nama yang agak asing bagi generasi Melayu sekarang. Namun, Kesultanan Deli merupakan salah satu kerajaan Melayu yang agak gah dan terkenal dengan kekayaan dan sumber ekonomi yang amat makmur. Kesultanan Deli diasaskan oleh Tuanku Panglima Gocah pada tahun 1632 selepas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam berjaya menakluki negeri Aru. Wilayah Deli (pada asalnya Negeri Aru) merupakan satu anugerah Sultan Aceh kepada Tuanku Panglima Gocah atas jasa dan bakti kepada Empayar Aceh. Tuanku Panglima Gocah juga mendapat pengiktirafan daripada 4 Raja kaum Batak untuk menjadi Sultan Deli yang pertama. 


Pada tahun 1669, Tuanku Panglima Peringgit telah menggantikan kedudukan Tuanku Panglima Gocah sebagai Sultan Deli kedua. Pemerintahan Tuanku Panglima Peringgit hanya meneruskan dasar – dasar yang diteruskan oleh ayahandanya dan menetapkan undang – undang Islam sebagai sumber perundangan utama Kesultanan Deli.  Tuanku Panglima Peringgit mengisytihar kemerdekaan daripada Empayar Aceh pada tahun 1699. Selepas itu, Tuanku Panglima Padrap ditabal sebagai Sultan Deli yang ketiga. Baginda Sultan Deli telah memindah pusat pemerintahan ke Pulau Brayan kerana dianggap lebih strategik untuk pemerintahan. Seperti para pendahulunya juga, Tuanku Panglima Padrap juga meneruskan dasar – dasar Islam dan menjaga hubungan baik dengan masyarakat sebagai tanggungjawab “Khalifatullah” (Wakil Allah dimuka bumi ini). 


Pada tahun 1720, terjadinya konflik antara putera – putera Sultan Deli dalam merebut takhta kerajaan Deli. Tuanku Panglima Pasutan berjaya memenangi dalam perebutan takhta lalu mengusir Tuanku Umar Johan Alamsyah. Bagi mengelak daripada sebarang konflik dengan saudaranya, Tuanku Umar Johan Alamsyah menubuhkan Kesultanan Serdang. Selepas itu, Kesultanan Deli telah menjadi rebutan Kesultanan Siak Inderapura dan Empayar Aceh. Pada tahun 1858, Kesultanan Siak Inderapura dan seluruh jajahan takluknya termasuk Kesultanan Deli telah menjadi sebahagian daripada wilayah Hindia Belanda Timur berdasarkan Perjanjian Belanda – Inggeris 1824. Walaubagaimanapun, Kesultanan Deli menentang campurtangan Belanda kerana pihak Deli tidak pernah berada dibawah jajahan takluk Kesultanan Siak Inderapura.


Oleh itu, Belanda dan Kesultanan Deli telah menandatangani satu perjanjian dimana pihak Belanda akan mendapat mengaut segala keuntungan dan Sultan Deli hanya menerima royalti daripada pihak Belanda. Manakala, pihak Kesultanan Deli terus bebas memerintah secara bebas dan berdaulat. Dibawah pemerintahan Sultan Mahmud Al Rashid Perkasa Alam Shah dan Sultan Makmun Al Rashid Perkasa Alam, Kesultanan Deli telah mencapai tahap kemakmuran ekonomi ditahap yang terbaik dan menjadikan Kesultanan Deli salah satu negeri yang terkaya di Sumatera Timur. Beberapa syarikat Belanda seperti Deli Company telah diberi konsesi oleh Kesultanan Deli untuk memajukan perusahaan tembakau yang dikatakan satu batang cerut Deli mampu membeli satu kereta mewah di Eropah pada ketika itu. Tembakau Deli merupakan jenis tembakau yang terbaik dan berkualiti tinggi. 
Kebangkitan semangat nasionalisme dan perubahan kerajaan kearah demokrasi telah menuntut Kesultanan Deli untuk berubah. Pada tahun 1946, Sumatera Timur telah tercetusnya Revolusi Sosial Timur akibat hasutan Parti Komunis Indonesia. Kebangkitan rakyat telah menyebabkan beberapa para Sultan dan bangsawan Melayu telah terkorban akibat amukan rakyat yang berpunca daripada dakyah komunis menuduh para Sultan dan bangsawan Melayu bekerjasama dengan penjajah Belanda. Hanya Sultan Deli dan kaum kerabatnya bernasib baik kerana mendapat perlindungan daripada tentera Bersekutu.



Akibat daripada Revolusi Sosial Timur, orang Melayu telah membuang identiti dan kebudayaan Melayu kerana takut mendapat ancaman daripada pihak komunis. Oleh itu, orang Melayu telah kehilangan identiti dan budaya sendiri. Pada tahun 2005, Sri Paduka Baginda Tuanku Sultan Mahmud Arya Lamanjiji Perkasa Alam telah ditabalkan sebagai Sultan Deli 14 apabila Tuanku Sultan Otteman III Mahmud Ma'amun Padrap Perkasa Alam Shah telah terkorban dalam misi ketenteraan di Aceh. Walaupun Kesultanan Deli bukanlah satu institusi yang bersifat politik, namun ia telah diwujudkan hanya sebagai lambang adat dan kebudayaan masyarakat Melayu Deli. 

Sultan Makmun Al-Rashid Perkasa Alam


Rujukan:
Takari, M., & Dja’far, F. M. (2012). Sejarah Kesultanan Deli dan peradaban masyarakatnya. USU Press bekerjasama dengan Kesultanan Deli.
Kesultanan Deli, Pemerintahan Islam di Wilayah Sumatera Utara. (Jun 08, 2018). Retrieved from https://kumparan.com/potongan-nostalgia/kesultanan-deli-pemerintahan-islam-di-wilayah-sumatera-utara
Ikhsan, E. (2015). Konflik tanah ulayat dan pluralisme hukum: hilangnya ruang hidup orang Melayu Deli. Yayasan Pustaka Obor Indonesia.
Omar, A. (1993). Bangsa Melayu: Malay concepts of democracy and community, 1945-1950. Oxford University Press, USA.


___________________________
Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________



Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .




Comments